KEDAH, 27 Jun 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Hidayah Centre Foundation (HCF) Cawangan Kedah telah menganjurkan Bengkel Keusahawanan Bersama Mualaf (Siri 1) bertempat di Pejabat HCF Kedah. Bengkel yang memfokuskan modul “Motivasi Diri Untuk Memulakan Kerjaya Sebagai Usahawan” ini disampaikan oleh Puan Syahrina Abdullah dari UUM dan disertai oleh 8 orang rakan mualaf terpilih.
Inisiatif murni ini bertujuan memberikan dorongan motivasi serta asas pengetahuan perniagaan bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi dan keupayaan berdikari dalam kalangan mualaf. Pihak HCF Kedah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak UUM atas kolaborasi strategik ini dan kekal komited untuk terus menyediakan platform sokongan serta bimbingan berterusan demi memantapkan kebajikan saudara baharu.








