fbpx

Dakwah Ke Kampung Ini Sukar, Silap Langkah Boleh Jadi Mangsa Buaya!

Perjalanan untuk menyampaikan kalimah Tauhid bukanlah satu perkara yang mudah. Namun, dengan sokongan dan bantuan daripada Hidayah Centre Sabah, semua kesukaran dirasakan mudah kerana ada pihak yang turut sama berganding bahu menjayakan misi ini.

Baru-baru ini, penulis serta beberapa rakan daripada Hidayah Centre Sabah mengambil kesempatan untuk menziarahi dan menyampaikan sedikit bantuan kepada masyarakat pribumi di Beluran, Sabah. Usai tiba di Negeri di Bawah Bayu, penulis menumpang menginap di Pejabat Hidayah Centre Sabah Cawangan Beluran sebelum memulakan pergerakan seterusnya. Disebabkan lokasi pejabat ini yang berada di kawasan pedalaman, talian telefon pastilah terganggu sehingga membuatkan komunikasi dengan dunia luar menjadi mustahil. 

Cabaran ke Pedalaman

Selepas tiba dan berehat sebentar di ‘rumah penginapan’ sementara kami, kami bergerak ke lokasi yang direncanakan. Talian telefon yang tidak tersedia bukanlah satu-satunya cabaran yang ada kerana ada lagi cabaran lain yang akan kami hadapi. Disebabkan lokasi yang kami ingin tuju tersebut agak jauh dan terpencil, bot merupakan satu-satunya pengangkutan yang tersedia untuk kesana dengan melalui jalan sungai. Seram juga rasa di hati kerana salah seorang rakan kami, Ustaz Zaqwan ada menyatakan bahawa terdapat kejadian penduduk tempatan dibaham buaya baru-baru ini!

Mereka Perlukan Bantuan Kita!

Tidak seperti kampung-kampung lain yang pernah kami ziarahi, persekitaran kampung ini agak kekurangan daripada segi infrastruktur. Siapa sangka, di saat kita tinggal di rumah yang lengkap dengan pelbagai kemudahan, rumah penduduk di sini masih tidak berdinding. Namun, di sebalik segala kekurangan yang ada, ia tidak menghalang misi kami untuk menyampaikan sumbangan makanan asas seperti beras kepada penduduk tempatan. Sumbangan yang sedikit ini masih mampu mengukir senyuman kepada mereka yang sejak daripada mula lagi telah menyambut kami dengan mesra. Kami juga sempat menyampaikan beberapa maklumat berkenaan agama Islam dan konsep ketuhanan yang esa kepada mereka. Ternyata, hidayah Allah itu boleh hadir pada bila-bila masa dan mereka menerima mesej yang kami sampaikan dengan tenang. Hati mereka terbuka untuk bersama-sama mengucapkan kalimah syahadah bersama kami.

Kami juga melawat sebuah bangunan surau yang telah dibangunkan oleh Ustaz Zaqwan bersama rakan-rakannya sejak 2 tahun lepas di kampung ini. Selain tujuan pembinaannya sebagai tempat beribadat, ia juga dijadikan sebagai pusat untuk melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di kampung ini. Secara tidak langsung, ia menggambarkan fungsi masjid yang lebih fleksibel, bukan hanya sebagai tempat bersolat, tetapi juga tempat bersosial dalam kalangan ahli masyarakat.

Ikatan Persaudaraan Kami

Ikatan persaudaraan juga jelas dapat dilihat antara pihak Hidayah Centre dan juga penduduk kampung. Saat Ustaz Zaqwan tiba dan berjalan-jalan di sekitar kampung, pasti ada penduduk kampung yang menyapanya dan mengajaknya bersembang seketika. Sosok Ustaz Zaqwan yang telah dikenali sejak sekian lama di kampung ini juga mungkin menjadi asbab mengapa ramai penduduk di sini menerima Islam dengan rela hati. 

Pengalaman menziarahi kampung penduduk pribumi ini menyedarkan kita bahawa masih ada masyarakat di luar sana yang menantikan sinar Islam yang murni ini. Keterbatasan disebabkan faktor geografi dan pendedahan kepada agama Islam tidak menjadi penghalang untuk kita terus mendekati kelompok ini. Jika ada usaha, maka masih ada jalan yang terbuka untuk Islam sampai ke seluruh masyarakat.

Video: Cahaya Islam di Pedalaman

Infak Dakwah

Salah satu usaha yang paling mudah untuk kita bersama ialah dengan melalui sumbangan dana ikhlas. Sumbangan atau derma yang disalurkan ini sedikit sebanyak membantu membuka lebih banyak jalan syahadah di Negeri Sabah, Negeri di Bawah Bayu. Dengan semudah satu klik sahaja, kini urusan sumbangan menjadi sangat mudah. Anda boleh menyertai kempen dana ini melalui butang sumbangan seperti yang tertera di bawah ini :

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang pedih? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya serta kamu berjuang di jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga kamu…”

As-Saff : 10-11

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top