fbpx

Tarbiyah di Bumi Paitan

Perjalanan yang memakan masa lebih 5 jam agak mencabar. Jalan yang tidak rata dan berbatu sangat menguji ketahanan pinggang walaupun kami menaiki 4WD.

Tak terbayang apabila pendakwah kami di Paitan menaiki motorsikal dari Paitan ke Kota Kinabalu bagi sebarang urusan yang memerlukan beliau turun ke Kota Kinabalu.

Kedudukan kampung yang berjauhan antara satu sama lain dan keadaan jalan yang tidak berturap, berbatu dan tanah merah, betul-betul mencabar.

Kami ke sana saat musim kering. Kemarau. Tiada hujan. Takungan air tidak banyak, menyebabkan orang kampung termasuk kami mandi di Sungai Sugut. Deras airnya. Menakutkan juga. Kami juga dimaklumkan bahawa ada buaya di sungai tersebut. Terkedu sekejap dan sedikit lega apabila belum pernah ada kes melibatkan nyawa. Jadi kami yang sok berani mandi di tengah-tengah sungai, terus kami ketepian.

Talian telefon dan internet sukar diakses di sana. Ada beberapa spot yang boleh mengakses talian yang memerlukan pendakwah kami bergerak keluar untuk mendapatkan talian. Maka, hari-hari kami tertumpu dengan kerja-kerja mem’5S’kan pejabat baru di sana. HCF Beluran sudah diwujudkan pada tahun 2017, tetapi baru sahaja ada pejabat, Alhamdulillah.

Daie HCF Beluran, Zaqwan bersama Rakan Hidayah bergambar sebelum meneruskan perjalanan ziarah.

Sebelum ini, pejabat mereka dimana mereka berhenti, disanalah mereka menggerakkan kerja. Hebat, bukan?

Dua hari bermalam, sempat kami menziarahi sebuah kampung yang jaaaauh dari pejabat kami, santunan HCF Beluran. Ada dijalankan KBSB di sana. Kampung Abuan.

Masya Allah! Jauh perjalanan, kiri kanan hutan (ada pembalakan di sana kelihatan sangat aktif), tiba-tiba ada kampung. Boleh bayang?

Jalan tanah merah, berbatu besar dan tajam. Pernah sekali HCF Beluran berziarah di sana, pecah tayar 4WD. Dan kebiasaannya pendakwah kami akan ke sana dengan hanya menaiki motor.

Menziarahi salah seorang saudara baru di Kg Pinangkau, Beluran.

Pernah jatuh tergelincir disebabkan jalan licin berlecak disebabkan hujan. Jalan menuju ke perkampungan kebanyakannya bertanah merah, lebih teruk keadaannya selepas hujan, sehingga mereka terpaksa menolak motor bagi melaluinya dengan selamat.  Tak mampu nak bayang. Perjalanan dari pejabat ke kampung tersebut mengambil masa 40-60 minit perjalanan bergantung pada kelajuan.

Selesai ziarah, kami pergi ke pekan (baru tahu selepas kali kedua pergi, itu bukan pekan rupanya. Ia kampung yang sedikit maju dari yang lain. Lupa nama kampung, jadi saya kata pekan, ya) mencari makanan dan beli keperluan pejabat sebelum pulang sambung kerja.

Keesokannya pulang ke Kota Kinabalu. Sepanjang perjalanan saya banyak berfikir. Koreksi diri. Betapa mereka-mereka ini mengabdikan diri untuk dakwah di kawasan masing-masing.

Saya di Kota Kinabalu tidak begitu merasa suasana mereka masuk ke pedalaman dengan kerap. Perjalanan merentas sungai dan jalan yang teruk. Berpanas berhujan dengan hanya menaiki motorsikal. Jatuh, bangun sendiri demi dakwah. Menyantuni masyarakat kampung yang pelbagai ragam, tak pernah sedikit pun berputus asa.

Banyak yang saya belajar dalam perjalanan pulang. Hidup ini lebih beerti dengan memberi. Jangan berkira banyak mana yang telah dikerah. Kerana manisnya bila ada yang datang dengan syahadah atas sentuhan rahmah. [sas]

Hulurkan sumbangan anda kepada kami melalui https://www.billplz.com/iftarsabah

Hubungi kami segera di talian 088-486 272 atau hotline 011-1881 2126.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top