Baru-baru ini, Hidayah Centre Foundation telah menziarahi keluarga Amin Liong di bengkelnya yang terletak di Taman Industri Lembah Jaya, Ampang. Hidayah Centre telah membantu menyuntik modal untuk membolehkan pasangan suami isteri ini mengusahakan bengkel kenderaan. Inilah hasil sumbangan orang ramai salah satu untuk membantu saudara baru untuk berdikari dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Kunjungan kami kali ini bertujuan meninjau perkembangan terkini bengkel membaiki kerosakan kenderaan yang diusahakan Amin Liong. Bengkel ini mula beroperasi pada pertengahan Disember 2018. Disamping itu kunjungan ini juga bertujuan untuk bertanyakan khabar dan memastikan kebajikan isteri serta anak-anak mereka terus terpelihara.
Sewaktu kami tiba di bengkelnya, kelihatan Amin Liong sedang gigih dan teliti sekali mengetuk badan kereta yang kemek kerana terlibat dalam kemalangan jalanraya. Kelihatan juga deretan kereta bersusun di dalam dan luar bengkelnya menanti untuk diketuk antaranya akibat kemalangan. Di bengkelnya itu, Amin Liong turut dibantu oleh adiknya yang bernama Ah Ping. Walaupun berlainan agama, ia tidak menghalang mereka bekerja dalam satu bumbung dan tidak memutuskan hubungan kekeluargaan mereka.
Kami naik ke tingkat atas bengkelnya pula bagi bertemu dengan isteri Amin Liong, iaitu Erin Liong. Erin Liong mengikuti Amin Liong melafazkan syahadahnya setelah beberapa bulan Amin Liong memeluk Islam. Alhamdulillah, Erin juga terbuka pintu hatinya untuk melafazkan syahadah. Mereka sekeluarga menjalani kehidupan sebagai keluarga Muslim sejak beberapa tahun yang lalu.
Kehadiran kami disambut senyuman mesra oleh Erin yang sedang menyediakan persiapan untuk anak-anaknya yang akan kembali dari sekolah petang. Mereka berdua dikurniakan empat orang anak yang comel iaitu Muhammad Aditya Liong 9 tahun, Siti Aisyah Liong 7 tahun, dan sepasang kembar berusia 5 tahun iaitu Muhammad Afiq Liong dan Siti Anis Liong. Erin tersenyum ceria dan berulang-ulang kali mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan Hidayah Centre Foundation untuk mereka sekeluarga. Terima kasih itu bukanlah semata-mata untuk HCF tetapi ia juga untuk mereka yang sentiasa bersama HCF menyumbang wang ringgit sehingga HCF dapat menyalurkan bantuan-bantuan seumpama ini kepada saudara baru.
Erin menyatakan kesyukurannya kerana ternyata hidup mereka sekeluargakini berubah dan dapat memulakan hidup baru dengan bengkel kereta yang diusahakan oleh Amin Liong. Kadangkala, selepas Erin menyiapkan kerja-kerja rumah, beliau turut turun ke bengkel membantu dalam urusan pentadbiran dan pemfailan dokumen-dokumen perniagaan. Senyuman terharu juga kegembiraan sungguh terserlah diwajah ceria Erin. Alhamdulillah.
Senyuman di wajah Erin ternyata dapat menyembunyikan kesakitan yang beliau hidapi. Erin Liong sebenarnya telah diuji menghidap penyakit kanser payudara. Beliau kini masih mendapatkan rawatan berterusan di salah sebuah hospital kerajaan. Kelincahannya melakukan rutin tugasan harian suri rumah sama sekali tidak memperlihatkan kesakitan dirinya. Kanser payudara yang dihidapi juga memakan belanja kos rawatan yang agak tinggi.
Sedang kami berbual di ruang tamu rumah mereka, dua orang anak mereka iaitu Aditya Liong dan Siti Aisyah Liong pulang dari sekolah agama sesi pagi. Riuh rendah sekali suara mereka memberikan salam buat kami semua. Dengan penuh sopan dan hormat, anak-anak kecil ini bersalaman dengan kami semua sambil menguntum senyuman. Mereka mula menceritakan sesi persekolahan yang baru mereka ikuti pada tahun baru 2019 ini. Biasanya mereka mempunyai kira-kira 2 jam sebelum perlu bersiap-siap pula untuk pergi ke sekolah kebangsaan sesi petang. Tidak lama selepas itu, adik beradik kembar iaitu Afiq dan Anis pula pulang dari sesi persekolahan tadika Cina yang mereka ikuti.
Apa yang lebih menggembirakan kami adalah, apabila kami terlihat anugerah yang dimenangi oleh anak sulung mereka. Muhammad Aditya Liong yang kini bersekolah di darjah 3 mula menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademiknya. Aditya menerima anugerah tempat ketiga pencapaian terbaik di dalam kelas dan menerima anugerah terbaik bagi matapelajaran Bahasa Inggeris. Semoga adik Aditya dapat meneruskan momentum kecemerlangannya demi menjamin masa hadapan mereka sekeluarga yang lebih cerah lagi. Amin Liong dan isterinya, Erin Liong begitu komited dan menitikberatkan pendidikan anak-anak mereka. Kesemua anak mereka mengikuti kelas tambahan bacaan al-quran juga matematik seperti yang dimaklumkan kepada kami
Wakil Hidayah Centre Foundation yang hadir, turut menyampaikan sedikit sumbangan kewangan dan barang keperluan buat Amin Liong sekeluarga bagi persiapan menyambut Tahun Baru Cina tidak lama lagi. Semoga mereka sekeluarga dapat meraikan sambutan Tahun Baru Cina dengan lebih gembira lagi bersama keluarga besar mereka walaupun berbeza agama.
Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan khidmat membaiki kenderaan bagi membantu penjanaan ekonomi mualaf ini, bolehlah ke Bengkel Amin Liong terletak di No 15-G, Jalan LJ2, Taman Industri Lembah Jaya, 68000 Ampang.
Selamat Maju Jaya diucapkan buat Amin Liong sekeluarga!
Islam Disampaikan Saudara Baru DiPerkasakan
Kami pernah kongsikan kisah beliau sebelum ini dalam laman web kami dalam artikel bertajuk Nafas Baru untuk Mualaf di pautan ini >>> https://hidayahcentre.org.my/2018/11/27/nafas-baru-buat-mualaf/
#HidayahCentreFoundation