fbpx

Pertama kali jejakkan kaki ke masjid di usia 80 tahun

Selama 80 tahun menjalani kehidupan berjiran dengan masjid, Uncle Liew belum pernah menjejakkan kaki ke dalam mana-mana masjid sebelum ini. Lewat petang 21 Mei 2019 dalam bulan Ramadan, buat kali pertama dalam hidupnya, beliau berpeluang menjejakkan kaki ke dalam Masjid Aminah Al-Muhairi SS2 atas jemputan untuk menghadiri program Berbuka Puasa Bersama Masyarakat yang dinamakan “Share Ramadan Community Iftar” anjuran Hidayah Centre Foundation cawangan Petaling Jaya, Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan kerjasama Masjid Aminah Al-Muhairi SS2, Petaling Jaya.

Salah seorang sukarelawan Rakan Hidayah, saudara Akram Safian sungguh bertuah menjadi penyambut tetamu untuk menyantuni beliau. Sebaik sahaja kaki beliau melangkah masuk ke dalam dewan solat utama, matanya besar dan terdiam, mungkin kerana kekaguman memerhati suasana sekeliling. Akram membiarkan beberapa ketika Uncle Liew untuk membolehkan beliau menghayati perasaan yang hadir itu.

Kemudian barulah Akram bertanya,

“So Uncle, apa perasaan pertama kali masuk masjid?”

Jawab Uncle Liew, “Rasa tenang. Dan macam boleh lupakan perkara-perkara lain.”

Saudara Akram sedang memberi penerangan kepada Uncle Liew

Inilah antara perbualan awal Akram dan Uncle Liew semasa menyantuni masyarakat bukan Muslim yang hadir menziarahi masjid dalam program ini. Seawal jam 6 petang, masjid dibuka bagi menyambut komuniti bukan Islam sekitar masjid untuk hadir bersama-sama merasai suasana bulan Ramadan. Tetamu yang hadir berpeluang menyertai acara jelajah masjid yang dipandu oleh sukarelawan Rakan Hidayah yang terlatih. Tetamu akan dibawa masuk ke ruangan utama dewan masjid sambil diterangkan mengenai asas-asas agama Islam, juga ibadah yang dijalankan oleh umat Islam. Para tetamu juga berpeluang bertanyakan soalan berkaitan agama Islam. Sukarelawan juga akan memperjelaskan sebarang salah faham yang mungkin wujud dalam persoalan yang diberikan tetamu.

Bagi tetamu wanita bukan Islam, mereka berpeluang mengenakan hijab juga mendapat penerangan yang jelas mengenai kewajipan wanita Muslim memakai hijab. Lebih 20 orang tetamu bukan Islam yang terdiri dari kalangan komuniti sekitar masjid juga wakil rumah ibadah telah hadir dalam program ini.

Kira-kira jam 7.00 petang, kesemua tetamu dibawa ke khemah jamuan bagi bersama-sama menanti laungan azan maghrib menandakan tibanya waktu berbuka puasa. Kesemua tetamu dijamu terlebih dahulu dengan hidangan kurma dan bubur lambuk. Selepas itu, kesemua tetamu dibawa ke dewan utama untuk bersama menyaksikan semua umat Islam solat maghrib berjemaah. Ada dikalangan tetamu yang ditemui berasa begitu kagum dengan susunan yang sangat teratur ketika umat Islam bersolat.

Usai solat maghrib, semua yang hadir dijamu dengan hidangan berat iaitu nasi beriani yang disediakan oleh pihak masjid. Alhamdulillah, semua tetamu yang hadir begitu gembira dengan program yang diadakan ini. Salah seorang penduduk yang ditemui iaitu Puan Shifen yang hadir bersama suami dan ibunya ke program ini menyatakan beliau begitu gembira dapat hadir ke program seumpama ini. Beliau yang sudah 48 tahun duduk berjiran dengan Masjid Aminah Al-Muhairi SS2 juga pertama kali masuk ke masjid ini. Beliau sangat menyokong sekiranya banyak lagi program anjuran pihak masjid yang menjemput komuniti bukan Islam untu bersama menyertainya.

Tuan Hj Noli Husain, Pengarah Wilayah Tengah merangkap Pengurus Cawangan Negeri Selangor, Hidayah Centre Foundation turut berkesempatan menyampaikan perkongsian mengenai bulan Ramadan kepada semua tetamu yang hadir. Beliau sangat mengalu-alukan sebarang pertanyaan daripada semua hadirin yang hadir.

Alhamdulillah, semoga banyak lagi program seumpama ini yang dapat dianjurkan oleh Hidayah Centre di masa akan datang bagi meyebarkan keindahan Islam kepada semua masyarakat majmuk. Dengan sokongan berterusan dan sumbangan yang diberikan oleh orang ramai, dapat memastikan keberlangsungan dakwah ini dengan lebih efektif lagi. InsyaAllah.

Sampaikan Islam, Santuni Mualaf.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 thoughts on “Pertama kali jejakkan kaki ke masjid di usia 80 tahun”

Scroll to Top