MISI MENCABAR KE PEDALAMAN BERMULA..
Oleh: SHM | Siti Hamisah Manan
Dingin pagi bumi di bawah bayu begitu memalaskan diri. Seawal 4.45 pagi azan subuh berkumandang bersama gegaran di handphone memecah sunyi bilik hotel. Namun janji temu telah ditetapkan ahli misi ke Pagalungan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu mematikan hasrat untuk berlama-lama di atas katil. Walaupun kesedapan selimut yang membaluti diri berbaur dengan keletihan perjalanan dari semenanjung memungkin untuk terus lena merehatkan tubuh yang makin dipanjat usia.
Usai membersih diri dan sujud mengabdikan diri pada Ilahi, kami berkemas dan turun ke lobi hotel. Kami Menaiki 4WD terus menuju Masjid Bandaraya Kota Kinabalu seperti yang dijanjikan. Kami bergabung dengan dua lagi 4WD. Satu 4WD membawa genset bersama pembekal. Satu lagi membawa barang keperluan dan team teknikal yang menguruskan pembelian dan penyerahan genset tersebut. Manakala saya dan beberapa orang lagi adalah team media yang akan membuat laporan juga mendapatkan rakaman video terbaik untuk memaklumkan kepada masyarakat tentang bantuan kami melalui sumbangan mereka.
Seawal 6.30 pagi kami mula bergerak ke Sapulut tatkala matahari mula menjenguk-jenguk alam. Perbezaan waktu amat ketara antara semenanjung dan Sabah. 6.30 pagi umpama 7.30 pagi. Oleh kerana perjalanan yang agak jauh maka bergerak awal satu keperluan. Apatah lagi jalan yang bakal dilalui adalah jalan hutan untuk pembalakan yang berhampiran Banjaran Croker. Genset ini perlu sampai selewatnya waktu petang kerana dimaklumkan bahawa genset ini perlu diseberangkan ke Kg Silungai menggunakan bot. Dengan mengambilkira kebarangkalian cuaca yang tidak menentu maka misi kami ini perlu bergerak seawal mungkin.
Nurul Ihsan pemandu kereta kami yang terdiri daripada saya, Hanan dan juga Aisyah. Manakala Joanes memandu kereta bersama team teknikal iaitu Rosdin dan Kassim. Roy dan rakannya Xavier pula merupakan pembekal yang mengetuai perjalanan kami ke Kg. Silungai. Dikhabarkan Roy baru memeluk Islam sebulan yang lalu. Sabah yang unik bisik hatiku mendengar perkhabaran itu. Kekaguman kepada team HCF Sabah makin berkembang dan mencengkam dalam hati. Terkadang hidayah bertandang tanpa bicara. Cukup sekadar tingkah laku yang berkata. Itulah istimewanya jalan yang saya dan rakan saya dalam HCF telusuri kini.
Pergerakan awal kami dari Kota Kinabalu menuju ke Keningau mengambil masa dua jam. Jalan masih berturap tar dan perjalanan lancar membolehkan ada rakan misi yang lena semula menyahkan keletihan yang masih berbaki. Namun saya sendiri tidak boleh lena kerana panorama yang dibentangkan oleh alam tidak mampu ditolak oleh penglihatan sepasang mata saya yang jarang sekali dapat menikmati pemandangan sebegini.
Jam 8.30 pagi kami sampai di Keningau. Singgah mengisi petrol dan juga mengalas perut yang sudah mula berkeroncong. Setelah makan ala kadar kami memulakan semula perjalanan menuju Sapulut. Perjalanan daripada Keningau melalui Sook, Nabawan dan juga Salong sehingga ke Sapulut memakan masa empat jam. Ketika melalui jalan ini kelihatan kelibat-kelibat jentolak yang direhatkan dalam proses membina lebuhraya Trans-Borneo. Seperti terbengkalai lagaknya. Sabah yang banyak potensi dan mungkin boleh maju daripada apa yang ada sekarang, diriku bermonolog sendirian melihat kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Trans-Borneo sepanjang perjalanan dari Keningau ke Sapulut.
Perjalanan ke Kg Silungai melalui Banjaran Croker memang mencabar dan menguji ketahanan fizikal. Kebiasaannya perjalanan ke Kg Silungai team HCF Sabah melalui jalan Kuala Salong. Jalan ini lebih baik walaupun memakan masa yang lebih lama. Namun perjalanan melalui Sapulut yang melalui jalan pembalakan, anda akan digoncang dalam 4WD selama tiga jam! “Aisyah jangan tidur nanti patah tulang rusuk kamu” ujarku dalam gurauan dan tawa kami pecah berderai. Ya sungguh seperti mahu terkeluar segala isi perut melalui perjalanan ini. Bukan itu sahaja, kami menempuh jalan berbahaya di kiri bukit berhutan dan di kanan gaung menadah diri. Apatah lagi lecak di mana-mana. Ditambah semalamnya hujan mencurah. Terkadang 4WD yang meluncur lecak umpama sampan dihanyut arus. Namun semangat dalam diri untuk membantu mualaf di samping berkongsi mesej Islam yang syumul yang telah terpasak kukuh disanubari menyebab cabaran ini bak kata pepatah melayu ‘alah bisa tegal biasa’.
Sedang asyik mengikuti rentak alunan muka bumi jalan balak, tiba-tiba kelihatan di hadapan dua daripada pacuan empat roda rombongan kami kelihatan berhenti. Rupa-rupa kereta yang dinaiki oleh Roy kehabisan angin. Mungkin hentakan yang tidak berhenti kerana bentuk muka bumi yang tidak rata di samping lecak yang sentiasa menunggu di kawasan yang basah, menyebabkan ia berlaku. Maka kami semua berhenti dan menunggu Roy dan rakannya memperbaiki tayar kereta. Ketika itu jam menunjukkan angka 12 tengahari.
Roy cuba menaikkan bahagian hadapan badan kenderaannya dengan menggunakan ‘jack’. Harapan beliau agar tayar tersebut boleh dipamkan angin hampa. Setelah berusaha keras untuk mengisi angin namun masih gagal. Tayar tidak mahu kembang. Akhirnya Roy terpaksa menukar tayar kereta dengan tayar spare. Masa berlalu hampir sejam di tengah hutan menguruskan tayar tersebut. Alhamdulillah segalanya selesai dan perjalanan diteruskan ke destinasi dituju. Roy terus meluncur laju dengan pacuan empat roda berwarna biru. Walaupun dibelakang kenderaannya terletak genset namun ia tidak sedikitpun menghalang beliau memacu kenderaannya dengan laju mendepani kenderaan lain.
Nantikan sambungan siri seterusnya…
Rasanya nama tempat itu bukan Silungai tetapi Sigaluid.