fbpx

Jamuan Muhibbah Sambutan Tahun Baru Cina Satukan Pelbagai Kaum di Malaysia

SUBANG JAYA : Seramai kira-kira 1000 orang tetamu yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat telah bersama-sama hadir memeriahkan program Jamuan Muhibbah sempena sambutan Tahun Baru Cina 2019 pada hari Ahad baru-baru ini. Majlis Jamuan Muhibbah ini telah diadakan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chee Wen, Subang Jaya dengan penuh warna-warni meriah sekali. Majlis Jamuan Muhibbah yang bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang ini, merupakan anjuran bersama Hidayah Centre Foundation, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Yayasan Taqwa dan Restoran Mohd Chan.

Majlis Jamuan Muhibbah Sambutan Tahun Baru Cina ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa. Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata Sambutan Tahun Baru Cina ini telah diadakan dengan tema kepelbagaian menyatu perpaduan. Beliau menekankan kepentingan untuk seluruh rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan bangsa untuk tetap bersatu walaupun hidup dalam kepelbagaian. Objektif program ini dapat dicapai dalam mengeratkan hubungan antara pelbagai kaum dan meraikan kepelbagaian adat dan budaya masyarakat Malaysia. Walaupun semuanya berbeza latar belakang, kita tetap satu keluarga yang besar. Beliau turut menyarankan keperluan untuk menitikberatkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Pihak penganjur juga telah menjemput Duta dari kedutaan China Tuan Bai Tian untuk bersama-sama meraikan majlis ini. Antara tetamu kehormat lain yang hadir ialah Tuan Haji Nicholas Sylvester, CEO Hidayah Centre Foundation, Tuan Mohd Adam Mohd Said, ahli lembaga pemegang amanah HCF, Yang Mulia Tengku Syamsul Bahari Tengku Azman Shah, Datuk Dr. Mohd Nordin Ibrahim Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Raja Paduka Dato Dr Wan Mahmood Pa’ Wan Teh, Dato’ Mustapha Ma, Prof Dr. Taufiq Yap Yun Hin, Datuk Mohd Chan Abdullah, Haji Mohd Shaiful Bahri Abdullah, Naib Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Tuan Zabidi Nasan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa dan ramai lagi.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang program jamuan muhibbah sempena tahun baru cina ini berlangsung. Antara aktiviti yang paling mendapat tumpuan juga perhatian semua adalah upacara melambung Yee Sang sepanjang 60 kaki yang ditaja oleh restoran Mohd Chan. Antara aktiviti menarik lain yang diadakan adalah pertunjukan tukar topeng, nyanyian lagu cina, persembahan wusyu, juga persembahan orkestra cina. Kesemua tetamu yang hadir dijamu dengan makanan cina muslim yang sangat lazat dihidangkan khas oleh Restoran Mohd Chan.

Program seumpama ini yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dilihat mampu melahirkan rasa saling hormat-menghormati dan perpaduan sesama masyarakat. Suasana harmoni dan penuh kegembiraan di antara masyarakat Malaysia yang berbilang kaum sepanjang program ini dijalankan jelas kelihatan.

Sampaikan Islam Santuni Mualaf

#HidayahCentreFoundation

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

× Whatsapp kami