fbpx

Penantian 12 tahun untuk bersyahadah terlaksana jua.

Alhamdulillah, segala nikmat datangnya daripada Allah. Penantian saya selama 12 tahun akhirnya tercapai juga. Pada 7 Jun 2018, saya telah mengucap dua khalimah syahadah dan memeluk agama Islam. Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong dan memberi kekuatan kepada saya.

Saya diilahirkan pada 12 Mei 1993 di Petaling Jaya. Berasal daripada keluarga Cina beragama Buddha tetapi tidak begitu mengamalkannya. Nama asal saya Tai Mun Kit danselepas bersyahadah, saya memilih nama Nur Aafiyah Medina Mun Kit. Saya telah dibesarkan oleh sebuah keluarga India selama 14 tahun kerana waktu tersebut ibu sangat sibuk bekerja. Ibu bapa saya pula, telah bercerai ketika saya berusia 7 tahun. Semenjak lahir hingga saya berusia 14 tahun, saya dan adik-beradik banyak menghabiskan masa di rumah penjaga kerana ibu sibuk mencari rezeki untuk menampung hidup kami.


Nur Aafiyah Medina Mun Kit

Sememangnya saya dikelilingi rakan-rakan beragama Islam semenjak di bangku sekolah lagi. Sedikit sebanyak, perkara ini telah menimbulkan pelbagai tanda tanya tentang status agama saya. Keluarga saya tidak pernah ke tokong untuk beribadah malah di rumah kami juga tiada tokong kecil merah berserta colok. Sedangkan ketika saya ke rumah rakan-rakan beragama Buddha, bau colok dan tokong kecil wajib ada. Pada ketika itu, timbul persoalan kenapa di rumah saya tiada benda sebegitu sedangkan kami pun beragama Buddha. Ketika bertanyakan kepada ibu, ibu memberitahu bahawa tak perlu ikut cara sembahyang Cina.

Ketika sesi persekolahan, pada setiap Isnin pagi sewaktu perhimpunan, murid-murid Islam diwajibkan untuk berselawat. Selama 6 tahun bersekolah di sekolah rendah, saya sudah terbiasa mendengar alunan selawat dan pada ketika itu, jiwa saya berasa sangat tenang. Mungkin pada ketika itu, saya masih kecil untuk memahaminya. Namun, setelah memasuki Tingkatan 1, murid-murid tidak lagi berselawat ketika perhimpunan. Tatkala itu, jiwa saya seakan-akan mencari sesuatu kerana selama 6 tahun, saya sudah terbiasa mendengar alunan selawat. Saya pun bertanyakan kepada kawan-kawan yang beragama Islam mengenai selawat tersebut. Kawan-kawan pada ketika itu berasa hairan mengapa soalan itu yang saya tanya serta mereka pelik mengapa saya fasih berbahasa Melayu. Mereka kemudian memaklumkan kepada cikgu yang mengajar saya Bahasa Malaysia ketika di Tingkatan 1 mengenai persoalan saya lalu cikgu tersebut membawa saya berjumpa ustazah.

Ustazah kemudian menerangkan mengenai Rukun Islam, Rukun Iman serta Al-Fatihah. Saya juga mula belajar mengenai puasa dan cara membaca jawi. Rakan-rakan di sekeliling banyak membantu saya tentang ilmu agama Islam. Saya selalu belajar di sekolah sahaja kerana keluarga tidak mengetahui mengenai perkara ini. Sewaktu saya berusia 13 tahun, saya telah bermimpi datangnya seorang perempuan yang berpakaian penuh menutup aurat dan membawa saya ke satu tempat yang sangat tenang. Di tangan perempuan tersebut, memegang erat sebaskah Al-Quran. Ketika perempuan tersebut hendak mula membaca Al-Quran, saya terjaga kerana terdengar azan subuh. Sewaktu itu, surau betul-betul terletak di belakang rumah penjaga saya.Ketika berusia 13 tahun, saya memberitahu ibu yang saya ingin memeluk agama Islam. Ibu terdiam. Tidak membantah namun tidak pula bersetuju. Sejak dahulu lagi, saya dapat merasakan bahawa suatu hari nanti saya akan memeluk agama Islam.

Selain itu, saya juga tertarik dengan laungan azan. Lantunan azan yang sering didengari sangat menyejukkan hati saya. Sungguhpun belum memeluk Islam, apabila azan berkumandang saya pasti akan fokus memberi tumpuan kepada lantunan azan. Kadangkala ada juga masanya dimana saya bermimpi ataupun mendengar suara azan di tengah malam sedangkan pada ketika itu, tiada azan sedang berkumandang.

Sewaktu di bangku sekolah, saya banyak membeli buku-buku mengenai agama Islam untuk menjawab segala persoalan saya ketika itu. Ketika berusia 14 tahun, saya sudah boleh membaca surah Al-Fatihah dengan lancar walaupun tanpa berusaha untuk menghafalnya. Perkara ini lebih membuatkan saya inginmengetahu mengenai surah-surah lain dalam Al-Quran. Alhamdulillah,saya sangat bersyukur kerana  ustazah dan ustaz di sekolah banyak membantu saya membaca Iqra dan mendalami agama Islam walaupun mereka tahu saya masih beragama Buddha ketika itu.

Aafiyah begitu fokus sekali belajar di kelas bimbingan mualaf.

Sewaktu di sekolah menengah, saya telah menyertai Persatuan Kadet Bersatu Malaysia Udara (PKBM(U)) dan semua pelajar diwajibkan untuk memakai tudung ketika berkawad. Bermula dari situlah mula menarik minat saya untuk memakai tudung kerana berasa sungguh tenang dan selamat. Ibu juga maklum, saya memakai tudung tetapi tidak marah kerana menganggap itu sebahagian daripada uniform kadet untuk berkawad.

Ketika berusia 17 tahun, saya juga telah mengambil subjek Tassawur Islam untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Alhamdulillah saya telah mendapat keputusan yang cemerlang. Pada usia 17 tahun, itulah kali pertama saya berpeluang menjejakkan kaki masuk ke dalam masjid. Setelah tamat SPM, saya menyambung pula pengajian di SEGi College Subang Jaya dalam jurusan Diploma in Mass Communication & Bachelor in Double Major, PR & Journalism.

Perjalanankehidupan di kolej agak sukar kerana saya tidak mempunyai ramai rakan yang boleh mengajar mengenai agama Islam. Pada fasa itu, jiwa saya begitu meronta-ronta untuk belajar tentang agama Islam tetapi tiada sesiapa disekeliling saya yang dapat membantu. Kawan-kawan  muslim di sekeliling saya agak sosial dan saya jarang melihat mereka solat. Bila saya bertanyakan bukankah Islam diwajibkan solat 5 waktu seharian semalam, mereka hanya berdiam diri. Selain itu, pada ketika itu timbul persoalan yang sering bermain-main diruang fikiran, mengapa orang Cina dan orang India menyembah patung-patung yang diperbuat daripada manusia dan menganggap itu sebagai Tuhan mereka. Jika betul patung itu Tuhan, mengapa orang tidak menyembah terus kepada pembuat patung itu. Terlalu banyak persoalan yang timbul mengenai agama Islam dan pada waktu itu, orang di sekeliling tidak begitu menunjukkan sisi baik agama Islam sedangkan mereka mengaku beragama Islam. Saya mula menjadi keliru, tetapi terus mendalami agama Islam.

Setelah habis belajar, saya mengambil keputusan untuk tidak lagi berhubung dan berjumpa dengan kawan-kawan yang sebelum ini kerana selama 4 tahun saya berkawan dengan mereka, setiap kali saya bertanya mengenai agama Islam, mereka tidak mempunyai jawapan yang kukuh untuk pertanyaan saya. Malah, mereka banyak mencerminkan akhlak yang tidak sepatutnya seorang umat Islam lakukan seperti tidak bersolat, tidak menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan dan tidak menutup aurat. Malah ada sekali saya pernah ditegur kerana mengucapkan “Alhamdulillah”. Pengalaman tersebut membuat saya serik untuk menyebut perkataan-perkataan yang berkaitan dengan Islam di hadapan orang Islam buat seketika.

Pada hujung bulan Disember 2016, ketika saya berusia 23 tahun, saya telah mula bekerja di sebuah syarikat swasta di Petaling Jaya. Kebanyakan kawan kerja saya beragama Islam. Mereka sangat membantu dan menceritakan kepada saya mengenai agama Islam. Saya mula mendalami secara serius serta mengkaji mengenai agama Islam dan agama-agama lain. Terdapat banyak persoalan yang timbul dan tiada jawapan yang yang boleh meyakinkan saya. Namun, apabila saya mengkaji tentang agama Islam, segalanya terjawab di dalam Al-Quran. Bermula dari situ, saya yakin bahawa agama Islam ini sememangnya membawa ajaran yang benar dan sempurna.

Ketika berusia 25 tahun, pada tanggal 7 Jun 2018, saya telah mengucap dua kalimah syahadah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam. Dengan penuh keyakinan saya mempercayai bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Perasaan saya pada ketika itu tidak dapat diungkapkan dengan kata- kata. Air mata kegembiraan mengalir tanda bersyukur kerana setelah sekian lama saya mencari sesuatu yang hilang, akhirnya agama Islam yang dapat melengkapkan diri ini dan membawa saya kembali ke jalan yang benar.

Keinginan memeluk Islam datangnya daripada diri sendiri. Apa yang membuatkan saya tertarik dengan Islam adalah al-Quran dari segi alunan bacaannya. Sungguh merdu sehingga memberi kesan ke dasar hati. Jiwa menjadi tenang dan damai tatkala mendengar alunan ayat- ayat al-Quran dibacakan. Sebenarnya al-Quran dan ajarannya sudah cukup sempurna untuk terus membimbing kita di dunia dan akhirat sana.

Alhamdulillah, kini Nur Aafiyah Medina Mun Kit mengikuti pengajian agama Islam di kelas bimbingan mualaf Hidayah Centre Foundation. Bersama kita doakan semoga beliau tetap istiqamah dan diberi kefahaman dalam mendalami agama Islam ini. Selamat maju jaya Aafiyah!
.
Alhamdulillah. Allahu akhbar.

Sampaikan Islam, Santuni Mualaf

#HidayahCentreFoundation

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top