LAPORAN PROGRAM ZIARAH DAKWAH KE KAMPUNG MALINSAU DARAT, RANAU // 30 Jun 2026
Program Ziarah Dakwah HCBT Bersama Pelajar Praktikal USIM di Kampung Malinsau Darat
Alhamdulillah, telah berlangsung Program Ziarah Dakwah ke Kampung Malinsau Darat, Ranau hasil kerjasama Hidayah Centre Foundation Bundu Tuhan (HCBT) bersama pelajar praktikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang sedang menjalani latihan industri di ABIM Ranau. Program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada YADIM Ranau sebagai rakan strategik dalam membimbing serta memudah cara pelaksanaan aktiviti lapangan kepada para pelajar.
Rombongan telah diketuai oleh Ustaz Sabri Abdullah, selaku Penasihat ABIM Ranau. Perjalanan dimulakan dengan berkumpul di Rumah Putera Harapan, diikuti bacaan doa sebelum bertolak menuju ke Kampung Malinsau Darat. Sepanjang perjalanan, rombongan singgah menikmati sarapan di Timbua sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi.
Setibanya di Surau Kampung Malinsau Darat, peserta disambut mesra oleh pihak pengurusan surau. Aktiviti dimulakan dengan gotong-royong membersihkan kawasan surau, sebagai tanda semangat kebersamaan dan khidmat kepada masyarakat setempat. Seterusnya, sesi ucapan pengenalan oleh Pengerusi Surau memberikan gambaran mengenai latar belakang kampung serta perkembangan dakwah di kawasan tersebut.






Program diteruskan dengan Kelas Fardhu Ain serta Klinik Al-Fatihah yang dikendalikan oleh Saudara Sharqawi. Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi ilmu asas agama dan memperkukuhkan bacaan al-Quran bersama penduduk kampung dalam suasana santai dan penuh ukhwah.
Selepas menunaikan solat Zohor dan menikmati jamuan makan tengah hari bersama penduduk kampung, rombongan meneruskan ziarah kasih ke kediaman ayah kepada Imam Samlin. Beliau kini sedang diuji dengan serangan strok yang menyebabkan separuh badannya lumpuh. Kehadiran rombongan bukan sekadar menziarahi, bahkan membawa semangat, sokongan moral serta mendoakan agar beliau diberikan kesembuhan, kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian Allah SWT. Momen ini menjadi pengalaman yang sangat bermakna buat para pelajar praktikal, yang dapat melihat sendiri kepentingan dakwah bil hal melalui sentuhan kasih sayang dan keprihatinan kepada masyarakat.
Sebelum bertolak pulang, rombongan turut singgah di kawasan sungai berhampiran sebagai sesi santai dan refleksi terhadap perjalanan program sebelum kembali ke Rumah Putera Harapan, Ranau.
Semoga program seperti ini terus menjadi platform yang bermanfaat dalam melahirkan pendakwah yang bukan sahaja mempunyai ilmu, bahkan memiliki jiwa yang dekat dengan masyarakat. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada penduduk Kampung Malinsau Darat atas layanan yang amat mesra, kepada HCBT dan YADIM yang bertindak sebagai pemudah cara kepada pelajar praktikal USIM, serta kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini.
“Dakwah bukan sekadar menyampaikan, tetapi juga hadir membawa kasih sayang, harapan dan kekuatan kepada insan yang memerlukan.





