KUCHING – Dalam usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian mesej Islam dan bimbingan yang lebih inklusif, wakil Hidayah Centre Foundation (HCF) Sarawak telah menyertai Kursus Bahasa Mandarin untuk Pegawai Pengislaman yang berlangsung dari 24 hingga 26 Jun 2026.
Kursus intensif selama tiga hari itu diadakan di Riverside Astana Wing, Kuching, dengan anjuran penuh Bahagian Kemajuan Saudara Kita, Jabatan Agama Islam Sarawak. Sesi bimbingan tersebut telah dikendalikan oleh pakar bahasa, Puan Aisyah Liu Abdullah.
Pengisian kursus memberi tumpuan khusus kepada penguasaan aspek sebutan (Pinyin), pemantapan kosa kata harian, serta latihan simulasi dialog praktikal. Pengisian ini dirangka secara khusus bagi memudahkan urusan rasmi serta memperkasakan interaksi dua hala bersama masyarakat berketurunan Cina, khususnya golongan yang berbahasa Mandarin.



Penyertaan proaktif wakil HCF Sarawak dalam program ini merupakan langkah strategik organisasi untuk memperkukuhkan kemahiran komunikasi silang budaya dalam kalangan kakitangan. Melalui penguasaan bahasa ketiga, kualiti penyampaian dakwah dan sokongan sosial kepada golongan Saudara Kita dijangka dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan harmoni.
Pihak Hidayah Centre Foundation merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bahagian Kemajuan Saudara Kita, Jabatan Agama Islam Sarawak atas jemputan serta komitmen berterusan dalam menganjurkan program latihan yang berimpak tinggi ini demi kemaslahatan masyarakat.





