GEORGE TOWN — Warga kerja Hidayah Centre Foundation Pulau Pinang (HCFPP) telah meluangkan masa menghadiri majlis akad nikah salah seorang mualaf di bawah santunan HCFPP, Bro Abdul Malik, bersama pasangannya dalam satu majlis yang penuh bermakna.
Kehadiran pihak pengurusan HCFPP adalah sebagai bentuk sokongan moral berterusan dan tanda kebersamaan dalam meraikan detik bersejarah buat saudara baharu berkenaan. Pihak HCFPP menegaskan bahawa komitmen terhadap golongan mualaf tidak hanya terhad kepada bimbingan fardu ain dan kebajikan semata-mata, malah merangkumi sokongan sosial serta emosi dalam pelbagai fasa penting kehidupan mereka.
Seluruh warga HCFPP mendoakan agar mahligai yang dibina ini sentiasa diberkati Allah SWT, dikurniakan keharmonian menerusi mawaddah, rahmah, dan sakinah, serta menjadi sebuah keluarga yang kukuh di atas landasan iman dan takwa.





