MENJADI TAMU DI RUMAH PANJANG
Oleh SHM | Siti Hamisah Manan
Kampung Silungai terletak di tebing Sungai Silungai. Terdapat 60 unit rumah iaitu 40 unit di rumah panjang dan 20 unit lagi di sekitar kawasan rumah panjang ini. Kapasiti penduduk asal adalah 600 orang. Namun sekitar 200 orang telah bermigrasi dari kampung ini. Kini tinggal sekitar 400 penduduk yang menetap di sini. Bagi generasi muda bermigrasi satu tindakan yang perlu yakni keluar daripada kepompong kemiskinan yang diwarisi di sini. Tanpa sumber ekonomi, mereka hanya mengharapkan kehidupan sekadar mampu meneruskan rutin harian. Walau sungai panjang dan dalam membolehkan mereka untuk menjadi nelayan air tawar, cerun yang sedikit berhawa dingin boleh menghasilkan cucuk tanam, namun jika semua menangkap ikan siapakah yang mahu membeli? Jika semua bercucuk tanam, bagaimanakah mahu menjual hasil pada mereka yang juga mempunyai tanaman? Begitulah keluhan Ketua Kampung Silungai ketika saya berkesempatan bersembang dengannya. Pun begitu walau kebanyakan anak muda telah keluar mencuba nasib diri, namun sesekali mereka kembali memeriahkan kampung ini pada hujung minggu atau cuti panjang bagi bertemu keluarga yang ditinggalkan.
Malam ini saya dan rakan-rakan menjadi tetamu di Rumah Panjang! Satu pengalaman yang tidak pernah terfikir oleh saya. Selama ini ditonton di kaca televisyen ataupun menatap gambarnya yang unik. Namun hari ini, pertama kali saya masuk ke rumah panjang! Sangat menarik keadaan rumah panjang ini. Satu ciri masyarakat Malaysia di Borneo yang patut dipelihara. Rumah kayu yang dibina agak tinggi mungkin mengelak limpahan air sungai berhampiran. Rumah memanjang ke kiri dan kekanan menghadap sungai yang mana dewan yang mengumpulkan penduduk untuk pelbagai acara berada di tengah-tengah antara rumah tersebut. Diperbuat daripada kayu, dewan yang kelihatan kukuh, bersih dan agak teratur ini sudah lama sunyi kerana tiada simbahan cahaya elektrik daripada genset sedia ada untuk mencahayakannya pada waktu malam. Genset yang memiliki kapasiti 8-10KW sebelum ini, perlu digunakan secara berjimat cermat. Melainkan ada keraian besar seperti majlis perkahwinan, maka genset akan diatur supaya bertahan lebih lama pada waktu malam. Jika tiada majlis seumpama ini, bila malam menjelma dewan ini sepi daripada sebarang aktiviti.
HANYA TUHAN YANG MAMPU MEMBALAS KERANA MEMBERI CAHAYA KEPADA KAMI
Malam ini dewan ini meriah dilimpahi cahaya! Terang benderang dan berseri dengan senyuman dan gelak ketawa daripada penduduk di sini yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Malam ini dewan ini juga dipenuhi makanan pelbagai masakan. Penduduk kampung dengan bantuan isteri kepada Pamail memasak makanan untuk penduduk di sini dan tetamu yang hadir. Malam ini malam meraikan kehadiran limpahan cahaya yang menerangi Kampung Silungai dengan genset baru! Saya cuma memerhati riak wajah penduduk yang seolah-olah kenduri besar di dewan pada malam itu. Ternyata ada rasa syukur tersimpan jauh dilubuk hati mereka. Ya syukur yang mungkin tidak mereka mengertikan seperti apa yang kita imani.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang datang ke kampung kami memberi sumbangan genset untuk kegunaaan kami. Hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas jasa tuan-tuan dan puan-puan kerana memberi cahaya kepada kami”. Demikian ucapan Ketua Kampung Rumah Panjang Kg Silungai Encik Bintuyu bin Mandulu.
SYUKUR
Ya syukur. Itulah tajuk yang dipilih untuk Pamail sampaikan kepada penduduk di Kg Silungai malam ini. Pamail menyampaikan erti syukur. Syukur iaitu berterima kasih kerana Tuhan telah memberikan pelbagai kemudahan kepada penduduk di sini. Syukur kerana di luar sana terutama dari Semenanjung ada orang yang sudi membantu penduduk di sini dengan mengumpulkan wang untuk membeli genset dan juga membantu penduduk di sini mendapatkan pendawaian elektri yang baru untuk setiap rumah. Syukur juga kepada Hidayah Centre Foundation sebagai sebuah organisasi yang bersusah payah sudi datang membantu sehingga ke Kg Silungai yang jauh di pedalaman. “Jangan lupa untuk kita bersyukur kepada Tuhan yang telah memberikan kita semua ini” ujar Pamail dalam ucapannya. Ucapan yang bersemangat dan ucapan dalam bahasa yang mudah difahami oleh penduduk di sini. Mungkin perkataan syukur yang sebenar tidak mampu mereka ucapkan sebagaimana yang kita ketahui. Namun mereka tidak lupa untuk berterima kasih kepada Tuhan.
MENCAHAYAKAN RUMAH PENGHUNI
Malam ini mereka meraikan dan diraikan. Daripada pihak Hidayah Centre Foundation (HCF) penduduk Silungai diraikan dengan sumbangan ‘cahaya’. Manakala wakil-wakil HCF pula diraikan dengan juadah dan persembahan kebudayaan momogun iaitu tarian angalang. Senyuman tidak putus-putus terukir diwajah penduduk dewasa. Manakala anak-anak kecil ketawa gembira sambil ke sana ke mari berkumpulan. Sungguh bahagia melihat kebahagian orang lain. Apakah perasan mereka yang telah menyumbang kepada kebahagian penduduk ini? Sudah pasti kepuasan dirasai atau mungkin meresapi jauh ke lubuk hati penyumbang dan semoga moga kebahagian penduduk ini menatijahkan ganjaran pahala berpanjangan kepada penyumbang di akhirat kelak.
Malam ini juga mereka dicahayakan. Cahaya lampu bukan sahaja memenuhi ruang dewan bahkan lampu memenuhi setiap rumah di Kg Silungai. HCF bukan sahaja menyumbang genset hasil sumbangan orang ramai bahkan HCF telah membuat pendawaian elektrik yang baru bagi setiap rumah dengan sebuah soket elektrik dan tiga biji lampu! Walaupun rumah yang dibina dengan papan ini tidak berganti baru, namun pendawaian elektrik yang sempurna dengan genset yang berkuasa lebih tinggi sudah pastinya rumah dirasakan seperti baru pada malam ini!
Tidakkah malam ini adalah malam bagi penduduk bermandikan cahaya dan meraikan cahaya yang telah lama dinanti diwaktu malam yang pekat? Semoga mereka bukan sahaja bermandikan cahaya elektrik.. semoga satu ketika nanti.. hati mereka akan bercahaya dengan kembali kepada fitrah azali…
ORANG SABAH : KAYA BUDAYA KAYA SANTUN
Seusai upacara perasmian kakitangan HCF dihadiah dengan kalungan manik hasil buatan penduduk di sini. Inilah uniknya orang Sabah. Mereka kaya dengan kebudayaan dan salah satunya kraftangan manik yang menghasilkan pelbagai rekaan kalung dan juga gelang. Malahan manik-manik ini menjadi elemen utama dalam pakaian tradisi setiap etnik. Manik-manik ini disulan cantik di atas baju. Setiap baju etnik juga berbeza corak sulaman dan pemakaian dan menjadi lambang dan identiti etnik mereka. Paling istimewa manik-manik yang dihadiahkan ini adalah hasil tangan ibu kepada Ketua Kampung Kg Silungai.
Ketua kampung di sini sangat santun orangnya. Dari awal kehadiran saya di dewan rumah panjang ini berkali-kali beliau datang kepada kami dan mempersilakan kami menjamah makan. Sedangkan beliau tidak menjamah makanan yang telah terhidang. Sesekali beliau membuka penutup makanan dan melihat sama ada makanan masih mencukupi atau tidak. Pada awalnya saya sendiri tidak mengetahui bahawa beliau adalah Ketua Kampung di sini. Ketika majlis bermula barulah kami dimaklumkan bahawa beliau adalah ketua kampung yang baharu dilantik.
Selesai semua majlis beliau datang dekat saya dan Aisyah. Kami bersembang tenang kampung dan tentang keluarga beliau. Mujur juga Aisyah walaupun asal dari semenanjung namun agak fasih berbahasa Sabah. Saya bertanya kepada beliau tentang pandangan beliau tentang Islam. Jawab beliau “bagi saya agama itu sama sahaja. Semuanya baik”. Saya yang masih mentah dalam dakwah hanya senyum. Lantas saya terus bertanya adakah dia tahu berkaitan Islam. “Dalam keluarga saya ada yang telah memeluk Islam. Salah seorang anak saya telah memeluk Islam” , teratur sekali kata-katanya dengan penuh kelembutan dan keredupan mata walaupun muka beliau agak serius dan tiada reaksi ketika bersembang. Dalam hati saya ada sinar untuk ketua kampung ini mendapat maklumat lanjut tentang Islam.
Walaupun penduduk di sini sekitar empat puluh orang sahaja mualaf namun mereka tidak merasa terasing. Mereka boleh hidup dengan harmoni dan saling tolong menolong. Kehadiran pusat komuniti HCF yang juga dijadikan seperti surau kawasan ini tidak mengganggu gugat keharmonian mereka di sini. Semoga penduduk di sini akan terus hidup harmoni dan saling membantu. Semoga mereka juga akan saling menghormati dan mengetahui tentang anutan masing-masing dan HCF dapat melaksanakan amanah berkongsi mesej Islam dengan penduduk di sini. Itulah tugas kita sebagai umat Islam. Tidak ada paksaan dalam agama. Namun jika keindahan yang pamerkan oleh penganut agama Islam maka keindahan juga yang akan dirasai oleh mereka yang bukan Islam. Semoga HCF terus diberi kekuatan khususnya mereka yang berada di cawangan Sabah untuk terus menyampaikan Islam dan menyantuni mualaf.
Nantikan sambungan siri 4
– Cabaran Sungai Pagalungan…
Nota :
Kos Pembekalan kabel, peralatan dan pendawaian sumbangan Kapar Energy Ventures Sdn Bhd, Ranhill Powertron Sdn Bhd serta orang ramai.
Sampaikan Islam, Santuni Mualaf
#Hidayah Centre Foundation