Sudah 5 kali minum racun mahu bunuh diri.

Pada 27 Mac 2019 baru-baru ini, 3 orang wakil dari HCF Selangor berkunjung ke pusat jagaan Sri Mulia bagi menziarahi saudara Manikam, adik kepada salah seorang saudara baru santunan HCF.

Setibanya di pusat jagaan tersebut, wakil HCF iaitu encik Noli turut beramah mesra dengan Puan Jadya, yang giat menguruskan pusat jagaan tersebut tanpa mengambil sebarang upah mahupun bayaran. Encik Noli turut mengambil peluang untuk menyampaikan risalah Islam kepada Puan Jadya.

Ketika mendengar perkongsian yang disampaikan oleh encik Noli, Puan Jadya memaklumkan kepada Encik Noli bahawa ibunya sudah lama mencari seseorang untuk menerangkan kepadanya mengenai agama Islam. Puan Jadya terus membawa encik Noli ke bilik ibunya.

Encik Noli sedang memberi penerangan kepada Auntie N

Ibunya, auntie N mengalami masalah kerosakan kedua-dua belah buah pinggangnya sejak beberapa tahun yang lalu. Auntie N menceritakan masalah kesihatannya yang pernah menjalani beberapa pembedahan dan kini terpaksa menjalani rawatan dialisis sebanyak 3 kali seminggu, dengan kos kira-kira RM150 bagi setiap rawatan. Beliau sebenarnya tidak mahu membebankan anak-anaknya, termasuklah Puan Jadya yang terpaksa membiayai kos perubatan tersebut. Justeru itu, beliau telah berulang kali melakukan percubaan membunuh dirinya dengan meminum racun sebanyak 5 kali. Namun atas takdir Allah, umur beliau dilanjutkan sehingga kini beliau masih hidup di usia 71 tahun.

Beliau juga memberitahu, beliau sangat tenang ketika mendengar bacaan surah al-fatihah, dan ketika hari raya, beliau suka mendengar laungan takbir bergema dari masjid berhampiran rumahnya. Setelah sesi penerangan mengenai Islam yang disampaikan oleh encik Noli, beliau dengan hati yang terbuka berhasrat melafazkan syahadah. Beliau juga berazam utk mempelajari amalan-amalan dalam islam seperti solat,puasa dan belajar membaca dalam bahasa arab

Katakanlah (wahai Muhammad kepada umatmu): Jika kalian benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah aku (Muhammad), nescaya Allah akan mencintai kalian dan mengampuni dosa kalian“. (QS. Ali Imran: 31)

Alhamdulillah. Semoga auntie N terus istiqamah dalam mempelajari agama Islam. InsyaAllah

Sampaikan Islam, Santuni Mualaf

#HidayahCentreFoundation

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *