fbpx

Kali Pertama Masuk Masjid Walaupun Sudah 35 Tahun Berjiran.

Kelana Jaya – Masjid Al Hidayah Kelana Jaya buat julung kalinya telah bekerjasama dengan Hidayah Centre Foundation untuk mengadakan aktiviti Jelajah Masjid sempena Jamuan Terbuka Hari Raya tahun 2019 ini. Program yang diadakan pada hari Ahad 30 Jun 2019 baru-baru ini, dihadiri lebih 1000 orang tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat penduduk sekitar Masjid Al Hidayah. Jamuan Terbuka Hari Raya ini sememangnya sentiasa dinanti-nantikan para penduduk sekitar.

Majlis ini turut dihadiri oleh YB Lim Yi Wei, ADUN Kampung Tunku yang berpeluang bersama-sama menikmati juadah Hari Raya juga menyampaikan hadiah duit raya buat kanak-kanak yang hadir. Lebih 20 orang tetamu bukan Islam yang turut hadir tidak melepaskan peluang untuk menyertai aktiviti Jelajah Masjid yang diadakan.

Rata-rata tetamu bukan Islam, menyatakan inilah kali pertama mereka menjejakkan kaki ke dalam masjid ini. Salah seorang tetamu yang ditemui iaitu encik Loviirajaratnam menyatakan beliau sudah 35 tahun tinggal di sebelah masjid ini, tetapi inilah kali pertama berpeluang masuk ke dalamnya. Beliau cukup teruja dan gembira dengan kesempatan yang diperolehi ini. Beliau kini mendapat pengetahuan yang lebih jelas lagi mengenai agama Islam dan peranan yang dimainkan oleh masjid.

Tetamu bukan Islam yang lain juga begitu teruja bila mendapat penerangan mengenai ibadah solat yang dilakukan oleh umat Islam di dalam masjid. Selain itu, tetamu wanita juga berpeluang mengenakan hijab di reruai “How Do I Look in Hijab?”. Tetamu turut berpeluang bertanyakan sebarang persoalan mengenai agama Islam yang akan dijawab oleh para aktivis Hidayah Centre Foundation.

Semoga lebih banyak lagi masjid yang dapat membuka pintu kepada masyarakat bukan Islam untuk mendapatkan informasi yang lebih tepat lagi mengenai agama Islam. Semoga aktiviti Jelajah Masjid ini dapat diadakan lagi di masa akan datang dengan mendapat sokongan penuh dari institusi masjid keseluruhannya. Terima kasih diucapkan buat semua sukarelawan juga aktivis Hidayah Centre Foundation yang meluangkan masa menyantuni masyarakat bukan Islam dalam program ini. Semoga diredhai Allah sentiasa. InsyaAllah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top