fbpx

Jiwa Merdeka

Dakwah adalah sebuah lapangan luas yang penuh dengan khazanah kebaikan. Antara kebaikan agung di dalam dakwah adalah ia mengeluarkan manusia dari kehilangan dan kesesatan kepada kejelasan dan kebenaran.

Inilah yang dipanggil ‘pembebasan’. Ketika Rasulullah SAW diperintahkan untuk berdakwah, ia tidak lain adalah satu gelombang pembebasan yang membebaskan manusia daripada segala sesuatu yang menjajahi kehidupan mereka selama ini.

Di hari kemerdekaan, kita mengenang usaha pejuang tanah air buat membebaskan negara kita dari para penjajah yang mengambil alih kuasa negara, kemudian mengeksploitasi hasil bumi dan menggunakannya ke tempat yang tidak selayaknya.

Begitulah juga kita mengenang usaha dakwah. Legasi para Nabi ini adalah buat membebaskan akal fikiran dan hati jernih manusia dari penguasaan nafsu dan syaitan, dan perbuatan munkar yang bercanggah dengan fitrah manusia.

Kita teringat kisah Ja’far bin Abi Talib ketika beliau menjawab tohmahan Quraisy dan membela diri di hadapan Raja Najasyi di Habsyah, beliau berkata:

“Wahai Tuanku, kami dahulunya adalah kaum jahiliyyah. Kami menyembah berhala dan memakan bangkai. Kami mengerjakan amalan keji; kami memutuskan silaturahim dan menyakiti jiran tetangga. Orang yang kuat dalam kalangan kami menindas orang yang lemah. Maka, begitulah kehidupan kami sehingga Allah mengutuskan kepada kami seorang Rasul dalam kami.

Kami kenal nasab keturunan, kebenaran, amanah dan kehormatannya. Lalu, dia mengajak kami ke jalan Allah supaya kami mengesakanNya dan menyembahNya. Kami diajak supaya meninggalkan apa yang nenek moyang kami sembah selain Allah, iaitu batu dan berhala. Dia menyuruh kami bercakap benar dan menunaikan amanah, menghubungkan silaturahim, berbaik dengan jiran tetangga, menjauhi yang haram dan pertumpahan darah. Dia melarang kami segala yang keji, bercakap bohong, memakan harta anak yatim dan menuduh keji wanita-wanita yang baik.

Dia menyuruh kami menyembah Allah semata-mata, tidak mensyirikkan Nya dengan sesuatu. Dia menyuruh kami mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan berpuasa, (lalu, dihitung-hitung kepadanya beberapa hal mengenai Islam) kami mempercayainya dan beriman dengannya. Kami mengikuti apa yang dibawakannya kepada kami daripada ajaran agama Allah. Lalu, kami menyembah Allah semata-mata tanpa menyekutukanNya. Kami mengharamkan apa yang Allah haramkan ke atas kami dan kami halalkan apa yang Allah halalkan kepada kami.”

Dari kata-kata Ja’far r.a ini kita mengetahui, bahawa tugas dakwah adalah sebuah tugas yang mengembalikan manusia itu kepada sifat asalnya iaitu ‘ahsani taqwim’ yang bermaksud sebaik-sebaik bentuk rupa. Supaya dapat menjalankan kehidupan sesuai tujuan ia diciptakan. Sementara dakwah adalah tugas yang melawan segala apa yang menjatuhkan manusia kepada ‘asfala sāfilīn’ (yang paling rendah dari yang rendah) iaitu apabila manusia tidak beriman kepada penciptanya dan berbuat keburukan di muka bumi.

Jadi bersempena hari kemerdekaan ini, marilah kita terus menjunjung tugas dakwah di setiap lapangan yang ada. Kerana ia adalah nadi yang terus berjalan membebaskan manusia dari kegelapan menuju cahaya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top