Santuni Komuniti Mualaf Bundu Tuhan

BUNDU TUHAN – Hidayah Centre Foundation (HCF) Cawangan Bundu Tuhan bersama Yayasan Buruj telah menjayakan program Ziarah Mahabbah pada 19 Ogos 2026 bertempat di Surau At-Taqwa, Bundu Tuhan. Program ini dianjurkan bagi memperkukuh tali silaturahim serta memberikan sokongan moral dan kebajikan secara berterusan kepada komuniti mualaf tempatan.

Majlis mesra ini turut dihadiri oleh Pengerusi Yayasan Buruj, Tuan Haji Idris Omar, Puan Hajah Maziyah Hj. Hassan, Pengurus Jalinan Strategik HCF Sabah, Tuan Zulazrie Dahim Bin Dan, serta Pengerusi Surau Bundu Tuhan, Tuan Suhinin Mumin. Acara dimulakan dengan bacaan doa serta ucapan aluan daripada Pembantu Operasi HCF Bundu Tuhan, Saudara Muhd Fadhli Wohanis, wakil mualaf tempatan, Puan Siti Hawa, dan pimpinan surau sebelum disusuli ucapan pihak Yayasan Buruj.

Kemuncak program diserlahkan menerusi penyerahan 25 bakul makanan dan sumbangan keperluan harian kepada penerima dalam kalangan komuniti mualaf serta golongan kurang berkemampuan. Bantuan tersebut merupakan simbol keprihatinan yang bukan sahaja membantu meringankan beban harian, malah menyemarakkan lagi semangat persaudaraan dan pemerkasaan mualaf di kawasan pedalaman.

Pihak Hidayah Centre Foundation merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan Buruj atas komitmen dan sumbangan yang diberikan. Diharapkan jalinan kerjasama strategik ini akan terus berkekalan demi memperluas jangkauan gerak kerja dakwah, kebajikan, dan pemerkasaan sosioekonomi mualaf secara inklusif pada masa hadapan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top