GEORGE TOWN — Hidayah Centre Foundation Pulau Pinang (HCFPP) telah berpeluang bersama-sama menjayakan program Open Day Masjid Melayu Lebuh Acheh sempena sambutan Heritage Day di sini. Program anjuran Islamic Outreach ABIM (IOA) dengan kerjasama Gabungan Dakwah Malaysia Pulau Pinang (GDMPP) dan HCFPP ini bertujuan memberikan pendedahan langsung kepada masyarakat bukan Islam serta pelancong antarabangsa untuk mengenali ajaran Islam dengan lebih dekat.





Menerusi pengisian aktiviti seperti masjid tour dan sesi dialog interaktif, para pengunjung diberi peluang memahami fungsi sebenar masjid serta asas ajaran Islam dalam suasana yang mesra dan harmoni. Program ini terbukti menjadi medium berkesan untuk menghapuskan salah faham masyarakat luar terhadap Islam sekali gus menyampaikan mesej Islam sebagai agama rahmat untuk seluruh alam.
Pihak pengurusan HCFPP merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan dan pengunjung yang terlibat, berserta doa agar usaha dakwah ini terus menjadi asbab tersebarnya hidayah kepada jiwa-jiwa yang mencari kebenaran.





