fbpx

Masjid Menganjurkan Sambutan Tahun Baru Cina.


KUALA LUMPUR: Masjid Al-Muhsinin, Taman Danau Desa telah mengadakan Sambutan Tahun Baru Cina dengan tema “Harmoni dalam kepelbagaian” dengan menjemput komuniti Cina di sekitar kawasan masjid. Lebih 500 orang tetamu pelbagai bangsa dan agama telah hadir memeriahkan lagi sambutan yang diadakan ini.
.
Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajip Ismail telah menyempurnakan perasmian sambutan ini yang telah diadakan di perkarangan masjid Al-Muhsinin. Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata Sambutan Tahun Baru Cina ini telah diadakan bagi membina hubungan yang baik dengan komuniti masyarakat Cina di kawasan ini. Lebih 80% penduduk di kawasan Taman Danau Desa merupakan berbangsa Cina dan selebihnya berbangsa Melayu dan lain-lain. Semestinya sambutan ini perlu diadakan bagi membina hubungan yang harmoni sesama penduduk yang berbilang bangsa ini.
.
Beliau turut menambah lagi, insitusi masjid perlu lebih melangkah ke hadapan dalam penganjuran aktiviti seumpama ini dan memberikan imej Islam agama rahmah untuk semua. Masjid perlu mempromosikan program-program yang bersifat keamanan, saling hormat menghormati, harmoni dan persahabatan.


Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program ini berlangsung antaranya persembahan tarian singa, persembahan gendang Cina,wusyu, gamelan, demonstrasi mee tarik dan gerai pameran. Apa yang lebih istimewa lagi, para tetamu yang bukan Islam juga dibenarkan masuk ke dalam masjid untuk mengikuti acara jelajah masjid atau dikenali sebagai ‘Mosque Tour’ .

Acara Mosque Tour ini telah dikendalikan oleh sukarelawan dari Hidayah Centre Foundation. Tetamu diberi penerangan mengenai ibadah yang dijalankan oleh Muslim dan peranan institusi masjid. Salah seorang tetamu yang telah menyertai Mosque Tour iaitu Puan Chan menyatakan beliau sungguh gembira dan teruja dapat menyertai Mosque Tour ini. Beliau hadir dari Cheras kerana menghantar anaknya untuk membuat persembahan. Beliau menyatakan agak terkejut kerana baru semalam beliau mengetahui sambutan tahun baru Cina ini dibuat di masjid.

Beliau berkata, penerangan yang diberikan semasa Mosque Tour sangat bagus untuk anak-anak beliau kerana mereka yang bersekolah di Sekolah Antarabangsa tidak diberikan pendedahan sebegini. Beliau juga amat bersetuju sekiranya Mosque Tour ini diadakan lagi di tempat-tempat lain juga.
.
Semoga keharmonian antara penduduk pelbagai agama dan bangsa dapat dipelihara di negara Malaysia yang kita cintai ini.

#HidayahCentreFoundation

#SampaikanIslamSantuniMualaf

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top