fbpx

Seruan hadir ke perhimpunan Solidariti Kedamaian oleh Pengerusi Gabungan Dakwah Malaysia (GDM).

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Salam Sejahtera buat semua.

.
Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi kenikmatan iman dan Islam hingga ke saat ini.

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan tragedi yang telah meragut 50 nyawa di Christchurch, New Zealand di antaranya adalah seorang warganegara Malaysia. Kami amat bersedih terhadap peristiwa yang berlaku ini dan ingin menyampaikan ucapan takziah serta rasa simpati buat seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat.

Justeru itu, saya ingin menyeru semua ahli Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) dan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama untuk memberikan sokongan dalam Perhimpunan Solidariti Kedamaian . Saya juga ingin menyeru rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang kaum dan agama untuk bersama-sama turun menunjukkan keperihatinan, simpati dan solidariti kepada mangsa-mangsa keganasan di Christchurch, New Zealand .

Kebencian dan keganasan bukanlah sesuatu ajaran Islam. Saya juga percaya, semua agama juga turut menolak keganasan. Keharmonian hidup bermasyarakat dalam kepelbagaian kaum dan agama perlulah terus dipupuk bagi mewujudkan kedamaian yang sejagat.

Saya juga ingin menggesa seluruh pihak di Malaysia untuk menggembeling usaha dengan memperbanyakkan dialog dan program yang menjurus ke arah keharmonian disamping usaha saling memahami di antara rakyat berbilang bangsa dan agama. Kita perlulah sama-sama berusaha menjadikan Malaysia sebagai negara contoh dimana wujudnya keharmonian di antara masyarakat berbilang kaum dan agama.

Marilah kita menyokong dan menjayakan perhimpunan Solidariti Kedamaian akan berlangsung pada hari Sabtu, 23 Mac 2019 ini. Ayuh, kita bersama menjadi warganegara yang cintakan kedamaian.
.

#Solidariti Kedamaian

#Solidarity4Peace

Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah
Pengerusi, Gabungan Dakwah Malaysia (GDM)
Ketua Pegawai Eksekutif, Hidayah Centre Foundation (HCF)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top