fbpx

Bantu Mualaf : Misi Pencahayaan Pagalungan – Siri 2

SILUNGAI KAMI DATANG..
Oleh SHM | Siti Hamisah Manan


Setelah hampir 2 jam dari tengah hutan menguruskan tayar kereta yang bermasalah, Silungai mula memunculkan diri dengan pemandangan sungai sebagai tanda. Sayup di bawah sana dari tempat kami memberhentikan kenderaan kelihatan deratan rumah kayu di seberang sungai. Terpegun saya melihat keindahan pemandangan di sini. Lebih mengusik jiwa apabila melihat masih ada rakyat Malaysia yang tinggal dalam keadaan sederhana seperti keadaan saya di kampung dahulu yang tidak mempunyai elektrik dan tinggal berdekatan sungai.

Kami masih berada di atas jalan. Jalan yang berada di tebing lebih tinggi. Belasan penduduk warga lelaki sedang bersiap mengelilingi kereta Roy yang telah pun berada di bawah cerun di tepi sungai. Kereta kami yang dipandu oleh Ihsan dan Joanes segera turun menyertai Roy di cerun. Tiada jalan lain untuk menghantar genset ini ke kawasan penduduk Silungai melainkan perlu menyeberang sungai menggunakan bot. Bot panjang bentuknya tirus dan panjang dilengkapi dengan enjin minyak diesel.


Penduduk lelaki yang bertubuh sasa termasuk kanak-kanak turut sama membantu menurunkan genset dari kenderaan dan kemudian bersama-sama memikul genset tersebut menggunakan kayu untuk turun ke tebing sungai. Riuh suara merancangkan bagaimana mahu menurunkan getset tersebut melalui tangga kayu betul-betul ke tebing sungai. Sambil sesekali pecah tawa mereka bergurau dalam memberi pandangan. Memang sungguh mencabar dan menguji sabar. Genset berat yang mungkin mencecah ratusan kilo di pikul beramai-ramai dengan menggunakan alas kayu seperti memindahkan rumah cara lama.

Penduduk bekerjasama memindahkan genset.


Semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan penduduk menjadikan urusan memindahkan genset dari kereta ke tebing jadi mudah. Akhirnya genset selamat diletakkan dalam bot untuk di bawa ke seberang. Saya dan team media sempat merakamkan saat-saat genset itu menaiki bot ke seberang.

Sampai di seberang satu cabaran lagi perlu dilalui iaitu menaikkan genset daripada bot ke Jeti. Tinggi jeti daripada aras air kira-kira 2 meter! Daripada jeti tersebut perlu pula menaiki sekitar 20 anak tangga yang agak curam untuk betul-betul sampai di kawasan kampung! Namun segalanya mudah kerana penduduk di sini sudah biasa dengan keadaan kehidupan yang sebegini. Dengan semangat pasukan setiap ahli yang hadir memainkan peranan masing-masing. Dengan suara yang riuh rendah dan berirama agar mendapat langkah yang sama, alhamdulillah jam 4.30 petang urusan meletakkan genset di ‘rumah’nya selesai.

PEJABAT HCF PAGALUNGAN
Selesai tugas merakamkan detik-detik memindahkan genset daripada kenderaaan menyeberang sungai Pagalungan menggunakan bot, saya dan rakan yang lain mempersiapkan diri untuk acara penyerahan rasmi genset kepada ketua kampung Silungai. Di Silungai kami berpengkalan di Pejabat Hidayah Centre Foundation. Pejabat ini merupakan sebuah rumah yang didirikan berhampiran sungai dan disumbangkan oleh penyumbang utama iaitu Majlis Agama Islam Perlis dan juga orang ramai.

Walaupun pejabat ini sederhana besarnya namun ia merupakan satu-satu pusat aktiviti mualaf di kawasan ini. Dengan tiga buah bilik dan ruang tamu yang sederhana, pejabat ini boleh menampung kelas pengajian mualaf dan juga sebagai surau bagi penduduk Islam di kawasan ini. Semenjak pejabat ini beroperasi mualaf sini mempunyai kelas pengajian yang lebih teratur. Pamail sebagai kakitangan HCF sepenuh masa di sini telah menjalankan tugasnya dengan sebaik mungkin bagi memenuhi keperluan penduduk Islam di sini. Pejabat HCF cawangan Sabah yang berpusat di Kota Kinabalu juga turut sesekali turun ke kawasan ini membantu Pamail menjalankan aktiviti untuk mualaf di sini.

Genset yang baru dipindahkan perlu diuruskan pendawaiannya. Roy tanpa rehat yang panjang bertanggungjawab menguruskan pendawaian agar malam nanti kegelapan atau kesuraman di Silungai bakal diterangi dengan cahaya! Sementara itu kakitangan dari semenanjung khususnya mengabdikan kenangan santunan warga Silungai dengan memaku papan dinding ‘rumah’ genset.

Pengurus HCF Sabah Joanes Lukas tidak terlepas mengabdikan memori menyantuni dan berbakti kepada penduduk Kg. Silungai

DINGINNYA AIR SUNGAI!
Sementara menunggu pendawaian disiapkan bagi memastikan malam ini lampu akan menerangi seluruh rumah penduduk rumah panjang Silungai maka kami pun bersiap-siap untuk membersihkan diri kerana di Sabah jam enam petang kegelapan mula bertandang dan segera membungkus kawasan di sini. Saya menempati salah satu bilik di pejabat HCF Silungai bersama Aisyah. Suasana semakin gelap. Untuk membersih diri kami perlu menyusuri tepi rumah yang agak curam dan ke bilik air yang berada di bawah rumah dengan berbekalkan lampu daripada ‘powerbank’. Bilik air yang kecil dengan serba kekurangan dengan air sejuk daripada sungai! Sungguh terimbau lebih 30 tahun yang lalu di waktu zaman kecil ketika belum ada bekalan elektrik di kampung! Seakan begitulah yang saya alami ketika berada di pejabat HCF di Kg Silungai ini. Mandi ala kadar sahaja. Tidak berlama-lama seperti di rumah sendiri.

Walaupun sederhana seperti rumah tumpangan, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kerana kewujudan pejabat ini. Bertuahlah mereka yang telah menyumbang bagi memastikan HCF dapat memiliki rumah ini dijadikan pusat aktiviti menyantuni mualaf di sini. Ia juga boleh menjadi tempat persinggahan dan teduhan bagi kami kakitangan daripada cawangan lain apabila ada aktiviti di sini. Selamat menangguk pahala bagi yang masih hidup kerana menyumbang kepada pembelian pejabat ini! Andai seorang memeluk Islam dan menggunakan kemudahan di sini bayangkan apa yang terhidang dihadapan anda dengan sumbangan ikhlas anda… Bagi yang telah menemui Ilahi dengan sumbangan ini.. selamat beristirehat dengan pahala yang berterusan sehingga hari pembalasan yang tiada lagi penyesalan dan tawar menawar….

Pejabat Hidayah Centre Pagalungan yang memiliki 3 bilik dan satu ruang tamu beserta dapur

INFO :

  1. 4WD D-Max Isuzu adalah sumbangan sebuah institusi YBj
  2. Genset sumbangan MAIPs dan orang ramai
  3. Pejabat Pagalungan adalah sumbangan MAIPs dan fund Raising oleh HCF Kajang


Nantikan sambungan siri seterusnya…

#HidayahCentreFoundation
#SampaikanIslamSantuniMualaf

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 thought on “Bantu Mualaf : Misi Pencahayaan Pagalungan – Siri 2”

  1. HAFEEZ MOBILIK ABDULLAH

    Semoga Allah mengurniakan kesihatan yg sempurna lagi walafiat dan kekuatan serta kecergasan yg tinggi kpd kamu dan kami dlm usaha ini…..in syaa Allah

Scroll to Top