fbpx

MAJLIS IFTAR ERATKAN UKHUWAH ANTARA MUALAF DENGAN RAKAN HIDAYAH LEMBAH PANTAI

19 APRIL 2022 | 17 RAMADAN 1443H (SABTU) – Setelah hampir dua tahun melaksanakan aktiviti kelas dan program secara maya (online), para mualaf dan Rakan Hidayah Lembah akhirnya bertemu di Majlis Iftar Mualaf & Rakan Hidayah Lembah Pantai di Pusat Komuniti IKRAM Lembah Pantai dalam suasana yang harmoni.

Seramai 45 orang wakil daripada kalangan mualaf santunan bersama keluarga, Rakan Hidayah serta jemputan daripada IKRAM cawangan Lembah Pantai telah hadir untuk berkenalan dan meraikan para mualaf yang telah hadir. Turut sama hadir adalah Yang Dipertua IKRAM Lembah Pantai, Dr Farid, serta Pengarah Operasi HCF, Tuan Haji Abdul Rahim bin Abdul Hamid. Terdahulu, majlis iftar adalah anjuran bersama rakan Hidayah Batu dan JK Dakwah IKRAM Lembah Pantai.

Majlis bermula sekitar jam 6.00 petang. Pelbagai pengisian telah diadakan sebelum sesi berbuka puasa. Ini termasuklah alunan Surah al-Baqarah, ayat 183-185 oleh saudara Muhammad Mirza Syahmi, ucapan dan perkongsian oleh Tuan Haji Abdul Rahim bin Abdul Hamid serta ucapan dan perkongsian oleh Dr Farid yang bertajuk ‘Al-Quran, Manual Hidup Manusia.’ Kuiz Ramadan juga telah diadakan untuk para mualaf.

Suasana berbuka puasa, solat fardu dan solat terawih secara berjemaah memberi peluang kepada yang hadir untuk bersama-sama beramah mesra selain memberi peluang kepada mualaf yang baru untuk belajar bersolat sambil dipandu secara terus oleh guru-guru yang terdiri daripada Rakan Hidayah Lembah Pantai. Selain itu, sumbangan barang dapur dan duit raya oleh para penyumbang juga turut diberikan kepada mualaf yang hadir. Majlis bersurai sekitar jam 9.30 malam.

Semoga Allah memberkati rezeki para penyumbang rezeki dan tenaga serta membalas dengan sebaik-baik ganjaran buat mereka semua.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top