Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre (MIPHC) merupakan majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh Hidayah Centre Foundation (HCF) bertujuan meraikan saudara baru di seluruh Malaysia. Berikut merupakan 7 perkara yang anda perlu tahu mengenai program MIPHC yang saban tahun dianjurkan ini.
1. MIPHC merupakan program terbesar yang dianjurkan oleh HCF pada setiap tahun. Tahun 2018 ini merupakan tahun ke 14 penganjuran MIPHC dengan bertemakan “Journey to Jannah”
2. MIPHC mengumpulkan 500 orang saudara baru sebagai tetamu istimewa pada majlis tersebut. Dianggarkan kira-kira seramai 10 000 orang mualaf telah diraikan sepanjang penganjuran MIPHC pada tahun-tahun sebelum ini.
3.MIPHC tidaklah semata-mata hanya dianjurkan oleh Ibu Pejabat HCF iaitu di sekitar Lembah Klang. MIPHC juga dianjurkan di beberapa negeri seluruh Malaysia. Antara negeri lain yang menganjurkan MIPHC pada tahun 2018 ini adalah negeri Pahang, Johor, Kedah, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
4. MIPHC dianjurkan bertujuan untuk meraikan saudara baru berbuka puasa bersama-sama dalam suasana ekslusif dengan jamuan makan yang istimewa. Semoga saudara baru yang diraikan merasakan kebersamaan dan tidak tersisih dalam menjalani ibadah di bulan Ramadan ini.
5. Antara tujuan lain penganjuran MIPHC ini adalah untuk memperbetulkan salah tanggapan mengenai agama Islam dikalangan saudara baru juga keluarga mereka yang belum Islam. Keluarga saudara baru yang belum Islam juga dijemput hadir ke majlis ini bagi mengetahui dengan lebih jelas lagi mengenai agama Islam.
6. HCF juga mengajak masyarakat untuk bersama-sama berkongsi pahala menyertai program ini dalam usaha berterusan menyampaikan Islam dan menyantuni mualaf. Pembelian meja yang dilakukan sedikit sebanyak dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk bersama-sama cakna mengenai keperluan menyantuni saudara baru.
7. Dana yang dikumpulkan bukanlah semata-mata hanya digunakan untuk menampung penganjuran majlis MIPHC sahaja. Tetapi, sebahagian dana tersebut juga akan diberikan sebagai hadiah duit raya kepada saudara baru yang hadir untuk menggembirakan hati mereka. Sebahagian lagi dana akan digunakan untuk kelangsungan aktiviti dakwah, .e.perkasakan mualaf dan juga operasi HCF.
“Barang siapa memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa menguranginya sedikit pun daripada pahalanya”
[Hadith riwayat Ahmad dan At Tirmidzi]
Semoga program MIPHC ini dapat dianjurkan lagi dengan mendapat sokongan semua pihak di masa akan datang. InsyaAllah.