fbpx

BAB 7 : FIQAH MUAMALAH

Persoalan 1 : Kitab dan Buku Agama Islam diberikan kepada bukan Muslim

Bagaimana dakwah Islam boleh berjalan jika mashaf al-Qur’an tidak boleh dimiliki oleh bukan Muslim? Sedangkan kitab Bible diberikan kepada sesiapa sahaja sebagai usaha pihak Kristian mendekati orang Islam kepada orang Kristian.

Orang bukan Muslim dilarang dari membaca atau membawa Mashaf Al-Quran, dikhuatiri mereka akan menafsir ayat-ayat Al-Quran dengan salah kerana pemahaman mereka terhadap Islam yang kurang.

Dalam hal ini, syarak hanya melarang orang bukan Islam menyentuh atau membawa mashaf al-Qur’an. Selain daripada mashaf al-Qur’an, seperti buku-buku agama dan tafsir tidak dilarang.

Buku agama tidak dianggap sebagai mashaf al-Qur’an, walaupun dalam buku agama terdapat ayat-ayat Qur’an. Riwayat menceritakan bahawa bagaimana dalam surat Nabi saw kepada Kaisar, Baginda menulis ayat al-Qur’an.

Buku-buku seperti ini boleh dimiliki oleh bukan Muslim walaupun ada puluhan ayat al-Qur’an di dalamnya. Apatah lagi jika petikan ayat al-Qur’an tersebut hanya sekadar terjemahan maknanya. Sudah tentu ia bukan mashaf al-Qur’an.

Buku-buku agama dan tafsir adalah sumber terbaik bagi golongan bukan Muslim untuk mendekati Islam.

Islam itu agama yang mudah dan praktikal. Kebiasaannya dalam risalah-risalah kecil ini, ayat al-Qur’an hanya ditulis terjemahannya sahaja dengan menyatakan surah dan nombor ayatnya. Manakala dalam buku agama, ada juga yang ditulis ayatnya sekali. Walau bagaimanapun, buku agama bukanlah mashaf al-Qur’an.

Buku agama, risalah dan sebagainya yang digunakan sebagai medium dakwah boleh diedarkan kepada bukan Muslim.

Persoalan 2 : Muslim bekerja dengan majikan bukan Muslim.

Muslim bekerja dengan majikan bukan Muslim, Adakah ia harus? Permasalahan ini boleh dikaji daripada beberapa sudut. Antaranya :

a)      Apakah tabiat kerja tersebut?

Jika tabiat kerja tersebut adalah harus dan halal dari sudut syarak dan undang-undang negara, haruslah Muslim bekerja dengan majikan bukan Muslim. Contohnya kilang milik bukan Muslim atau kedai milik bukan Muslim. Apakah kerjanya? Kalau kedai runcit, kerjanya sebagai penjual atau menjaga kedai. Yang penting, ia perlu dilihat kepada tabiat kerja tersebut.

b)      Adakah kerja tersebut menjejaskan tanggungjawab sebagai Muslim?

Sudut kedua yang penting ialah bagaimana tanggungjawab sebagai Muslim. Jika kerja tersebut mewajibkan pekerjanya membuka aurat, ia bukanlah kerja yang baik.

Islam tidak menegah hubungan muamalah antara Muslim dan bukan Muslim. Hubungan ini dijaga dan dipupuk dengan baik. Ia berbalik kepada soal maslahat dan kebaikan bagi individu Muslim itu sendiri.

Sebaliknya, jika Muslim bekerja dengan majikan Muslim tetapi tabiat kerja itu sendiri sudah tidak harus, kerja tersebut haram. Contohnya pekerjaan sebagai penjual VCD lucah. Walaupun taukenya Muslim, pekerjaan ini tetap haram.

Dalam aspek yang lebih rumit ialah pekerjaan sebagai pembantu rumah di rumah majikan bukan Muslim. Cabarannya lebih besar kerana masa 24 jam berada di rumah bukan Muslim. Sudah tentu banyak kerja yang perlu dibuat. Mungkin antara skop kerjanya memasak daging khinzir, memandikan anjing dan sebagainya. Ini merupakan cabaran sukar kepada seorang Muslim.

Bagaimana dengan masa rehat untuk menunaikan ibadat solat khasnya setiap hari dan ibadah puasa Ramadhan. Disebabkan agak mustahil pekerja Muslim yang tinggal dengan majikan bukan Muslim dapat mengelak daripada unsur-unsur tersebut, haram pekerja Muslim bekerja sebagai pembantu rumah di rumah bukan Muslim.

Jika kerja tersebut tidak memberi ruang untuk Muslim melakukan solat, pekerjaan lain hendaklah dicari.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top