Lewat petang itu, kami merancang untuk bertemu. Kebetulan pula hari ini, aku ke kursus berhampiran tempat kerjanya. Seingat aku, ini kali kedua kami bertemu. Sebelum ini, temanku yang lain ada bertemu dia kerana jarak rumah kami yang agak jauh.
.
Seusai kursus, aku terus mengambilnya di rumah sewa. Di dalam kereta, dia membuka bicara. Bertanya, aku ingin membawanya kemana.
.
“Masjid”. Ringkas jawapanku.
.
“Alar, seganlah saya macam ni.. dah lar tak pakai tudung lagi ni ” ungkapan kegusaran dari dia.
.
“Jangan risau. Semuanya ok. InsyaAllah. Kita pergi makan dululah ya”
.
Aku membuat keputusan untuk membawanya makan terlebih dahulu bagi menghuraikan kegusaran di hatinya. Kami berbual-bual mengenai aktiviti seharian yang dilakukan dari urusan kerjaya, keluarga dan kehidupan.
.
“Lepas makan ni kita ke masjid ya, dah nak masuk waktu maghrib ni. Jangan risau” kataku ringkas sambil menghadiahkan sebuah senyuman bagi memberikan keyakinan buat dia.
Kami melangkah bersama ke masjid lewat petang itu. Ada lebih kurang 20 minit sebelum azan maghrib berkumandang. Peluang yang ada ini, ku ambil untuk mengajarnya praktikal mengambil wuduk.
.
“Segarnya rasa” ungkapan dia selepas berwuduk.
.
Aku tersenyum sahaja. Sambil mengambil telekung buat dia pakai bersiap-siap menanti azan.
.
“Wah.. besarnya masjid ni. Tenang je rasa” Riak wajahnya sungguh gembira. Perasaan gembira yang tergambar dan teruja jelas terpancar di wajahnya.
.
“Sekejap lagi kita solat maghrib sama-sama ya. Semua akan ke barisan hadapan, rapat-rapat. Awak ikut dahulu pergerakan ya. Nanti sikit demi sikit kita belajar bacaan solat sama-sama. Kan haritu kata nak hafal Al-Fatihah.. “
.
“Kenapa semua kena solat rapat-rapat? Masjid ni kan luas, banyak ruang? Tak boleh ke solat sendiri ke solat jauh-jauh?” naif sekali soalan yang diajukan itu.
.
“Awak tahu, Allah berikan ganjaran pahala 27 kali ganda bagi sesiapa yang bersolat bersama-sama ni berbanding yang bersolat sendiri. Solat sendiri-sendiri dapat 1 pahala je. Haa..mana yang untung? Bila kita solat sama-sama, ia melambangkan kesatuan orang-orang Islam. Kadang-kadang, kita tak kenal pun siapa yang solat sebelah kita. Tapi terasa indahnya, dapat bersolat sama-sama. Sebabnya, umat Islam ni bersaudara tau.”
.
Dia mengangguk-anggukkan kepala. Azan maghrib pun berkumandang mendayu-dayu senja itu. Kami solat maghrib berjemaah bersama-sama.
.
Dia, belum lagi bersyahadah sebenarnya. Tetapi dia begitu bersungguh-sungguh ingin mempelajari mengenai agama Islam. Mahu belajar solat, mahu menghafal surah al-fatihah juga mahu berpuasa.
.
Kesungguhan dia, bertanya pelbagai soalan membuat aku terkadang segan dengan kesibukan diri. Ada masa tidak dapat menjawab pertanyaan yang diajukan secepat mungkin. Latar belakang pendidikan aku juga bukan dalam bidang agama Islam. Jadinya, terkadang aku perlu merujuk kepada sahabat-sahabat ustaz atau ustazah yang lebih mendalam ilmunya.
Iya, beliau belum bersyahadah.Tetapi, kita sebagai muslim ini punya tanggungjawab yang besar untuk membantunya memperolehi hidayah Allah. Moga kita semua diberikan kesabaran berterusan dalam membimbingnya menuju syurga Allah.
.
Pada waktu-waktu begini, semestinya sokongan berterusan dari seseorang yang dipercayai amat-amat diperlukan. Lebih-lebih lagi, dia sudah mengambil keputusan yang besar meninggalkan sembahan agama lamanya. Pastinya, perkara ini akan mengambil masa yang agak panjang. Yang kita sendiri pun tidak ketahui bila. Tarikan-tarikan nafsu yang berat meninggalkan amalan jahiliyah mahupun godaan untuk liat berusaha mendalami agama yang baru. Tidak terkecuali, perkara ini pasti mengusik hatinya. Maka, sokong dan bantulah dia seadanya, bukan mempersoal sejauh mana keikhlasan hatinya.
.
Terkadang, kita terasa pula tak sanggup membantu dengan alasan kelemahan kita. Cepat-cepatlah cari bantuan dari teman-teman sekeliling atau sekurang-kurangnya, minta bantuan dengan menghubungi Hidayah Centre Foundation. InsyaAllah, Hidayah Centre Foundation mahupun NGO lain berkaitan mualaf akan cuba membimbing seadanya juga membantu anda yang sedia muslim menjadi pembantu buat mereka yang masih teraba-raba mencari Tuhan. Kekangan masa juga kesempitan wang, pasti akan Allah luaskan sekiranya kita benar-benar berazam ingin membawanya kepada Islam.
.
Persoalannya, sudikah kalian membantu? membantu mereka yang mencari Tuhan, juga membantu agama Allah ini?
.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” [Muhammad 47:7]
.
Semoga kita semua kekal istiqamah dalam melaksanakan sunah terbesar baginda Nabi Muhammad saw ini iaitu berdakwah. Doakan juga mereka yang kita santuni itu dilembutkan hati untuk bersyahadah dan menerima agama Islam ini. Setelah segala usaha yang kita lakukan, bertawakallah kepada Allah. Kerana sesungguhnya, Allah juga yang memberikan hidayahNya kepada seseorang itu.
.
“Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah (petunjuk) kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi hidayah kepada orang yang Dia kehendaki, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk”.
[Al Qasas 28 : 56]
.
#HidayahCentreFoundation
#SampaikanIslamSantuniMualaf