CEO HCF Dinobatkan Sebagai Tokoh Aktivis Mualaf Sempena Maulidur Rasul 1447H
Alhamdulillah, sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan 1447H, Ketua Pegawai Eksekutif Hidayah Centre Foundation (HCF) telah menerima Anugerah Khas Individu, kategori Aktivis Mualaf.
Beliau merupakan anak kelahiran Tawau, Sabah, yang telah lebih 20 tahun berkecimpung dalam perjuangan dakwah dan santunan mualaf. Penghijrahan beliau kepada fitrah bukan sahaja memperbaharui akidah, malah mengubah seluruh haluan hidupnya.
Berbekalkan latar belakang sebagai graduan kejuruteraan dan pengalaman bersama gergasi automotif serta konglomerat terkemuka, beliau akhirnya memilih untuk mendedikasikan diri sepenuhnya kepada kerja-kerja dakwah.
Kini, sebagai CEO HCF, beliau kini menerajui organisasi yang berperanan meneruskan perjuangan murni Baginda SAW – membudayakan perkongsian keindahan Islam, membetulkan salah faham tentang Islam, serta memperkasakan mualaf.
Di bawah kepimpinan beliau, ribuan mualaf telah dibantu melalui program pendidikan, bimbingan agama, bantuan ekonomi dan kerjaya. Atas komitmen dan jasa inilah, beliau diiktiraf sebagai tokoh aktivis mualaf pada tahun ini.
“Islam tidak tertumpu kepada satu bangsa. Islam adalah rahmatan lil ‘alamin — terbuka kepada semua budaya, sehingga akhirnya mereka merasa selesa dengan Islam.
Hajat kami ialah untuk meluaskan lagi pembangunan mualaf secara holistik, agar pemerkasaan ini berlaku di semua peringkat. Usaha ini bukan tanggungjawab seorang individu atau satu NGO semata-mata, tetapi mesti menjadi budaya dakwah dalam darah da
ging kita semua.” Katanya ketika ditemubual
Tahniah diucapkan! Semoga anugerah ini menjadi inspirasi untuk kita semua terus bersama menyokong perjuangan dakwah dan membimbing mualaf ke arah kejayaan.
.
.
Teruskan menyokong usaha HCF menyampaikan dakwah Islam dan memperkasakan mualaf. Maklumat lanjut boleh layari >> hidayahcentre.org.my
Untuk menyumbang
Layari: www.infaqhidayah.com
Atau sumbang terus melalui perbankan
Maybank: 5622 0962 4421
Bank Islam: 1211 3010 0494 33
HCF Memperkukuhkan Tadbir Urus yang Baik
oleh: Tuan Joannes Lukas Ketua Pegawai Eksekutif, Hidayah Centre Foundation (HCF)
Sejak tahun 2023, Hidayah Centre Foundation (HCF) memulakan fasa transformasi organisasi yang komprehensif. Bukan sahaja memberi tumpuan kepada pengembangan dakwah dan pemerkasaan mualaf di Malaysia, HCF kini meletakkan aspek GIAT (Governance, Integrity, Accountability and Transparency) sebagai asas kepada kelestarian organisasi.
Transformasi ini lahir daripada kesedaran bahawa kejayaan sesebuah organisasi bukan diukur semata-mata melalui jumlah program atau kutipan dana, tetapi melalui tahap integriti dan kepercayaan yang diberikan oleh para pemegang taruh.
Menjawab Cabaran Landskap NPO Semasa
Dalam landskap NGO di Malaysia, isu kelemahan tadbir urus seperti pengurusan kewangan yang tidak telus dan kelemahan kawalan dalaman sering menjejaskan keyakinan masyarakat. Selari dengan agenda Malaysia MADANI yang mengangkat nilai kemampanan dan integriti, HCF memilih untuk menjadikan tadbir urus yang baik sebagai salah satu keutamaan strategik organisasi.
Melalui kempen dalaman GIAT, HCF melaksanakan pelbagai inisiatif pembaharuan yang merangkumi:
- Pengukuhan dasar dan Prosedur Operasi Standard (SOP).
- Pematuhan organisasi dan pengurusan risiko yang ketat.
- Pemantauan prestasi dan peningkatan kecekapan operasi.
- Penerapan budaya akauntabiliti di semua peringkat jabatan dan negeri.
Tadbir Urus Baik Memacu Impak Dakwah (2023–2025)
Pencapaian sepanjang tempoh 2023 hingga 2025 membuktikan bahawa tadbir urus yang ketat tidak menghalang pertumbuhan organisasi, sebaliknya menjadi pemangkin kepada impak yang lebih besar:
- Pembangunan Mualaf & Dakwah: Memfasilitasi lebih 1,600 syahadah, menyantuni lebih 30,000 masyarakat bukan Islam, dan membimbing lebih 32,000 mualaf.
- Kapasiti Penggerak: Melatih hampir 4,000 pendakwah di seluruh negara.
- Kepercayaan Dana: Mengumpulkan hampir RM21 juta dana sumbangan masyarakat untuk menyokong kelestarian operasi dakwah.
Pada masa yang sama, HCF turut memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, institusi zakat, sektor korporat, dan rakan NGO yang lain.
Aspirasi Masa Hadapan 2026-2027
Melangkah ke hadapan, HCF beriltizam untuk menjadi organisasi rujukan tadbir urus bagi pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NPO) di Malaysia. Aspirasi ini bukan bertujuan mengejar pengiktirafan semata-mata, tetapi untuk membuktikan bahawa sebuah organisasi dakwah mampu menjadi contoh terbaik dalam aspek profesionalisme, integriti, dan pengurusan yang mampan.
Dengan berpegang teguh kepada prinsip GIAT, HCF percaya bahawa kepercayaan masyarakat merupakan amanah yang mesti dipelihara demi memastikan setiap sumbangan terus memberikan manfaat yang berkekalan kepada ummah dan negara.
Pematuhan Syariah Sebagai Teras Kecemerlangan Hidayah Centre Foundation
oleh: Ustaz Haji Burhanuddin Lukman Timbalan Pengerusi, Hidayah Centre Foundation (HCF)
Dalam menggalas amanah sebagai sebuah organisasi dakwah dan kebajikan, Hidayah Centre Foundation (HCF) tidak boleh sekadar dinilai melalui bilangan program yang dilaksanakan atau jumlah penerima manfaat yang dibantu. Kejayaan sebenar adalah apabila setiap usaha yang digerakkan mendapat keberkatan Allah SWT kerana dilaksanakan berlandaskan syariah, amanah, dan integriti.
Pematuhan syariah bukan sekadar membezakan yang halal daripada yang haram. Ia adalah suatu budaya organisasi yang memastikan setiap keputusan, dasar, tindakan, dan urusan pentadbiran sentiasa berpandukan al-Quran, al-Sunnah, serta prinsip syariah yang muktabar. Inilah asas utama yang membina rantaian kepercayaan (trust) masyarakat terhadap sesebuah organisasi Islam.
Pematuhan Syariah Secara Holistik & Menyeluruh
Bagi HCF, pematuhan syariah perlu diterjemahkan secara menyeluruh dan tidak bersifat terpilih. Ia wajib merangkumi segenap ekosistem pengurusan organisasi, termasuk:
- Dasar & Polisi: Pembentukan hala tuju dan tatatertib yang patuh syariah.
- Pengurusan Bakat (HR): Kebajikan kakitangan dan hubungan kerja yang adil.
- Kewangan & Perolehan: Pengendalian dana, pelaburan, dan transaksi yang telus serta bebas daripada unsur syubhah.
- Operasi & Komunikasi: Pelaksanaan program dakwah, penerbitan media, dan interaksi bersama penyumbang serta rakan strategik.
Setiap rantaian kerja ini mestilah memelihara nilai keadilan, ketelusan, dan amanah bagi menjauhi sebarang unsur yang boleh mencemarkan maruah serta kredibiliti organisasi.
Amanah Bersama, Bukan Tugas Individu
Sehubungan itu, pematuhan syariah bukan hanya menjadi tanggungjawab kepimpinan tertinggi, malah merupakan amanah bersama seluruh Ahli Lembaga Pemegang Amanah, pihak pengurusan, kakitangan, dan sukarelawan HCF.
Budaya saling mengingatkan, menuntut ilmu, serta sentiasa memperbaiki kelemahan adalah ciri organisasi yang diberkati Allah SWT. Justeru, latihan berkala, pembangunan polisi dalaman, pemantauan berterusan, dan penambahbaikan sistemik mesti dijadikan sebahagian daripada DNA kerja kita.
Memacu Tadbir Urus yang Unggul
Selaras dengan visi HCF untuk menjadi sebuah organisasi dakwah yang unggul, pematuhan syariah perlu dilihat sebagai pemacu kepada tadbir urus cemerlang, bukannya sekadar mekanisme pematuhan di atas kertas (checkbox compliance).
Apabila prinsip syariah menjadi tunjang, ia akan melahirkan sebuah organisasi yang bukan sahaja cekap dan profesional, malah memperoleh kepercayaan masyarakat, keyakinan para penyumbang, dan yang paling utama, keredhaan daripada Allah SWT.
Marilah kita bersama-sama menjadikan pematuhan syariah sebagai budaya kerja dan identiti HCF. Dengan kesungguhan seluruh warga organisasi untuk memelihara amanah ini, insya-Allah HCF akan terus berkembang sebagai institusi dakwah dan kebajikan rujukan yang dihormati serta dipercayai di Malaysia.

