Jamuan Muhibbah sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2018

Seramai kira-kira 1500 orang tetamu yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat telah bersama-sama hadir memeriahkan program Jamuan Muhibbah sempena Tahun Baru Cina 2018. Majlis Jamuan Muhibbah ini yang telah diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor dengan penuh warna-warni meriah sekali. Majlis Jamuan Muhibbah yang bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00petang ini, merupakan anjuran bersama Hidayah Centre Foundation, Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM), Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Restoran Mohd Chan.

 

Program ini telah dimulakan dengan ceramah yang bertajuk Islam dan masyarakat majmuk yang disampaikan oleh Dr.Jaysuman Pusppanathan. Beliau menerangkan mengenai bagaimana Islam meraikan dan menyantuni masyarakat majmuk pelbagai bangsa dan budaya sepertimana di negara kita, Malaysia. Perayaan Tahun Baru Cina ini merupakan sambutan kehadiran tahun baru bagi kalendar lunar cina yang tidak berkaitan permasalahan akidah. Oleh itu, cina muslim boleh meraikan Tahun Baru Cina yang sememangnya disambut setiap tahun. Masyarakat Islam dari bangsa lain juga boleh bersama-sama meraikan kenalan-kenalan mereka pada Tahun Baru Cina ini. Ceramah yang disampaikan ini memberi kefahaman mengenai Islam juga memperbetulkan salah faham yang timbul dalam kehidupan masyarajat majmuk di negara ini.

 

Antara tetamu kehormat yang menghadiri program jamuan muhibbah ini adalah Datin Paduka Che Asmah Ibrahim yang merupakan Timbalan Pengerusi Hidayah Centre Foundation, Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin, Presiden MACMA, Dr.Yusri Mohamad, Yang Dipertua YADIM dan Dato’ Mohd Chan dari Restoran Mohd Chan. Kehadiran kesemua tetamu kehormat ke program jamuan muhibbah ini telah diiringi dengan persembahan tarian singa yang begitu meriah sekali.

Tarian naga

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program jamuan muhibbah sempena tahun baru cina ini berlangsung. Antara aktiviti yang paling mendapat tumpuan juga perhatian semua adalah upacara melambung Yee Sang yang dihidangkan sepanjang 60 kaki oleh restoran Mohd Chan. Semua tetamu kehormat beserta tetamu yang hadir bersama-sama terlibat dalam upacara melambung Yee Sang. Yee Sang yang terdiri dari 7 bahan-bahan utama pelbagai warna dan rasa menggambarkan kehidupan yang bakal dilalui di tahun baru ini yang penuh dengan kemanisan dan kadangkala diuji dengan sedikit kepahitan. Oleh itu ,sebagai muslim adalah digalakkan untuk kita berdoa agar hari-hari yang bakal dilalui dilimpahkan rezeki berganda juga diberikan kesihatan yang baik. Antara aktiviti menarik lain yang diadakan adalah pertunjukan tukar topeng, nyanyian lagu cina, pemberian angpow buat kanak-kanak juga persembahan orkestra cina. Kesemua tetamu yang hadir dijamu dengan makanan cina muslim yang sangat lazat dihidangkan khas oleh Restoran Mohd Chan.

 

Program seumpama ini yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dilihat mampu melahirkan rasa saling hormat-menghormati dan perpaduan sesama masyarakat. Jelas terlihat kegembiraan juga suasana keharmonian di antara masyarakat Malaysia yang berbilang kaum sepanjang program ini dijalankan. Hidayah Centre Foundation juga telah menganjurkan sambutan tahun cina di pelbagai tempat di seluruh semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Semoga konsep penganjuran program seumpama ini dapat dianjurkan lagi pada tahun-tahun akan datang.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *