fbpx

HCF – PENDIDIKAN MUALAF KEUTAMAAN KAMI

Antara fokus utama Hidayah Centre Foundation dalam menyantuni mualaf adalah pendidikan selepas memeluk agama Islam. Islam sendiri sangat mementingkan ilmu sebagai pasak keimanan seseorang. Ini kerana tanpa ilmu yang benar, seseorang muslim itu mudah terjerumus ke jurang dosa. Tanpa ilmu juga keimanan seseorang itu akan mudah goyah. Apatah lagi bagi mereka yang memeluk agama Islam, ilmu berkaitan cara hidup Islam itu sangat penting untuk dipelajari.

Setelah setahun menimba ilmu dengan mengikuti kelas pengajian bagi tahun 2018 yang diadakan di ibu pejabat Hidayah Centre Foundation, Taman Melawati, para pelajar mualaf perlu berhadapan dengan penilaian daripada segi kefahaman mengenai ilmu yang dipelajari. Bukanlah tujuan peperiksaan ini untuk memastikan siapa yang dapat markah A namun peperiksaan yang dijalankan ini bagi memastikan mereka memperolehi ilmu yang dipelajari tersebut.

Antara mata pelajaran yang diuji kepada pelajar-pelajar mualaf ialah akhlak, sirah, tauhid, muamalat ,ibadah, munakahat, Al-Quran dan hadis. Subjek-subjek inilah antara pengisian modul pembelajaran dalam kelas mualaf di HCF.


Di samping itu juga, mereka turut diuji mengenai kefahaman mengenai solat. Bukan sekadar ujian bertulis mereka juga diuji dengan praktikal solat. Ujian ini telah diadakan selepas mereka selesai menduduki ujian bertulis tersebut. Ujian praktikal solat ini diuji meliputi komponen berwuduk, bacaan dan pergerakan. Beberapa penilaian dibuat bagi memastikan solat yang merupakan tiang dalam agama Islam ini difahami, dihayati dan dipraktikkan dengan betul olah setiap mualaf. Para pengajar dan pembimbing yang terdiri daripada sukarelawan Rakan Hidayah telah membantu menilai seterusnya membimbing para mualaf pada sesi ujian ini.


Para mualaf akan dibimbing secara berterusan sehingga mereka dapat menunaikan solat dengan sempurna. Para pelajar mualaf begitu bermotivasi tinggi dan bersungguh-sungguh mengikuti kelas dan menjalani ujian yang diadakan. Semoga para mualaf diberi kefahaman yang mendalam mengenai agama Islam supaya dapat melakukan ibadah ini dengan sempurna dalam kehidupan seharian mereka.

HCF sangat komited dalam membantu membangunkan keilmuan mualaf dalam Islam. InshaAllah mualaf yang dapat dididik dengan baik dan mengikuti kelas pengajian ini dengan konsisten, berdasarkan pengalaman di HCF sendiri mereka ini akan menjadi umat Islam yang berdaya maju dalam menimba ilmu dan memperbaiki diri. Dengan ilmu ini mereka akan menjadi anak, ibu, isteri yang baik dalam keluarga mereka terutama yang bukan Islam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

× Whatsapp kami