fbpx

Hadiah Syawal buat Mualaf

Alhamdulillah, sepenuh kesyukuran dipanjatkan kepada Allah s.w.t atas kurniaan yang diberikan dalam menjayakan projek renovasi bagi pejabat baru Hidayah Centre Foundation Bandar Tun Razak (HCBTR). HCBTR bermula pada tahun 2012 yang diusahakan oleh salah seorang staff HCF yang juga merupakan seorang mualaf iaitu saudara Joanes Lukas. Kini, HCBTR diurus selia oleh Jawatankuasa Penasihat HCBTR iaitu sepasang suami isteri , Encik Muhamad Nazeli dan Puan Umi Kalthom beserta para aktivis lain. Kelas bimbingan mualaf HCBTR ini awalnya bermula dengan 5 orang pelajar mualaf sahaja yang menumpang di pejabat IKRAM Bandar Tun Razak.

Saban tahun, peningkatan pelajar bertambah-tambah yang terdiri daripada perseorangan bukan Islam yang ingin mengetahui mengenai Islam dan mualaf. HCBTR merupakan antara cawangan yang paling aktif dalam usaha berdakwah dan santunan mualaf. Lebih 70 orang telah bersyahadah di HCBTR. Kelas yang sedia ada juga sudah tidak dapat menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah. Sebelum ini, laluan masuk ke kelas dijadikan tempat perbincangan bagi menjawab persoalan dari orang bukan Islam yang hadir ke HCBTR.

Sesi syahadah juga perbincangan sebelum ini hanya dilakukan di laluan masuk ke bilik Kelas Bimbingan Mualaf.

Oleh itu, HCBTR telah mengambil keputusan untuk menambahbaik Kelas Bimbingan Mualaf yang diadakan pada setap hari Sabtu ini. Selepas perbincangan, penelitian serta lawatan ke unit-unit pejabat di sekitar Bandar Tun Razak, sebuah unit pejabat telah dikenalpasti sebagai pejabat baru HCBTR. Lokasi kedudukannya yang berhampiran dengan stesen LRT akan memudahkan lagi akses bagi mualaf juga sukarelawan HCBTR.
.
Projek pengubahsuaian pejabat baru HCBTR telah dimulakan pada 27 April 2019 iaitu lebih kurang seminggu sebelum bulan Ramadan. Alhamdulilah, projek ini telah selesai pada 13 Jun 2019 iaitu seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri ini. Ia juga merupakan hadiah Syawal yang begitu bermakna sekali buat para mualaf yang mengikuti kelas bimbingan mualaf bersama HCBTR.

Sesi mengajar mualaf bersolat juga hanya dapat diadakan di ruang yang sempit dn terhad.

Pada hari Sabtu 15 Jun 2018 baru-baru ini. HCBTR telah menjemput sukarelawan dan para mualaf untuk bersama-sama bergotong-royong membersihkan dan menyusun atur pejabat baru HCBTR ini. Alhamdulillah, jelas terpancar kegembiraan, kesyukuran dan keterujaan di wajah-wajah mereka yang terlibat aktif bersama HCBTR. Di kalangan mualaf sendiri sudah tidak sabar untuk memulakan kelas bimbingan di pejabat baru ini. InsyaAllah kelas pertama di pejabat baru ini akan bermula pada hari Sabtu 22 Jun 2019 ini.

Sokongan berterusan dari semua pihak adalah di luar jangkaan . Walaupun kutipan sumbangan telah tutup secara rasmi sewaktu dana kutipan telah melepasi RM80,000, sumbangan terus juga diterima selepas itu. Sumbangan terakhir yang telah diterima sehingga hari ini adalah berjumlah RM92,852.45. Jumlah sumbangan perabut berupa meja, kerusi, penapis air dan bermacam lagi yang telah diterima pula adalah melebihi nilai RM25,000.00.

Terima kasih diucapkan buat semua penyumbang budiman yang terus menyokong usaha HCBTR ini. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala sumbangan juga sokongan dari semua pihak. InsyaAllah, semoga pejabat baru HCBTR ini mampu memberi manfaat kepada lebih ramai lagi ramai mualaf yang ingin mendapatkan bimbingan, kaunseling dan juga kepada orang bukan Islam yang ingin mendapat maklumat berkaitan Islam. Semoga banyak lagi aktiviti dakwah juga kerjasama yang melibatkan komuniti di sekitar Bandar Tun Razak dan Cheras yang dapat dijalankan selepas ini.

Mohon doa dari semua pihak agar HCBTR diberikan kekuatan dan keikhlasan untuk terus istiqamah di atas jalan dakwah ini. InsyaAllah

Sampaikan Islam, Santuni Mualaf

#HidayahCentreFoundation

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top