KUCHING – Hidayah Centre Foundation (HCF) Cawangan Kuching meneruskan komitmennya dalam menjaga kebajikan dan menyediakan sistem sokongan sosial yang berterusan buat golongan saudara baharu (mualaf) di negeri ini.
Baru-baru ini, barisan kakitangan HCF Kuching telah meluangkan masa mengadakan ziarah kebajikan ke Hospital Umum Sarawak bagi menyantuni salah seorang mualaf di bawah santunan HCF, Puan Zulaiqa Rubiyani.
Ziarah tersebut dilakukan bagi memberikan sokongan moral dan emosi kepada beliau yang kini sedang diuji apabila suaminya dikejarkan ke hospital akibat masalah kesihatan. Kehadiran wakil HCF adalah bersempena dengan perkembangan positif suaminya yang telah dipindahkan keluar dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa.
Bagi seorang mualaf, fasa menghadapi ujian kesihatan ahli keluarga terdekat amat memerlukan kekuatan mental dan emosi yang tinggi. Menyedari hakikat bahawa institusi kekeluargaan Islam dibina atas dasar saling membantu, HCF Kuching hadir bagi memastikan Puan Zulaiqa tidak berasa bersendirian dalam menempuhi saat-saat sukar ini.
Sokongan berbentuk ruang penyampaian luahan perasaan serta kehadiran fizikal di hospital diharapkan dapat meringankan sedikit bebanan emosi yang ditanggung oleh waris pesakit.
Pihak Hidayah Centre Foundation menyeru seluruh masyarakat untuk sama-sama memanjatkan doa agar suami kepada Puan Zulaiqa dikurniakan kesembuhan yang mutlak, dipermudahkan segala urusan rawatan, serta seluruh ahli keluarga mereka dianugerahkan ketabahan yang tinggi oleh Allah SWT.





