KUCHING – Persatuan Dayak Muslim Kebangsaan (PDMK) bersama Hidayah Centre Foundation (HCF) dengan kerjasama strategik Tabung Baitulmal Sarawak serta Pengurusan Kompleks Islam Sarawak telah berjaya menganjurkan Majlis Penangguhan Ngiling Bidai Dayak Muslim 2026 bertempat di Centre Court, Majma Mall Kuching.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua HIKMAH, Datuk Abang Mohd Shibli Abg Mohd Nailie. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menitikberatkan kepentingan penghayatan Islam sebagai syiar cara hidup yang syumul serta keperluan menuntut ilmu secara berterusan dalam kalangan Saudara Kita.






Bagi mengupas keseimbangan antara tuntutan syariat dan pemeliharaan adat, program ini turut memuatkan sesi forum bertajuk “Agama dan Budaya Berpisah Tiada”. Forum tersebut dikendalikan oleh Pengurus HCF, Tuan Fathurrahman, bersama panel jemputan terdiri daripada Ustaz Norhaza Redzuan Abdullah, Ustaz Safuan Abdullah, dan Puan Damia Alyaa Maisarah.
Keunikan majlis kali ini turut diserlahkan melalui slot bacaan ayat suci al-Quran oleh Lily Haryani, yang disampaikan bersama terjemahan dalam bahasa etnik tempatan oleh Yakub Abdullah (Bahasa Iban) dan Hilmi Abdullah (Bahasa Bidayuh Sadong). Selain itu, para pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan instrumen muzik tradisional sape’ oleh pemuzik muda, adik Muamer, bagi mempamerkan kebudayaan warisan masyarakat Dayak.
Penganjuran program berimpak tinggi ini diharapkan dapat terus menjadi platform yang inklusif dalam memperkukuh ikatan ukhuwah sesama komuniti, di samping membuktikan bahawa kepelbagaian budaya boleh terus dimartabatkan selari dengan acuan syariat Islam.





