Kelas Bimbingan Mualaf

Kelas Bimbingan Mualaf

Di Hidayah Centre Foundation, KBM berperanan untuk membimbing saudara baru (mualaf) dalam memahami, mempelajari, menghayati, dan seterusnya mengamalkan agama Islam dengan baik. Ia telah bermula sejak 2012 yang hanya aktif di beberapa buah cawangan HCF di peringkat awal penubuhannya.

Kelas ini merangkumi pengajaran bidang ilmu seperti aqidah, fiqh, akhlak, dakwah, mualamat, sirah, fiqh mualaf, iqra’ dan al-Quran yang disampaikan oleh pengajar yang dilantik oleh Hidayah Centre Foundation. Terdapat 4 peringkat para mualaf akan lalui iaitu peringkat pengenalan, peringkat asas, peringkat pertengahan dan peringkat lanjutan. Setiap peringkat akan mengambil masa 4-6 bulan pengajian.

KBM membantu mualaf memahami Islam melalui beberapa kaedah utama. Pertama, fasa pengenalan tentang apa itu ajaran agama Islam. Kelas pertama ini juga terbuka kepada bukan Islam yang berminat mempelajari Islam. Matlamat kami adalah untuk menghapuskan salahfaham/tanggapan terhadap Islam disamping terus menggalakkan para mualaf terus menimba ilmu yang bermanfaat.

Kedua, ia memberikan pengajaran sistematik yang merangkumi bidang asas seperti aqidah (kepercayaan), fikah (ibadah), akhlak (moral), sirah (sejarah Nabi), iqra’ (cara mudah baca al-Qur’an) dan bacaan al-Quran yang disampaikan oleh pengajar yang telah dilatih, dilantik, berpengalaman, dan minat yang tinggi dalam mengajar. Pengajaran ini disesuaikan dengan tahap kefahaman mualaf bagi memastikan mereka dapat belajar dengan berkesan.

Ketiga, kelas ini menggunakan bahasa yang mudah difahami, termasuk penggunaan bahasa ibunda mualaf jika perlu, dan untuk memudahkan mereka menguasai ilmu yang disampaikan. Sesetengah modul juga direka khas agar mualaf yang sibuk tetap boleh mengikuti pembelajaran secara kendiri.

Keempat, kelas bimbingan berperanan sebagai ruang untuk membina ukhuwah dan sokongan emosi di kalangan mualaf, yang membantu mereka lebih yakin dan terus bersemangat dalam memeluk dan mengamalkan Islam. Dengan bimbingan berterusan dan modul pendidikan yang tersusun, mualaf dapat memperkukuh akidah dan melaksanakan ibadah dengan sempurna, sekaligus menghindarkan diri daripada risiko murtad.

Peranan utama kelas ini adalah sebagai pusat dakwah dan pemerkasaan mualaf untuk memastikan mereka mendapat kefahaman asas yang kukuh dan menyeluruh tentang Islam, yang membantu mereka menguatkan iman dan membina jaringan ukhuwah sesama mualaf yang terdiri daripada pelbagai bahasa dan bangsa serta budaya. KBM ini juga menjadi ruang untuk saling berkenalan dan berkongsi pengalaman antara para mualaf.

Para pengajar yang terlibat dalam KBM ialah para pendakwah, guru agama, dan sukarelawan yang berminat tinggi, berkelayakan dan berpengalaman dalam ilmu-ilmu asas Islam. Mereka ini biasanya dipilih dan dilantik serta menjalani sesi TOT Tenaga Pengajar KBM memastikan pengajaran yang ada sudah bersedia, berkualiti dan bersesuaian dengan keperluan mualaf. Mereka mempunyai peranan penting dalam menyampaikan ilmu secara sistematik dan, mesra dan mudah difahami oleh mualaf, serta memberikan bimbingan rohani yang berterusan.

KBM ini merupakan core business kami bagi memastikan HCF menyantuni para mualaf selari dengan visi dan misinya. Ia terus berkembang di seluruh Malaysia di mana bilangan para mualaf yang mengikuti KBM ini semakin meningkat terutamanya selepas Pandemik Covid-19. Sehingga kini, jumlah KBM adalah sebanyak 77 buah kelas. Sejak 2012, seramai lebih 8,000 mualaf mengikut modul-modul KBM yang dibina untuk mengukuhkan kefahaman dan amalan mereka.

Keseluruhannya, Pendidikan Islam kepada para mualaf perlu ditekankan sebaik mungkin. Kelas ini adalah tempat penting untuk mualaf baru menimba ilmu, mendalami ajaran Islam, dan mendapat sokongan komuniti dalam perjalanan keislaman mereka.

Lokasi Kelas

Sila Pilih Negeri

Sila berikan maklumat anda supaya dapat kami hubungi:

Scroll to Top