fbpx

APA KHABAR SAUDARA BAHARU KITA?

Ash hadu an la ilaha illallah, wa ash hadu anna Muhammadan Rasulullah. Aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi Nabi Muhammad pesuruh Allah.” begitulah ungkapan kalimah yang disebutkan oleh seseorang bukan Islam yang bakal mengubah seluruh sisi kehidupannya dalam sekelip mata. Kadangkala ungkapan tersebut diiringi dengan kalimah takbir “Allahu akhbar” bersahut-sahutan gegak gempita di sekelilingnya. Mata-mata juga sosok tubuh yang baharu apatah lagi janggal sekali rasanya bila kali pertama melangkah ke masjid membulatkan tekad untuk melafazkan kesaksiannya memeluk Islam.

Terkadang puluhan malahan ratusan jemaah masjid turut teruja bersama-sama menyaksikan upacara bersejarah penuh emosi tersebut. Ada gembira, ada sebak, ada tangisan dan ada kesyukuran. Pelukan demi pelukan tahniah diterima daripada kalangan hadirin yang ramai.  Harapan dan doa dipanjatkan buat sosok yang mengucap syahadah. Persis seorang bayi yang baru dilahirkan. Sosok saudara baharu inilah yang menjadi fokus perhatian pada beberapa ketika. Adakah ia hanya sekejap cuma?

Setelah berakhirnya upacara syahadah, apakah fasa seterusnya? Ke mana hilangnya puluhan malah ratusan Muslim yang sama-sama melaungkan takbir di majlis yang bersejarah itu? Mungkin saja mereka beranggapan, saudara baharu kita ini sudah matang untuk menguruskan kehidupannya sendiri selepas melafazkan syahadah. Tidak. Tidak semua majlis syahadah berlakunya perkara sebegini. Mungkin sedikit berbeza keadaannya di musim pandemik Covid-19 ini. Kadangkala, tetapi tetap ada. Masakan tidak pernah kita dengar mengenai kisah-kisah pengislaman beramai-ramai dan akhirnya kembali ke agama asal kerana mereka ditinggalkan pendakwah yang pernah mengajak mereka kepada Islam di kawasan pedalaman. Kasihan, bukan?.

Sebenarnya, selepas bersyahadah adalah fasa yang lebih genting lagi dalam kehidupan saudara baharu kita ini. Ada sebahagiannya yang terkapai-kapai dalam menentukan arah tuju kehidupan baharunya selepas menerima hidayah. Ada pula dalam kalangan saudara baharu yang dibuang terus dari keluarga atas pilihan memeluk Islam ini. Teman-teman mula meminggirkan diri, seolah-olah melupakan segala kebaikan sebelum ini. Ada juga yang diketahui majikan, lantas dibuang kerja. Hilang rezeki punca mata pencarian hariannya. Dan pada zaman teknologi ini, ada dalam kalangan saudara baharu yang hanya belajar solat mahupun membaca Al-Quran hanya melalui internet sahaja.

Ibarat seorang bayi yang begitu naif, lima tahun pertama adalah begitu penting bagi tumbesarannya. Begitulah juga permulaan kehidupan bagi saudara baharu kita ini. Kita perlu menyedari bahawa saudara baharu kita ini harus dibimbing secara dekat, disantuni juga diberikan motivasi diri berterusan agar tidak mudah goyah hatinya. Sekurang-kurangnya, kita yang sememangnya Muslim ini perlu lebih prihatin juga membantu akan keperluan asas saudara baharu kita. Sebagaimana petikan sepotong hadis,  “Orang yang paling disukai Allah adalah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain. Amalan yang paling disukai Allah ialah kegembiraan yang engkau hadirkan buat seorang Muslim, atau engkau angkat kesusahan yang menimpanya, atau engkau langsaikan hutangnya atau menghilangkan kelaparannya. Dengan aku berjalan untuk satu urusannya lebih aku sukai daripada beriktikaf di masjid selama sebulan.” [Hadis riwayat at-Thabrani]

Langkah pertama yang boleh dilakukan adalah dengan membantu urusan pendaftaran pengislaman saudara baharu kita. Berikanlah kesedaran mengenai kepentingan pendaftaran pengislaman bagi mengelakkan perkara yang tidak sepatutnya berlaku pada masa akan datang. Suatu ketika dahulu, pernah berlakunya perebutan jenazah saudara baharu kita. Mujur sahaja, jabatan agama mempunyai rekod pendaftaran pengislamannya.

Seterusnya, bantulah memberikan bimbingan asas agama Islam kepada mereka. Sekiranya kita sendiri kurang yakin akan kemampuan untuk membimbingnya, bantulah saudara kita dengan mencarikan kelas bimbingan berhampiran. Pelbagai institusi kerajaan mahupun organisasi bukan kerajaan seperti Hidayah Centre Foundation (HCF) ada menyediakan kelas-kelas bimbingan saudara baharu secara percuma di seluruh negara termasuklah di kawasan pedalaman. Sebahagian saudara baharu pasti akan merasa janggal untuk terus berurusan dengan institusi keagamaan di negara kita ini. Bantulah urusan mereka untuk mendaftarkan diri di kelas-kelas bimbingan saudara baharu.

Pelbagai program latihan dan juga dakwah bagi menyampaikan Islam secara lebih harmoni kepada masyarakat bukan Islam telah giat dianjurkan oleh HCF serta rakan-rakan institusi lain di seluruh Malaysia. Antara program yang dianjurkan adalah Hari Terbuka Masjid, program jelajah masjid, sambutan Tahun Baharu Cina dan latihan dakwah dalam masyarakat majmuk. Setiap individu Muslim seharusnya mempunyai kesedaran bagi mengikuti program sebegini bagi menguasai teknik-teknik menyampaikan Islam dengan lebih berhikmah. Selain itu, terdapat juga latihan yang diberikan mengenai kaedah terbaik dalam menyantuni saudara baharu. Sekurang-kurangnya, kita melengkapkan diri dengan ilmu asas mengenai Islam bagi memastikan saudara baharu dapat disantuni dan diperkasakan sebaiknya. Mudah-mudahan Allah memberikan pahala berlipat kali ganda buat insan yang membantu saudara baharu yang masih bertatih mendalami agama Islam ini.

Seboleh-bolehnya, janganlah kita meninggalkan saudara baharu kita. Usah dibiarkan mereka berdikari sendiri seolah-olah mereka terus dapat mendalami Islam secara mandiri. Libatkan mereka dengan aktiviti, ibadah juga sambutan hari perayaan Islam bersama-sama. Mereka masih perlu dibimbing sebaiknya dengan penuh hikmah. Anggaplah saudara baharu kita ini seperti ahli keluarga kita sendiri sepertimana sepotong hadis “Tidak beriman seorang Muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Semoga kita lebih cakna lagi dalam usaha menyantuni saudara baharu kita yang saban hari menanti-nantikan huluran tangan saudara seislamnya.

Hidayah Centre Foundation(HCF) telah menyantuni dan memperkasakan ribuan mualaf di seluruh Malaysia dalam aspek kelas pengajian, tenaga pengajar, pembinaan surau, bantuan mualaf miskin dan mualaf dalam kesusahan. Usaha-usaha dakwah dan santunan mualaf ini masih berjalan berterusan seiring dengan perkembangan dan pertambahan bilangan mualaf saban hari. HCF memerlukan dana yang stabil untuk terus bergerak aktif dalam medan dakwah dan menyantuni mualaf ini.

Sempena bulan Ramadan ini, kami di Hidayah Centre Foundation (HCF) ingin mengajak anda semua untuk bersama-sama berkongsi pahala menyokong HCF dalam melaksanakan usaha dakwah & santunan mualaf. Sumbangan anda, sekecil mana pun pasti akan dapat melancarkan lagi gerak kerja dakwah ini. InsyaAllah, ganjaran daripada Allah SWT.

“Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” [HR. Bukhari].

Jom bersama berkongsi pahala dengan HCF dalam usaha menyampaikan Islam dan memperkasakan mualaf

Klik >>> :http://www.dahsedekah.com

Klik >>> :http://www.dahsedekah.com

Sampaikan Islam, Perkasakan Mualaf

#HidayahCentreFoundation
#KongsiPahala
#SedekahRamadan

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top