fbpx

BAB 10 : FIQAH PERKAHWINAN

Islam tidak menegah sama sekali perkahwinan antara bangsa. Wanita Muslimah berbangsa Melayu boleh berkahwin dengan mana-mana lelaki walaupun apa bangsa sekalipun dengan syarat agamanya ialah Islam. Begitu juga dengan lelaki Muslim.

Cuma tegahan dalam Islam ialah larangan agar lelaki Muslim tidak berkahwin melainkan dengan wanita Muslimah. Juga wanita Muslimah hanya boleh berkahwin dengan lelaki Muslim.

Persoalan 1 : Berkahwin dengan ahli kitab

Islam memberikan kelonggaran perkahwinan antara Muslim dan bukan Muslim ahli kitab. Konsepnya ialah lelaki Muslim berkahwin dengan wanita ahli kitab sama ada Yahudi atau Nasrani. Sebaliknya wanita Muslimah ditegah dan diharamkan daripada berkahwin dengan lelaki ahli kitab. Firman Allah swt dalam surah Al-Ma’idah : 5, yang bermaksud :

Dan (dihalalkan kepada kamu lelaki Muslim untuk berkahwin) wanita-wanita yang baik daripada Muslimah dan wanita-wanita yang baik daripada ahli kitab sebelum kamu apabila kamu memberikan akan mereka mas kahwinnya hal keadaan menjaga diri daripada zina, bukannya melakukan zina secara terang dan tidak pula menjadikan mereka sebagai wanita simpanan.

Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya pada ayat ini, ada beberapa tafsiran dalam memahami makna ahli kitab.

Mengenal ahli kitab.

a)      Dikatakan maksud ahli kitab dalam ayat ini ialah golongan Isreal sahaja, dan ini ialah Syafi’i.

b)      Ada juga pendapat menyatakan bahawa maksudnya ialah wanita ahli kitab yang zimmi, bukannya harbi.

c)      Wanita-wanita yang baik dan menjaga diri daripada zina.

Hikmah bagi keharusan perkahwinan dengan ahli kitab

a)      Ia bertujuan bagi menarik golongan ahli kitab menganut agama Islam.

b)      Anak-anak hasil perkahwinan ini akan menurut agama bapa mereka iaitu Islam.

Namun tujuan sebegini nampaknya sudah tidak praktikal untuk diamalkan kerana :

a)      Umat Islam hari ini adalah umat yang lemah

b)      Kalau zaman awal Islam, budaya masyarakat menyaksikan lelaki menguasai wanita. Suami yang Muslim menjalankan tugasnya sebagai suami yang baik. Namun hari ini, wanita juga sudah mampu berkuasa tinggi. Banyak lelaki gagal di tangan wanita.

c)      Agama anak bukan ditentukan lagi oleh agama bapa tetapi berdasarkan pilihannya apabila dewasa.

Maka matlamat dakwah sudah tidak tercapai secara objektif. Oleh itu, amat wajar diperkukuhkan apa yang ada. Jangan jadi “yang dikerja tak dapat, yang digendong berciciran”.

Di Malaysia, keputusan muzakarah fatwa (dalam e-fatwa.gov.my/jakim/keputusan_view) memutuskan bahawa pernikahan antara lelaki Muslim dengan wanita ahli kitab yang tidak asli tidak sah menurut mazhab Syafi’i. Inilah fatwa yang sesuai dan benar dengan maslahat dan siasah syariah insya’Allah.

Share this:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top