100 Asatizah Turun ke Lapangan Dakwah di Melaka.

MELAKA – Seramai 100 orang asatizah iaitu guru-guru Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia dari negeri Melaka dan Negeri Sembilan telah mengikuti Daurah Mursyid Dakwah yang diadakan bermula dari 16 hingga 18 April 2019 baru-baru ini. Program yang dianjurkan oleh Hidayah Centre Foundation, Gabungan Dakwah Malaysia, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia dan
Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-Sekolah, Malaysia (PEKDIS) ini telah diadakan di TF Riverside Hotel, Melaka.

Dalam program yang berlangsung selama tiga hari ini, para peserta dilatih mengenai kemahiran berdakwah melalui pelbagai slot yang dijalankan. Antara slot yang diikuti oleh para peserta adalah bertajuk Inspirasi dari Mekah dan Madinah, Travelog Dakwah Beijing juga Travelog Dakwah Chennai. Antara barisan penceramah yang hadir memberikan pengisisan adalah Tuan Hj Nicholas Sylvester , CEO Hidayah Centre Foundation, Dr. Adam Wong Yoon Khang, En. Kamarul Zaman Noor Mohamed, En. Wan Muhammad Wan Ibrahim ,Puan Hanita Binti Rahim dan Tuan Hj. Wan Ahmad Nizar Zakaria.

Pada hari kedua program berlangsung iaitu pada hari Rabu 17 April 2019, kesemua peserta yang terdiri daripada 100 orang asatizah telah turun sendiri menjalani praktikal “street dakwah” di sekitar bandar Melaka. Para asatizah telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu antara kawasan yang terlibat adalah Menara Taming Sari, Mahkota Parade, Muzium Maritim , Jonker Walk dan Ocean Mall yang sering menjadi perhatian pelancong bukan Islam.

Street Dakwah yang dijalankan kali ini bertemakan “Who is Muhammad?”. Para asatizah menjalankan kaji selidik mengenai kefahaman masyarakat bukan Islam mengenai Nabi Muhammad. Mereka juga turut memberikan penerangan kepada masyarakat bukan Islam yang ditemui sepanjang program street dakwah ini. Rata-rata masyarakat bukan Islam yang ditemui masih kurang pengetahuan mengenai agama Islam dan Nabi Muhammad. Para asatizah turut mengedarkan pelbagai risalah berkaitan agama Islam secara percuma kepada semua orang bukan Islam yang ditemui.

Majlis perasmian penutup penutup Daurah Mursyid Dakwah ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tuan Hj. Ahmad Hamizi bin Abu Hassan, Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka. Semoga program Daurah Mursyid Dakwah yang dianjurkan ini dapat memberi kemahiran dan persiapan kepada semua Guru Pendidikan Islam dalam memahami kewajipan berdakwah dan menyampaikan mesej Islam kepada semua masyarakat bukan Muslim.

Sampaikan Islam, Santuni Mualaf.

#HidayahCentreFoundation

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *