Pada 21 Mei 2026, pihak Hidayah Centre Foundation telah berkesempatan menziarahi saudari muallaf, Cik Shelly di Taman Tas sebagai tanda sokongan dan ukhuwah buat beliau sekeluarga.
Program ziarah muallaf ini merupakan salah satu inisiatif HCF Pahang dalam menyantuni saudara baharu yang baru memeluk Islam, di samping membuka ruang untuk lebih mendekati dan mengenali ahli keluarga mereka yang belum beragama Islam.
Apa yang menggembirakan, ibu kepada Cik Shelly turut menunjukkan keprihatinan terhadap anaknya agar terus menjaga ibadah solat lima waktu. Sikap sokongan dan perhatian daripada keluarga seperti ini amat bermakna dalam perjalanan seorang muallaf menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu sebagai Muslim.
Selain itu, bersempena dengan sambutan Aidiladha yang bakal tiba, pihak HCF Pahang turut berkongsi serba sedikit pengisian mengenai peristiwa dan pengertian Aidiladha kepada Cik Shelly dan keluarganya. Perkongsian tersebut menyentuh tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS serta nilai ketaatan, kasih sayang dan keikhlasan yang menjadi pengajaran buat seluruh umat Islam.
Justeru itu, pihak HCF turut mengambil berat mengenai perkembangan pembelajaran Cik Shelly yang berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat degree pada bulan Julai nanti. Semoga segala urusannya dipermudahkan dan diberikan kejayaan yang cemerlang.
Semoga Cik Shelly terus diberikan kekuatan untuk istiqamah dalam perjalanan hijrahnya serta dipermudahkan setiap urusan kehidupan dan pembelajarannya. Mudah-mudahan keindahan Islam yang dipelajari turut menjadi asbab hadirnya hidayah dan kebaikan buat seluruh keluarganya.





