Suatu petang, kami telah dikunjungi salah seorang mualaf santunan HCF iaitu bro Fadil yang membawa sahabat non muslim beliau iaitu bro K. Beliau menyatakan sahabatnya tersebut ingin mendengar lebih lanjut lagi penerangan mengenai agama Islam..Mereka berdua sebenarnya merupakan sahabat baik sejak kecil lagi. Tinggal sekampung juga belajar di sekolah yang sama beberapa tahun yang lalu di Perak. Apabila meningkat dewasa, membawa haluan masing-masing dan terpisah seketika. Baru-baru ini Bro K dapat menghubungi semula bro Fadil dan mereka mengatur temujanji untuk berjumpa.
.
Bro Fadil sebenarnya pernah ditimpa ujian yang begitu dahsyat sekali sebelum memeluk Islam. Beliau kehilangan sebelah kakinya kerana terlibat kemalangan di tempat kerja. Lebih 9 pembedahan telah beliau lalui selepas kemalangan itu. Bertahun-tahun beliau terlantar di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Di hospital itulah, beliau mula mencari-cari tuhan yang sebenar. Beliau banyak bertanya soalan mengenai Islam kepada pesakit lain di wad hospital. Salah seorang pesakit telah membimbing & membantu beliau sehinggalah bersyahadah. Alhamdulillah, beliau telah bersyahadah pada bulan Februari 2019.Bro K sangat terkejut melihat perubahan pada diri Bro Fadil selepas memeluk Islam. Bro Fadil lebih tenang & menjadi manusia yang lebih baik lagi. Ternyata, bro Fadil yang dijumpai ini semula sangat berbeza sekali dengan yang dikenalinya dahulu. Islam banyak mengubah kehidupan bro Fadil .Bro Fadil pun mula menceritakan mengenai keindahan agama Islam yang baru dianutinya kepada rakan baik non Muslimnya ini. Walaubagaimanapun, masih ada sedikit keraguan di hati bro K juga terdapat persoalan yang tidak terjawab.Perkara ini membuatkan bro Fadil mengambil keputusan membawa sahabatnya ini ke pejabat HCF. Selepas penerangan diberikan juga sesi soal jawab mengenai Islam bersama bro K,akhirnya beliau menyatakan keinginan untuk bersyahadah. Beliau dengan rela hati mengucapkan dua kalimah syahadah di ibu pejabat HCF disaksikan sendiri oleh bro Fadil. .Sebelum pulang, bro K ada menyatakan kebimbangan beliau untuk memberitahu keluarganya terutama sekali isteri dan anak-anaknya mengenai keputusan yang diambil ini. Beberapa hari selepas itu, bro K hadir semula ke pejabat kami ingin berbincang bagaimana cara yang terbaik untuk memberi penjelasan kepada isteri dan anak-anaknya. Ibu beliau telah dimaklumkan terlebih dahulu.
.
Bro K menjemput team HCF serta bro Fadil hadir ke rumahnya untuk bertemu isteri dan anak-anak beliau. Isterinya menyambut kami dengan begitu mesra sekali dengan hidangan air oren sejuk buat kami yang berbeza agama ini. Kami bertanya khabar mereka sekeluarga juga menerangkan keadaan yang sebenar. Isterinya mula bertanya beberapa soalan juga kemusykilannya mengenai Islam. Bro Fadil juga menjadi perantara bagi menerangkan di dalam Bahasa Tamil. Beliau berkata, perlukan sedikit masa sebelum membuat keputusan.Kami pulang dan terus memanjatkan doa kepada Allah agar dibukakan pintu hidayah buat mereka sekeluarga. Kami serahkan segala-galanya kepada Allah. Kami hanya mampu menyampaikan mengenai Islam. Allah jualah yang memberikan hidayah..Alhamdulillah, esoknya kami dipelawa lagi hadir ke rumahnya. Isterinya telah memaklumkan kepada ibunya di kampung untuk memeluk agama Islam. Dan ibunya merestui keputusan ini. Tanpa sebarang paksaan, beliau dan anak-anak turut melafazkan khalimah syahadah. Alhamdulillah.Rasulullah saw bersabda , “ Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan aku adalah utusan Allah. Tidaklah seorang hamba bertemu Allah sambil membawa dua kalimah syahadah tersebut tanpa ragu kecuali pasti dia akan masuk ke dalam syurga.”(HR. Muslim)..Asbab seorang mualaf kurang upaya, yang kudung kakinya menyampaikan keindahan Islam kepada sahabatnya. Sekeluarga telah dibawa untuk bersama-sama menuju ke syurga.MasyaAllah. Jadi, apakah lagi alasan kita yang sememangnya dikurniakan cukup sempurna anggota badan ini untuk tidak menyampaikan keindahan Islam? .Allah SWT berfirman, “ Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.” (QS. Al Hujurat: 15).
.
Bro Fadil sebenarnya telah lebih 30 tahun terpisah dengan ibu kandungnya. Baru-baru ini kami dimaklumkan beliau telah dapat menghubungi ibunya semula. Dan yang paling menggembirakan hatinya adalah kerana ibunya juga telah memeluk Islam lebih 20 tahun yang lalu. MasyaAllah. Ibunya juga baru mengetahui anaknya ini sudah memeluk Islam tahun 2019. Semoga mereka terus istiqamah dalam mendalami ajaran Islam.
Ayuh! bersama Hidayah Centre Foundation dalam usaha menyampaikan Islam dan menyantuni mualaf.
Layari:
www.dahsedekah.com
www.dahsedekah.com
#HidayahCentreFoundation
#DiariMualaf