Islam bukannya agama yang menghalang fesyen dan perkembangan fesyen. Tidak ada nas yang menegah umat Islam untuk berfesyen dalam aspek berpakaian. Persoalan utama ialah menutup aurat dengan baik.
Persoalan 1 : Fesyen
Ada dua syarat utama bagi menutup aurat dengan baik.
a) Pakaian tersebut tidak menampakkan bentuk badan si pemakai.
b) Pakaian tersebut tidak menampakkan ciri-ciri tubuh si pemakai seperti warna kulitnya.
Inilah dua syarat penting dalam soal pakaian. Selain itu, ada yang meletakkan syarat agar ia tidak menyerupai pakaian agama lain.
Syarat pemakaian Islam
a) Syarat yang pertama
– menjadikan fesyen pakaian hari ini yang ketat sebagai pakaian yang tidak menurut syarak. Ada wanita Muslimah memakai pakaian ketat dan kecil yang disebut baby size. Entah betul, entak tidak. Apa nama saiznya sekalipun, apabila pakaian tersebut ketat, ia belum lagi menutup aurat dengan baik.
b) Syarat yang kedua
– menjadikan pakaian yang nipis sehingga menampakkan warna kulit, pakaian dalam dan sebagainya tidak selari dengan syarak. Ramai memakai baju kurung tetapi kainnya, masya’Allah amat nipis.
Kalau hendak dipakai seluar senaman, silakan tetapi pastikan ia longgar. Kalau hendak dipakai baju kebaya, silakan tetapi janganlah yang ketat hingga nampak ramping. Kalau hendak dipakai seluar jean, OK tetapi banyak yang ketat sangat.