fbpx

Allahkan… ada!

 Suatu hari, pejabat kami telah dikunjungi seorang wanita bukan Islam ditemani rakannya yang beragama Islam. Kelihatan di wajahnya sarat dengan seribu satu persoalan. Wajahnya mendung, kesan air mata masih bergenangan. 

Kami menyambut beliau dengan penuh kemesraan. Cuak juga dihati, apa yang bakal kami hadapi sebentar lagi. Dia bukan wanita biasa, kerjayanya unit badan beruniform. Badannya yang tegap, tetap tidak mampu menyembunyikan kesugulan yang ada.

Semasa sesi syahadah beliau.


Kami membuka bicara, bertanya khabar juga beramah mesra, bagi meleraikan kejanggalan yang masih tersisa. Tak semena-mena, beliau menangis. Tangisan yang tak mampu dibendung lagi. Perlahan terdengar suaranya dalam esakan… ” Tunang saya dah mati. Keluarga dah tak kasi saya masuk Islam. Tiada siapa yang akan jaga saya”.
.
Allahu Allah. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Dari Allah kita datang, kepadaNya juga kita kembali. Tangannya digengam kuat, mengembalikan kekuatan dihati mengenangkan tunang yang disayangi pergi tak kembali. Apatah lagi mereka telah merancang untuk berkahwin penghujung tahun ini.
.
Selepas 3 hari pemergian tunangnya, beliau nekadkan hati melangkah ke pejabat Hidayah Centre Foundation. Mencari kekuatan, juga mahu mencari penyelesaian bagi ujian yang sedang dihadapi. Selepas sesi kaunseling juga nasihat, beliau kelihatan tenang kembali dan positif untuk meneruskan kehidupan.

Beliau sememangnya ingin mempelajari lebih mendalam lagi mengenai agama Islam. Kami menyarankan beliau mengikuti kelas bimbingan individu. Hari demi hari, beliau pasti akan hadir dengan senyuman ingin mendalami agama Islam.

Alhamdulillah, selepas beberapa sesi pertemuan dan penerangan mengenai Islam. Tanpa sebarang paksaan. Beliau memilih untuk kembali kepada agama fitrah iaitu Islam. Kami dengan penuh kesyukuran, menjemputnya bersama kami dalam agama Islam. Lafaz syahadah diucapkan dengan penuh keazaman. Beliau bermohon kepada Allah semoga ada saham pahala buat arwah tunangnya yang telah kembali ke rahmatullah.
.
“Seronok, lapang sangat dada rasanya. Ada Allah nak minta apa-apa!” menurut beliau dengan wajah ceria.?
.
“MasyaAllah, Alhamdulillah… Allahkan ada!”?
 


Alhamdulillah, begitulah antara serba sedikit cebisan cerita suka duka mengenai mualaf kita. Kadangkala, mereka hanya perlukan nasihat juga sokongan emosi dari kita. Usah pinggirkan mereka. Sama-sama kita menyantuni keperluan mereka. InsyaAllah, moga Allah memberikan taufiq dan hidayah juga ditetapkan hati beliau dalam keimanan dan istiqamah dalam agama Islam.

Baru-baru ini beliau memaklumkan kepada kami dengan penuh kegembiraan, beliau terpilih menjadi peserta wanita terbaik dalam kursus intensif mualaf! Alhamdulillah.
.
Doakan kami. Doakan beliau.
.
#HidayahCentreFoundation
#SampaikanIslamSantuniMualaf

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top