HCF Perak Terajui Masjid Tour

BATU GAJAH, PERAK – Program Masjid Open Day sempena Sambutan Maal Hijrah dan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Ulu Kinta telah berlangsung di Masjid Toh Puan Besar Hatijah, Batu Gajah.

Program ini dianjurkan oleh Masjid Toh Puan Besar Hatijah dan Jabatan Agama Islam Daerah Batu Gajah, dengan kerjasama Hidayah Centre Foundation (HCF) Perak, PERKIM Batu Gajah serta agensi-agensi yang terlibat.

Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang program, antaranya perarakan, Masjid Tour, Ceramah Perdana, pertandingan memasak, pertandingan mewarna, pemeriksaan kesihatan, pameran dan reruai, Jualan Rahmah serta aktiviti kemasyarakatan yang lain.

Dalam program ini, HCF Perak memainkan peranan mengendalikan aktiviti Masjid Tour dengan menyantuni beberapa orang daripada masyarakat majmuk. Para peserta diberi penerangan berkaitan fungsi dan peranan masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan, dakwah dan pembangunan masyarakat.

Masjid Tour ini menjadi ruang bagi masyarakat majmuk melihat dan memahami masjid dari dalam. Program seumpama ini juga membuka ruang interaksi yang positif bagi memperkenalkan keindahan Islam melalui pendekatan yang santai, mesra dan harmoni.

Pendekatan ini selari dengan sirah Rasulullah ﷺ. Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Thumamah bin Uthal, yang ketika itu belum Islam, pernah diikat di salah satu tiang Masjid Nabawi. Baginda ﷺ menemuinya dan melayannya dengan baik sehingga beliau dibebaskan, lalu beliau sendiri melafazkan syahadah. Hidayah itu milik Allah, dan masjid sejak zaman Baginda ﷺ telah menjadi ruang yang terbuka kepada pelbagai lapisan manusia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top