HCF menerima kunjungan pendakwah India.

Baru-baru ini , kami di Hidayah Centre Foundation telah dikunjungi oleh pendakwah terkenal dari India iaitu Maulana Mohammed Kaleem Siddiqi Sahab bersama anak-anak muridnya. Berikut merupakan antara mutiara kata beliau yang sempat kami catatkan sebagai panduan dan nasihat buat kita semua yang bergelar pendakwah:

1. Setiap masalah umat yang pelbagai ini, penyelesaian hanyalah melalui dakwah. Tidak ada jalan lain. HCF juga ditubuhkan atas asas ini. Maulana Siddiqi mengucapkan tahniah dan gembira kerana Allah swt telah memilih anda semua untuk bersama dalam dakwah ini.

2. Tahniah kepada HCF kerana dalam keadaan umat yang masih sibuk dengan pelbagai urusan keduniaan masing-masing, Allah swt telah memilih kalian untuk tujuan dakwah. Seorang jurutera pastinya akan mengikuti jurutera yang berjaya. Seorang doktor yang ingin berjaya akan mengikuti doktor yang telah berjaya. Begitu juga utuk menjadi daie yang berjaya ialah dengan kita mengikuti para ambiya’ yang telah berjaya. Daie yang paling berjaya dan paling mulia ialah Nabi Muhammad yang telah diiktiraf Allah. Dan penghulu kepada para Nabi ialah Nabi Muhammad saw. Maka kita hendaklah mengikuti jejak baginda Rasulullah saw iaitu sunnahnya dalam berdakwah sehingga berjaya.

3. Berdasarkan pengalaman Maulana Siddiqi di India. Banyak pusat latihan telah ditubuhkan, satu untuk ulamak, kedua untuk orang awam. Ulamak yang telah terlatih dididik untuk mendidik orang lain untuk menjadi pendakwah yang efektif. Kem untuk ulamak ini diadakan selama 3 bulan, manakala kem untuk orang awam adalah selama 10 hari. Dakwah ini apabila diasaskan dari Al Quran, ia akan menjadi paling berkesan. Al-Quran ada cahaya (nur) yang tersendiri. Allah yang akan mengubah hati manusia. Orang-orang bukan Islam apabila dibacakan ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan dengan dakwah, dengan mudah ianya masuk meresapi ke hati sanubari mereka.

4. Seorang biarawati mubaligh Kristian telah datang berdakyah di India kepada isteri maulana. Isteri
Maulana Siddiqi merupakan seorang hafizah. Isteri Maulana Siddiqi telah membacakan ayat Al-Quran dan terjemahannya kepada biarawati tersebut. Biarawati tersebut berkata, isteri maulana lebih mengetahui tentang Nabi Isa lebih daripada dirinya sendiri. Suatu hari, biarawati tersebut datang semula bertemu isteri maulana. Isteri maulana telah mengajarnya penghujung Surah At Tahrim iaitu yang berkaitan kesucian Maryam dan kisah kelahiran Nabi Isa. Akhirnya biarawati tersebut memeluk Islam. Kami buat latihan dgn mengambil ayat-ayat Al-Quran dan menyampaikannya. Apabila mereka pergi berdakwah dengan membaca ayat Al-Quran, banyak kali berlaku tanpa sempat dibacakan terjemahan,mereka dengan mudah menerima agama Islam. Maka, untuk memastikan dakwah yang berkesan,berdakwahlah dengan ayat-ayat Al-Quran .

5. Bagaimana kita mahu menguruskan saudara baru yang kembali kepada Islam? Caranya adalah dengan mengikuti sunnah. Saudara baru memeluk Islam, kadangkala ada yang dibuang keluarga. Nabi telah mempersaudarakan Ansar untuk mengambil Muhajirin sebagai saudaranya. Allah telah memberkati kehidupan mereka yang membantu dengan kekayaan dunia dan kejayaan akhirat. Dengan bantuan-bantuan yang diberikan ini, keluarga saudara baru ini akan perlahan-lahan tertarik kepada Islam. Inilah jalan sunnah yang tidak membebankan, malah mendatangkan keuntungan.

6. Oleh itu, kita perlu mempersiapkan umat islam untuk bersedia mengambil saudara baru sebagai saudara mereka. Paling mudah dan tidak membebankan mereka. Merupakan satu sunnah nabi, apabila kita mempersaudarakan golongan saudara baru dengan umat Islam. Lama kelamaan semua keluarga mereka akan memeluk Islam setelah melihat kebaikan akhlak umat Islam itu sendiri. Ambillah sunnah untuk diamalkan, dijadikan budaya dan berdakwahlah dengan Al-Quran. Kongsikan sebahagian kisah-kisah kejayaan seorang saudara baru mampu memotivasikan masyarakat.

7. Peganglah dua asas ini iaitu Al-Quran dan Sunnah ini seeratnya. Ikhlaslah membuat kerja dakwah semata-mata untuk memperoleh keredhaan Allah. Kami sangat gembira berkenalan dengan HCF dan ingin sama-sama membantu dalam usaha dakwah ini. Hatta sekiranya kami ditugaskan menyapu sampah pejabat HCF ini, kami sedia melakukannya.

Begitulah antara kata-kata yang disampaikan oleh Maulana Mohammed Kaleem Siddiqi Sahab semasa ziarah kunjungan beliau baru-bari ini di ibu pejabat Hidayah Centre Foundation, Taman Melawati.

Sampaikan Islam, Santuni Mualaf

#HidayahCentreFoundation

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *