Pagi itu seperti biasa aku melaksanakan rutin kerja di Hidayah Centre Foundation. Rutin waktu ini agak luar biasa kerana perlu memantau renovasi pejabat yang sedang berlangsung di bangunan yang telah berusia hampir 30 tahun itu. Dek kerana renovasi, kami berpindah ke tingkat tiga sebagai pejabat sementara. Kesesakan pejabat pun boleh tahan. Kami berkongsi ruang yang agak kecil dan sempit. Namun kerja diteruskan seperti biasa.
Sedang aku berkemas-kemas ruang pejabat yang agak tidak tersusun, menjengah di belakang pintu seorang perempuan berbangsa Cina.
“Hello”. I’m Irene. I want to know about Islam. Can anybody explain to me?”
Aku memandang rakan setugas Amalina. Dia juga memandang ke arahku sambil mengangkat kening. Kami berdua sahaja pada waktu itu kerana staf lain ada urusan. Sebagai staf yang lebih tua aku pasti rakan setugas tadi mengharapkan aku menyantuni wanita ini.
“Oh yes sister. Of course. Sorry because our office is so messy. We are undergoing renovation at the moment. Can we meet downstairs? It’s better and more comfortable” balasku dengan slang Bahasa Inggeris yang tersangkut-sangkut.
Kami menyambung pertemuan di ground floor pejabat kami yang lebih selesa. Beliau memaklumkan telah lama mengetahui tentang Islam dan beliau sangat ingin memeluk agama Islam. Namun beliau masih mempunyai kekangan kerana bimbang keluarganya tidak menerima pengIslamannya. Beliau bimbang kehilangan anak dan keluarganya.. Saya berusaha menerangkan berkaitan prosedur pengIslaman sebaiknya juga implikasi sekiranya beliau tidak mendaftarkan pengIslamannya. Beliau mendengar dengan teliti. Kami terus berbual panjang tentang Islam yang beliau yakini dan meyakinkan beliau bahawa Allah akan memelihara beliau dengan syahadahnya.
“Berapa lama dah Hidayah Centre Foundation berada di pejabat ni ya?”, soal beliau tiba-tiba. “Owh kami sudah berada di sini lebih 10 tahun. Sejak 2005 lagi kami beroperasi di sini tapi masa tu kami belum berdaftar sebagai Hidayah Centre Foundation. Kami sebagai Hidayah Centre sahaja yang merupakan sebuah jawatankuasa di bawah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia iaitu sebuah NGO Islam”. Panjang sedikit peneranganku. Beliau terdiam.. kemudian tunduk.. air mata mencurah di pipi.. suasana senyap.. saya dan rakan saya pun senyap…tidak tahu mengapa beliau mengalirkan air mata…
“Mengapa hari ini saya baru tahu kamu ada di sini? Saya tinggal di kawasan berhampiran di sini. Sangat dekat. Tapi mengapa saya tidak tahu kamu di sini?”, syahdu suaranya sambil cuba mengawal nadanya dan sebak dalam dadanya.. sesekali beliau meyeka air mata. Kami membisu… “Kamu tahu tak sebenarnya sepuluh tahun dah saya ingin mencari tempat seperti ini. Saya ingin bertanya tentang Islam dan sayang ingin memeluk Islam dan saya mahukan agar orang seperti kamu dapat menyakinkan saya bahawa saya boleh memeluk Islam dengan aman..” beliau masih menyeka air dipipinya.. “Jika saya tahu kamu ada di sini mungkin dah lama saya datang ke tempat kamu dan bertanya tentang Islam dan bagaimana mahu memeluk Islam..”
Sungguh terbungkam sekeping hati di dalam dada saya. Terasa sesak mengapa beliau dan ramai lagi orang di luar sana yang tidak mengetahui kewujudan kami di sini sebagai sebuah pusat informasi untuk mereka yang ingin mengetahui tentang Islam dan juga tempat di mana mereka boleh memeluk agama Islam bagi negeri Selangor.. Alangkah terasa bersalahnya diri. Kerana kami mungkin kurang mempromosi pertubuhan kami ini. Lemahnya kami dalam mempopularkan diri kami agar memudahkan orang ramai yang memerlukan khidmat kami.
“Kami minta maaf jika kami kurang mempromosi pertubuhan kami sehingga puan tidak tahu kami ada di sini berhampiran tempat puan”, balasku mententeramkan hatinya. Saya masih dibaluti rasa bersalah. Bersalah kerana mungkin kurang tindakan mewar-warkan organisasi ini. Apatah lagi rasa bersalah menusuk-nusuk dalam diri bila mana menyoal diri sejauh manakah saya telah menyampaikan Islam ini kepada kenalan dan jiran-jiran bukan Islam yang lain.. berapa ramai sebenarnya yang dahagakan sentuhan informasi tentang keindahan dan kerahmatan Islam ini.. persoalan datang bertubi-tubi dalam diri.
“Tidak mengapa. Sekurang-kurangnya kini saya selesa dapat datang ke tempat kamu ini. Kerana tempat yang saya hadir sebelum ini tidak melayani saya dengan baik”, ujarnya jujur. Semoga Allah menghindari kami dan kakitangan kami daripada melayani insan seperti ini yang dahagakan layanan mesra untuk mendampingi Islam. Berapa orang juga mengadu kepada kami tidak mendapat layanan yang baik ketika mahu memeluk Islam.
Akhirnya beliau menamatkan pertemuan dengan kami. Beliau masih belum bersedia melafazkan syahadah. Masih perlu memikirkan sama ada ingin melafaz syahadah secara rasmi ataupun tidak buat masa itu. “Mudah-mudahan Allah telah menerima lafaz syahadah puan. Syahadah puan yang tak rasmi ini, itu antara puan dengan Allah”, ujar saya. “Hanya Allah yang berhak menilai syahadah puan dengan-Nya. Mungkin puan tidak melafazkan secara rasmi, mudah-mudahan puan sudah Islam di sisi Allah”, ujarku lagi. Beliau mengganggukkan kepala. “Jika puan memilih untuk bersyahadah dengan kami kelak, saya yakin puan akan dipermudahkan urusan oleh Allah. Jika puan terasa sudah sampai masa dan yakin dengan syahadah puan, datanglah ke tempat kami nanti ya”, Ujarku.
Kami bersalaman dan kemudian berpisah. Saya dan Amalina naik ke tingkat atas meneruskan kerja kami di Pejabat Hidayah Centre Foundation Taman Melawati.
Selang beberapa hari saya menerima panggilan telefon daripada Irene. “Puan Hamisah saya nak jumpa puan hari ni ada perkara urgent”, suaranya seperti tergesa-gesa. “Ok puan boleh. Nanti datang ke pejabat saya dan kita berjumpa ya”, balas saya.
Petang sekitar jam 3 petang beliau datang dengan berselendang. Saya menyambutnya dengan dengan senyuman dan gembira dan agak sedikit hairan melihat gelagatnya yang menarik tangan saya dari kawasan pejabat menuju ke surau di bangunan kami itu. “Saya dah tak boleh tahan lagi.. sayang ingin memeluk agama Islam. Saya ingin melafazkan syahadah pada hari ini”, tuturnya dengan suara sebak dan air mata yang mengalir. “Tolong bimbing saya. Saya mahu awak yang bimbing saya syahadah. Saya tak mahu diketahui oleh orang lain”, ujarnya lagi.
“Semalam saya membaca terjemahan Al Quran. Saya tidak tidur selama satu hari satu malam kerana semakin saya baca semakin saya temui persoalan yang ada dalam diri saya. Apa sahaja yang saya tanya seperti Allah menjawab pertanyaan saya apabila saya membaca terjemahan Al Quran itu. Saya tidak mahu bertangguh lagi. Saya mahu memeluk agama Islam”, gelora hatinya dituturkan satu persatu dengan air mata yang mula mengalir.
Setelah sahabat sepejabat Hj Zun Arif menerangkan tentang Islam iaitu berpaksikan kepada rukun Islam dan rukun Iman, dan memastikan yang beliau datang ke pejabat ini dan memeluk Islam tanpa paksaan sesiapa maka saya membimbing Irene melafazkan kalimah agung.. kalimah yang membawa beliau ke satu situasi baru..hidup baru.. satu suasana yang telah menyelamatkannya antara dua pintu iaitu syurga dan neraka.. “The is no God but Allah and Muhammad is His Messenger”, ucapan beliau setelah melafazkan syahadah dalam bahasa Arab.
Kami berpelukan.. derai tangisnya masih berterusan… “Saya rasa sangat bahagia hari ini, terlepas rasa bebanan yang saya rasa selama hari ini”, ujar Irene. “InshaAllah selamat datang ke alam baru. Alam di mana semua dosa yang lalu dihapuskan, kebaikan yang lalu inshaAllah Allah berikan ganjaran. Sekarang puan suci bersih tanpa dosa”, ujarku. “Dalam situasi sekarang ini puan mungkin lebih baik daripada kami di sisi Allah kerana puan bersih daripasa segala dosa”, sambungku lagi.
Inilah antara kisah-kisah hidayah yang saya lalui di Hidayah Centre Foundation. Semoga Allah membimbing kami dan merahmati usaha yang dilakukan ini. Bagi mereka yang sentiasa menyokong kami dengan bersama membantu atau menyertai aktiviti, memberikan sumbangan dalam bentuk tenaga atau wang ringgit atau keduanya.. semoga Allah tuliskan setiap amal itu kebaikan yang berterusan dan menjadi antara amal penyebab untuk memasuki syurganya.. ameen.