Sinar Kasih Menyantuni Pesakit Kanser di Tuaran

TUARAN, 20 Ogos – Perbezaan kepercayaan bukan penghalang untuk menabur bakti dan kasih sayang sesama manusia. Hidayah Centre Foundation (HCF) bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dakwah negeri ini tampil menyantuni seorang petani pesakit kanser di Kampung Kiwatu, di sini.

Penerima bantuan, Tuan Andy bin Siam, disahkan menghidap Kanser Limfoma Tahap 2 selepas dilarikan ke hospital pakar berikutan insiden tiba-tiba pengsan sewaktu mengusahakan kebunnya.

Sebelum insiden berkenaan, beliau yang merupakan tunggak keluarga kerap mengalami masalah bengkak di bahagian leher, namun tetap menggagahkan diri bekerja demi menyara seorang isteri dan tiga anak yang masih kecil berusia antara 3 hingga 12 tahun.

Diagnosis berkenaan sekali gus menyaksikan perubahan drastik dalam kehidupan keluarga itu apabila isterinya kini terpaksa mengalas tanggungjawab berganda menguruskan suami yang gering, membesarkan anak-anak, serta mengambil alih tugasan di kebun untuk kelangsungan hidup.

Kisah penderitaan keluarga beragama Kristian (Protestant) ini mula mendapat perhatian selepas ibu saudara beliau, Puan Sumayyah yang juga seorang mualaf, mengambil inisiatif menghubungi pihak HCF. Sympathy atas nasib anak buahnya dan menyedari keterbatasan kemampuan diri, beliau mengusahakan jalan mencari pihak yang dapat menghulurkan bantuan.

Prihatin dengan situasi berkenaan, HCF Kuala Lumpur bersama rakan gabungan di bawah Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) Negeri Sabah—termasuk KDMRS Muslim, MACMA Sabah, Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita, dan Tarbiyatunnisa—telah mengadakan ziarah prihatin ke kediaman keluarga tersebut bagi menyerahkan bantuan asas serta memberikan sokongan moral.

Ziarah penuh kemesraan itu bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan keluarga berkenaan, malah menterjemahkan nilai keharmonian masyarakat Sabah menerusi semangat rukut-rukut (kebersamaan). Pada masa sama, ia menonjolkan pendekatan Dakwah Bil Hal iaitu menyampaikan mesej dan nilai keindahan Islam yang membawa rahmat kepada seluruh alam (Rahmatan Lil ‘Alamin) tanpa membezakan latar belakang agama mahupun bangsa.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top