fbpx

Sungguh teruja dapat masuk surau.

KEPONG- “Program sebegini sangat bagus bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan antara kaum, tetapi turut melahirkan rasa saling hormat menghormati antara penduduk berbilang kaum. Hidup di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum sememangnya memerlukan kita saling bertolak ansur dan hormat-menghormati untuk mengekalkan keharmonian’. 

“Saya pernah mendapat jemputan memasuki masjid sebelum ini, tetapi ini kali pertama saya berpeluang masuk ke surau. Baru saya tahu pentingnya peranan surau di sesebuah kawasan perumahan.” menurut Ketua Kuil Sri Maha Maraimman Kepong, Encik M.Kumarapillai. Beliau bersama isterinya , Puan Puspha antara tetamu bukan Islam yang turut hadir ke Program Hari Surau Terbuka sempena Mini Karnival Surau Al-Ihsan, Taman Ehsan, Kepong.

Ketua Kuil Sri Maha Maraimman Kepong, Encik M.Kumarapillai bersama isterinya , Puan Puspha antara tetamu yang hadir ke Program Surau Terbuka ini.

Menerusi program ini seramai lebih 30 orang penduduk bukan Islam menghadirkan diri dan menyertai aktiviti jelajah surau bagi mengetahui peranan insitusi surau dalam masyarakat juga mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai Islam. Wakil-wakil rumah ibadah lain di kawasan berhampiran Taman Ehsan iaitu  Tokong Ban Sin, Tokong Chee Choy Kong juga Rumah Berhala New Shinggong turut  hadir bagi mengikuti program surau terbuka yang diadakan. 
.
Salah seorang pengunjung bukan Islam lain yang hadir iaitu Puan Julisa  sangat teruja semasa diterangkan mengenai al-quran yang berperanan sebagai manual panduan kehidupan semua manusia. Beliau bertambah-tambah teruja bila diterangkan mengenai maksud surah al-fatihah. Berulang kali beliau mengucapkan terima kasih  kepada salah-seorang sukarelawan Rakan Hidayah  yang menyerahkan senaskah al-quran secara percuma kepada beliau. Beliau baru pertama kali menjejakkan kaki ke dalam surau dan perkarangannya. Beliau juga berkeinginan untuk menziarahi mana-mana masjid yang ada menganjurkan program seumpama ini lagi di masa akan datang. Beliau turut merasakan ini pengalaman yang cukup indah buat beliau dan sangat gembira dapat menyertai program jelajah surau ini. Anak-anak beliau juga turut tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan mewarna yang dijalankan serentak pada pagi ini.

Program Hari Surau Terbuka ini merupakan sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh Surau Al-Ihsan, Taman Ehsan Kepong dengan kerjasama Hidayah Centre Foundation. Mini Karnival Surau Al-Ihsan ini berlangsung selama 2 hari iaitu bermula hari Sabtu 8 Disember 2018 hingga hari Ahad , 9 Disember 2018. Pelbagai aktiviti lain turut dijalankan sepanjang program ini berlangsung, antaranya pertandingan mewarna, pemeriksaan kesihatan percuma , senamrobik, gerai jualan  juga pelbagai pertandingan melibatkan pelbagai peringkat umur.
.
Semoga program seumpama ini dapat dianjurkan lagi di masa akan datang bagi memberi penjelasan yang tepat mengenai agama Islam juga dapat mengelakkan salah faham yang berlaku dikalangan masyarakat. Memupuk rasa harmoni dan saling hormat menghormati sangat perlu dititikberatkan dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia ini.


#HidayahCentreFoundation
#SampaikanIslamSantuniMualaf
#SurauOpenDay
#MosqueTour

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top