Masyarakat Pelbagai Agama & Bangsa Dijemput Hadir

KUALA LUMPUR – Seluruh lapisan masyarakat pelbagai agama & bangsa dijemput hadir beramai-ramai ke Majlis Sambutan Aidilfitri Harmoni 2019 yang bakal diadakan pada hari Sabtu ini di Taman Rekreasi Pudu Ulu, Cheras bermula jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang.

“Pelbagai jenis juadah tradisional Melayu dan pelbagai etnik akan dihidangkan juga pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan budaya pelbagai kaum dan etnik, sudut pameran Islam, booth jualan akan disediakan,” menurut Pengerusi Gabungan Dakwah Malaysia (GDM), Hj Nicholas Sylvester dalam satu sidang media sambutan itu yang telah diadakan semalam.

Program ini adalah anjuran bersama GDM, Kesatuan Kebangsaan Pekerja Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE DBKL) &  Allied Coordinating Committee of Islamic NGO (ACCIN) yang terdiri daripada 10 organisasi bersama pelbagai NGO yang lain.

Menurut Hj Nicholas lagi , Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan, dan Jabatan Kerja Raya (JKR) turut bersama-sama memberikan kerjasama dalam penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri Harmoni 2019 ini.

“Objektif penganjuran kali ini adalah untuk mewujudkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk di Malaysia di samping menunjukkan Islam adalah satu cara hidup yang membawa rahmah kepada seluruh alam berteraskan konsep Rahmatan Lil Alamin,” jelas beliau lagi.

Menurutnya, pihak penganjur sedang berusaha untuk menjemput Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi merasmikan pembukaan majlis tersebut.

“Antara jemputan kita adalah ketua-ketua agama dari masyarakat majmuk di Malaysia dan pemimpin-pemimpin tempatan dari pelbagai latar belakang.”

Ujarnya, turut diadakan adalah majlis sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik dan mereka yang diraikan adalah terdiri dari golongan anak-anak yatim, orang tua, orang asli dan saudara baru.

“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menjemput semua lapisan masyarakat majmuk Muslim dan bukan Islam di Malaysia untuk bersama-sama kami menjayakan sambutan pada kali ini. Jemput hadir beramai-ramai.”

Turut hadir dalam sidang media itu adalah Pengerusi ANULAE DBKL, En Zakaria Abdullah dan En Zuhri Yuhyi yang mewakili Pengerusi ACCIN.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai sambutan ini, boleh diajukan kepada Pn Che Anizah (018-3971841), En Shiham ( 013-4594518) atau Pejabat (03-41089669).                  

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *