?????? ?????? ???? ???????❗ (BAHAGIAN 2)

Oleh: Wan Muhammad Wan Ibrahim

Di dalam Al-Quran, begitu banyak ayat yang menuntut kita sebagai Muslim untuk berdakwah. Antaranya, Allah menjanjikan kejayaan dan balasan baik bagi hamba-Nya yang melaksanakan dakwah, yakni mengajak manusia menyembah Allah, Tuhan yang Maha Esa. Antaranya adalah sebagaimana firman Allah yang berikut (yang bermaksud):

β€œDan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata: β€˜Sesungguhnya aku termasuk golongan Muslim (yang berserah diri)?’” (Fussilat 41 : 33)

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa ajakan kepada manusia untuk mengabdikan diri hanya kepada Allah adalah sebaik-baik perkataan yang diungkapkan oleh seseorang Muslim. Dalam era moden ini ajakan tersebut boleh jadi disampaikan secara lisan, malah boleh juga melalui penulisan, sama ada di media cetak mahu pun di media sosial. Apabila ia dikatakan sebagai sebaik-baik perkataan, sudah pastilah begitu besar pahala yang akan diberikan oleh Allah kepada umat Islam yang melaksanakan seruan dakwah ini. Maka untuk meraih pahala ini, apa salahnya dalam kehidupan 24 jam setiap hari, kita manfaatkan paling minimum 10 atau 15 minit untuk menyampaikan mesej Islam kepada rakan-rakan bukan Islam di sekeliling kita.

Allah turut menjanjikan kejayaan kepada Muslim yang berdakwah. Kejayaan ini sudah pasti kita peroleh bukan sahaja di dunia, malah lebih penting lagi di hari akhirat kelak. Allah menyatakannya seperti berikut (yang bermaksud):

β€œDan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Mereka itulah orang yang beruntung.” (Ali Imran 3 : 104)

Daripada ayat-ayat dia atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa bagi seseorang Muslim yang berdakwah, dia akan mendapat ganjaran yang baik daripada Allah. Namun bagaimana pula halnya bagi mereka yang tidak melaksanakan dakwah? Adakah tiada apa-apa balasan yang sesuai buat mereka? Atau dalam erti kata yang lain, terlepas daripada balasan buruk yang mungkin ditimpakan kepada mereka kerana tidak berdakwah?

Ramai dalam kalangan Muslim beranggapan, dakwah itu adalah tanggungjawab golongan agamawan sahaja. Jika golongan ini telah melaksanakan dakwah, maka umat Islam yang lain telah terlepas daripada tanggungjawab tersebut. Mungkin sebab itu mereka masih malu-alah untuk berkongsi mesej Islam kepada rakan-rakan bukan Islam mereka.

Sedangkan di dalam Al-Quran jelas menunjukkan bahawa Allah mengancam hamba-hamba-Nya yang tidak berdakwah. Mereka termasuk dalam golongan yang zalim, sebagaimana firman Allah (yang bermaksud):

β€œβ€˜β€¦dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan syahadah daripada Allah yang ada padanya?’ Dan Allah sekali-kali tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah 2 : 140)

Tidak sukar untuk kita fahami mengapa Allah mengatakan mereka yang tidak berdakwah itu adalah orang yang zalim. Bayangkan kita sedang melalui sebatang sungai, kemudian kita ternampak ada orang sedang hampir lemas, terkapai-kapai meminta pertolongan. Jika kita mempunyai sifat kemanusiaan, pastilah kita akan cuba menyelamatkan orang tersebut, sama ada kita sendiri menyelamatkannya atau kita meminta bantuan pihak lain untuk menyelamatkannya. Jika kita membiarkan sahaja orang itu terus dalam bahaya, dan memikirkan, β€œEh, ini bukan urusan aku..” atau β€œTak mengapalah, pasti ada orang lain yang akan datang menyelamatkannya..”, tidakkah kita ini mempunyai ciri orang yang zalim?

Malah dalam ayat yang lain, Allah turut melaknat mereka yang menyembunyikan agama Islam. Firman Allah (yang bermaksud):

β€œSesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.” (Al-Baqarah 2 : 159)

Jangankan kita orang biasa-biasa, Nabi Muhammad s.a.w. sendiri pun diberikan amaran oleh Allah jika tidak menyampaikan seruan Islam. Sepertimana firman Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):

β€œHai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan risalah-Nya…” (Al-Maidah 5 : 67)

Selain itu, kita biasa mendengar rakan-rakan saudara baharu kita bercerita, mereka dahulu sebelum kembali kepada Islam, tiada siapa pun daripada rakan-rakan mereka yang beragama Islam yang berdakwah kepada mereka. Akhirnya mereka menerima hidayah melalui jalan yang lain seperti perkahwinan, membuat pengkajian agama-agama, bermimpi didatangi orang salih dan sebagainya. Jika mereka mati dalam keadaan kufur, mereka boleh menyalahkan kita di hadapan Allah kelak kerana kita tidak menyampaikan Islam kepada mereka. Akhirnya kita juga akan menerima balasan buruk daripada Allah kerana tidak berdakwah.

Sudah pasti kita tidak mahu menerima nasib sebegitu. Sebab itu di dunia ini kita perlu menyampaikan Islam kepada rakan-rakan bukan Islam, supaya di akhirat nanti mereka tiada alasan lagi untuk menyalahkan kita. Jika kita telah berdakwah namun mereka tidak menerima seruan dakwah kita, jawapan mereka nanti adalah sebagaimana yang dinyatakan Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):

β€œMereka menjawab, β€˜Benar, sesungguhnya seorang pemberi peringatan telah datang kepada kami, tetapi kami mendustakannya dan kami katakan: Allah tidak menurunkan sesuatu apa pun,’ kamu sebenarnya dalam kesesatan yang besar. Dan mereka berkata, β€˜Sekiranya (dahulu) kami mendengar atau memikirkan (peringatan itu) tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan penghuni neraka yang menyala-nyala.’” (Al-Mulk 67 : 9-10)

Di akhirat kelak, bukan sahaja orang kafir, malah kita sebagai Muslim juga akan ditanya oleh Allah tentang tanggungjawab berdakwah. Firman Allah (yang bermaksud):

β€œDan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata, β€˜Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang sangat keras?’ Mereka menjawab, β€˜Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu dan agar mereka bertakwa.” (Al-A’raf 7 : 164)

Satu lagi sebab utama mengapa kita perlu berdakwah ialah kita hendak beroleh ganjaran syurga. Selain beriman dan melakukan amal kebaikan, syarat lain untuk menjadi orang yang beruntung seterusnya mendapat syurga Allah ialah mengajak manusia kepada kebenaran dan kesabaran, dalam erti kata yang lain berdakwah. Hal ini jelas melalui firman Allah (yang bermaksud):

β€œDemi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan saling menasihati dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran.” (Al-β€˜Asr 103 : 1-3)

Maka dengan hujah-hujah Al-Quran ini, sedarlah kita bahawa dakwah adalah amanah kita bersama. Perlu juga kita fahami, jika kita telah berdakwah, namun seruan kita ditolak, tidak mengapa. Usahlah berasa gundah gelana. Sesungguhnya hidayah seseorang adalah milik Allah. Hanya Allah sahaja yang berkuasa untuk memberikan petunjuk kepada hamba-hamba-Nya.

Jika kita telah berusaha untuk sampaikan Islam namun tiada yang bersyahadah, itu tidak bererti kita telah gagal dalam usaha dakwah. Kayu ukur kejayaan dakwah bukanlah terletak kepada berapa banyak orang yang telah kita syahadahkan. Sedangkan Nabi Nuh a.s. yang berdakwah hampir seribu tahun, hanya beberapa orang sahaja yang menerima seruan baginda. Adakah baginda telah gagal dalam berdakwah? Tidak sama sekali.

Malah Nabi Muhammad s.a.w. sendiri tidak berjaya mengajak bapa saudara baginda iaitu Abu Talib kepada agama Islam. Abu Talib meninggal dunia dalam keadaan tidak melafazkan syahadah, walaupun baginda Rasulullah s.a.w. ingin sangat beliau berbuat demikian. Melalui peristiwa ini turun wahyu Allah (yang bermaksud):

β€œSesungguhnya engkau (Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki..” (Al-Qasas 28 : 56)

Maka apa lagi alasan untuk kita tidak berdakwah. β€œSaya tidak cukup ilmu!” Jika ini alasan kita, agaknya bilalah kita akan mula hendak berdakwah. Sampai bila-bila pun kita tidak akan cukup ilmu. Tidak perlulah kita menjadi sehebat Dr. Zakir Naik atau Yusuf Estates jika hendak berdakwah. Dengan hanya surah Al-Ikhlas sahaja pun sebenarnya kita sudah boleh berdakwah. Bersesuaianlah dengan sabda Rasulullah s.a.w., β€œSampaikanlah kalian daripadaku walaupun satu ayat.” (hadis riwayat Bukhari)

β€œSaya takut hilang kawan!” Jika ini pula alasan kita untuk tidak berdakwah, takut-takut di hari akhirat kelak, kawan kita itu akan menyalahkan kita di hadapan Allah kerana kita tidak pernah sedikit pun membuka mulut untuk menceritakan agama Islam kepadanya. Dek kerana tindakan kita tersebut, takut-takut akan melambatkan kita pula untuk beroleh ganjaran syurga.

Justeru, marilah kita kongsikan mesej Islam kepada seluruh manusia. Jika kita hendak masuk syurga, kita usahakan juga agar seramai mungkin rakan-rakan di sekeliling kita, termasuk mereka yang bukan Muslim bersama-sama kita untuk menuju ke syurga yang merupakan kampung asal kita semua. Hakikatnya syurga merupakan tempat asal moyang kita yang pertama iaitu Nabi Adam a.s.

? Info lanjut mengenai HCF:
? Web: www.hidayahcentre.org.my
β„Ή Facebook: fb.me/hidayahcentrefoundation
? Instagram: https://instagram.com/hidayahcentrefoundation
? YouTube: https://youtube.com/HidayahCentre
?Tiktok: https://vt.tiktok.com/ZSKcy3Fj/
? Telegram: https://t.me/buletinHCF
?Tel/Whatsapp : https://wa.me/601160552445
? Kongsi Pahala: www.dahsedekah.com

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top