fbpx

π——π—”π—žπ—ͺ𝗔𝗛 𝗔𝗠𝗔𝗑𝗔𝗛 π—žπ—œπ—§π—” π—•π—˜π—₯𝗦𝗔𝗠𝗔

(Bahagian 1)

Oleh: Wan Muhammad Wan Ibrahim.

Sebagai Muslim, kita harus bersyukur kepada Allah yang telah memberikan begitu banyak nikmat kepada kita dalam kehidupan seharian. Bermula ketika kita bangkit daripada tidur pada awal pagi hinggalah kita tidur semula pada sebelah malamnya, juga sejak kita lahir ke dunia ini hinggalah saat kita menghembuskan nafas terakhir kelak, tidak putus-putus nikmat Allah yang mengalir buat kita. Sama ada nikmat itu berupa harta yang banyak, tubuh badan yang sihat, kelapangan masa, pancaindera yang sempurna, keluarga yang bahagia, ilmu yang bermanfaat, negara yang aman harmoni dan sebagainya, sungguh kita tidak akan mampu menghitung nikmat-nikmat Allah tersebut.

Firman Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):β€œDan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (An-Nahl 16 : 18)

Antara nikmat kehidupan yang perlu kita syukuri ialah nikmat iman dan Islam. Malah inilah nikmat terbesar yang dikecap oleh seseorang manusia di dunia ini. Kita wajar berasa amat bertuah kerana tidak semua manusia mendapat nikmat ini.

Cuba kita berfikir sejenak, agaknya jika ibu bapa dan keturunan kita bukan beragama Islam, adakah kita akan lahir dalam agama Islam? Jika ditakdirkan kita hidup sebagai seorang bukan Islam, kemudian mesej Islam datang kepada kita namun kita menolaknya, adakah kita berpeluang untuk meraih syurga Tuhan? Atau lebih teruk, kita menjadi orang yang hebat menentang Islam, apakah nasib kita kelak di hari Akhirat?

Sebab itu kita perlu sangat bersyukur kepada Allah Tuhan sekalian alam yang telah memilih kita untuk hidup di atas dunia ini sebagai Muslim.


Kita berada dalam naungan Islam yang merupakan agama yang benar, diturunkan oleh Allah kepada umat manusia melalui para nabi dan rasul-Nya, sejak Nabi Adam a.s. hinggalah Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan rasul terakhir. Malah Islam adalah satu-satunya agama yang diterima oleh Allah, sebagaimana firman-Nya (yang bermaksud):
β€œSesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah ISLAM.” (Ali Imran 3 : 19) Firman Allah dalam ayat yang lain (yang bermaksud):β€œPada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan telah Aku redhai ISLAM itu menjadi agama bagi kamu.” (Al-Ma’idah 5 : 3)

Justeru bagi kita yang telah dilimpahkan begitu banyak nikmat Allah, bagaimana wajar kita membuktikan kesyukuran kita kepada-Nya? Jika kita mempunyai harta dan wang ringgit yang banyak, atau kita mempunyai kelebihan ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain, apakah patut kita simpan untuk diri kita sahaja?

Sudah semestinya salah satu tanda kesyukuran kita kepada Allah adalah kita kongsikan nikmat-nikmat tersebut dengan insan lain yang memerlukan. Lebihan harta yang kita miliki, kita sedekahkannya kepada mereka yang sedang diulit kesengsaraan. Ilmu yang kita ketahui, kita sampaikan kepada orang lain yang tidak tahu. Kelapangan masa yang ada, kita gunakannya dengan aktiviti yang bermanfaat.

Begitu jugalah dengan nikmat Islam yang ada pada kita. Kita wajar kongsikannya kepada mereka yang masih belum mengecap nikmat ini. Kita sampaikan mesej Islam kepada rakan-rakan kita yang bukan Islam, atau dalam perkataan lain, berdakwah. Sedarlah kita di luar sana akan sentiasa ada orang yang menanti kedatangan kita untuk berkongsi dengan mereka akan kebenaran dan keindahan Islam. Mari kita bincangkan pengertian dakwah secara ringkas. Dakwah berasal daripada perkataan bahasa Arab β€œda’a” yang bermaksud seruan, panggilan atau ajakan.

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, dakwah adalah mengajak kepada Islam, mengikuti petunjuk-Nya, mengukuhkan manhaj-Nya di muka bumi, beribadah kepada-Nya, melepaskan diri daripada semua ketaatan kepada selain-Nya, membenarkan apa yang dibenarkan oleh-Nya, menyalahkan apa yang disalahkan-Nya, menyeru kepada yang makruf, mencegah yang mungkar, dan berjihad di jalan Allah.Pendek kata, dakwah adalah panggilan ke jalan Allah, selaras dengan firman Allah (yang bermaksud): β€œKatakanlah (wahai Muhammad): β€˜Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata dan Maha Suci Allah dan aku tiada termasuk orang yang musyrik.’” (Yusuf 12 : 108).

Sampaikan Islam, Perkasakan Mualaf.

πŸ”Ž Info lanjut mengenai HCF:
🌐 Web: www.hidayahcentre.org.my
β„Ή Facebook: fb.me/hidayahcentrefoundation
πŸ“· Instagram: https://instagram.com/hidayahcentrefoundation
πŸŽ₯ YouTube: https://youtube.com/HidayahCentre
🎦Tiktok: https://vt.tiktok.com/ZSKcy3Fj/
πŸ†• Telegram: https://t.me/buletinHCF
πŸ“±Tel/Whatsapp : https://wa.me/601160552445
🏧 Kongsi Pahala: www.dahsedekah.com

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top