fbpx


.
Sejak dahulu hingga kini, dunia dihuni oleh manusia yang rata-ratanya percaya akan kewujudan Tuhan. Malah statistik semasa juga menunjukkan jumlah penganut agama di seluruh dunia, sama ada agama Kristian, Islam, Hindu, Buddha, Yahudi, Zoroastrian, Shinto, Bahai dan sebagainya masih jauh mengatasi jumlah mereka yang tidak beragama. Di Malaysia sendiri, Kepercayaan Kepada Tuhan menjadi rukun yang pertama dalam Rukunegara.
.
Fitrah manusia sememangnya boleh menerima bahawa ada kuasa besar yang mencipta dan menguasai alam ini, lantas menjadikan kuasa tersebut sebagai tempat untuk disembah, ditaati dan diminta pertolongan. Berhubung hal ini, Rene Descartes yang merupakan ahli falsafah, fizik, metafizik dan matematik berbangsa Perancis yang terkenal pada abad ke-17 pernah menulis, “Aku merasakan dalam perasaanku tentang kekurangan pada diriku. Serentak dengan itu aku merasakan kewujudan zat yang paling sempurna. Aku rasa terganggu pada kepercayaan dan keyakinanku… sesungguhnya perasaan ini tertanam dalam diriku. Itulah zat yang paling sempurna dengan segala sifat kesempurnaan. Itulah Tuhan.” Seorang lagi ahli sains terkenal, Isaac Newton pula menukilkan, “Jangan kamu ragu adanya pencipta. Tidak dapat diterima oleh akal kewujudan sesuatu itu berlaku secara tiba-tiba.”

Namun suatu hal yang membezakan antara penganut agama berkaitan kepercayaan kepada Tuhan ialah ciri-ciri Tuhan yang disembah. Ada agama yang dalam kepercayaannya Tuhan itu mempunyai anak. Ada agama yang percaya kepada banyak Tuhan dan setiap Tuhan itu menjalankan tugas-tugas tertentu berkaitan alam. Ada agama yang menjadikan objek alam sebagai sembahan dan mereka percaya objek alam tersebut yang menentukan kebaikan dan keburukan terhadap kehidupan manusia. Terdapat juga agama yang mengajar penganutnya bahawa Tuhan adalah Tunggal, iaitu satu-satunya Tuhan yang patut disembah.

Melalui artikel ini, penulis ingin menjelaskan secara ringkas berkenaan kepercayaan kepada Tuhan menurut perspektif Islam. Penjelasan ini adalah berasaskan kepada sumber utama ajaran Islam itu sendiri, iaitu kitab Al-Quran.

Umat Islam mengenali nama Tuhan bagi sekalian alam ini sebagai “Allah”. Nama ini bukanlah direka oleh manusia, tetapi disebut sendiri oleh Tuhan melalui wahyu-Nya. Nama “Allah” telah pun digunakan lama sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w., antaranya oleh orang Yahudi dan Nasrani dengan panggilan seperti “El”, “Elah” atau “Elohim”. Malah ketika zaman hidup baginda Nabi Muhammad s.a.w., apabila ditanyakan kepada orang-orang musyrik siapa yang mencipta langit dan bumi, mereka menyebut “Allah”.

Firman Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):

“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?’ Sudah tentu mereka akan menjawab: ‘Allah’. Ucapkanlah (wahai Muhammad): ‘Alhamdulillah’ (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian – tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).” (Luqman 31 : 25)

Perkataan “Allah” berasal daripada bahasa Arab. Mengikut Hans Wehr a Dictionary of Modern Written Arabic (Macdonald & Evans Ltd, London, 1974) “Allah” didefinisikan sebagai “God (as the One and Only)”. Ia bermaksud Allah adalah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah.

Justeru dalam Islam, konsep ketuhanannya yang paling utama ialah Allah sebagai satu-satunya Tuhan yang disembah. Konsep ini terkandung dalam bahagian pertama dua kalimah syahadah yang terkandung dalam Rukun Islam. Malah keimanan kepada Allah sebagai Tuhan yang Maha Esa menjadi pembeza utama antara agama Islam dengan agama-agama besar yang lain di dunia. Umat Islam juga meyakini bahawa Allah bukan sekadar Tuhan untuk orang Islam sahaja, tetapi juga Tuhan kepada semua manusia, malah Tuhan kepada sekalian makhluk yang wujud dalam alam semesta.

“Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.” (Al-Fatihah 1 : 2)

Mesej mengenai keesaan Allah bukanlah mesej yang baru muncul semasa hayat Nabi Muhammad s.a.w. Mesej ini sebenarnya sudah ada sejak awal kehidupan manusia lagi. Bermula dengan Adam (Nabi Adam a.s.) dan nabi-nabi selepasnya seperti Noah (Nabi Nuh a.s.), Abraham (Nabi Ibrahim a.s.), Moses (Nabi Musa a.s.), David (Nabi Daud a.s.), dan Jesus (Nabi Isa a.s.), semuanya membawa mesej yang sama, iaitu mengesakan Allah. Begitu juga seruan Nabi Muhammad s.a.w. kepada manusia di sekelilingnya, sama ada golongan hamba, golongan pendeta mahu pun pemuka-pemuka kabilah, hatta kepada pemerintah Parsi dan Rom agar menyembah Allah Yang Maha Esa.

Di dalam Al-Quran, antara ayat yang menyebut tentang keesaan Allah adalah melalui Surah Al-Ikhlas. Surah ini diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebelum meletusnya Perang Khandak. Ketika itu seorang penguasa Yahudi Madinah bernama Ka’ab bin Asraf mendatangi baginda untuk berdialog tentang masalah ketuhanan. Setelah baginda menerangkan ciri-ciri Tuhan melalui surah tersebut, Ka’ab dan para sekutunya berasa takjub dan hairan, kerana mereka tidak menyangka bahawa baginda mampu memberikan penjelasan dengan begitu baik mengenai Tuhan. Surah ini juga secara jelas menafikan kepercayaan kaum Yahudi dan Nasrani yang mendakwa Allah mempunyai anak.

Firman Allah (yang bermaksud):

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Dia tidak beranak, dan Dia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapa pun yang serupa dengan-Nya.’” (Al-Ikhlas 112 : 1-4)

Di dalam ayat pertama surah Al-Ikhlas ini terdapat perkataan “Ahad” yang membawa maksud satu, tunggal, esa dan tidak mempunyai perumpamaan yang serupa. Maka ayat ini menyatakan Allah itu adalah Tuhan yang Tunggal, iaitu satu-satunya Tuhan yang mencipta dan berkuasa terhadap alam ini. Tuhan bukanlah dua atau tiga, apatah lagi lebih daripada itu.

Islam menolak kepercayaan kepada banyak Tuhan kerana ia boleh mewujudkan dilemanya yang tersendiri. Cuba kita bayangkan, apa akan berlaku jika sebuah sekolah mempunyai dua orang Pengetua? Apa akan berlaku jika sebuah syarikat mempunyai dua orang Ketua Pegawai Eksekutif? Apa akan berlaku jika sebuah negara mempunyai dua orang Presiden? Jawapan yang munasabah adalah setiap pentadbiran itu pastinya menjadi kucar-kacir disebabkan percanggahan yang akan berlaku antara ketua-ketua organisasi tersebut. Sudah pasti setiap ketua itu ingin arahannya sahaja yang dipatuhi. Jika terdapat arahan berlainan daripada setiap ketua, sudah pasti wujud perselisihan antara mereka dan akhirnya memberi kesan buruk kepada perjalanan organisasi.

Maka konsep ketuhanan yang paling jelas dan mudah untuk difahami adalah Tuhan itu Tunggal. Malah apabila merenung kepada perjalanan alam semesta ini yang begitu unik, indah dan teratur, akal boleh menerima bahawa semua itu berlaku adalah kerana hanya ada satu Tuhan yang mencipta dan mentadbir alam ini. Jika Tuhan lebih daripada satu, maka sudah pasti alam ini sudah lama rosak binasa.

Firman Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):

“Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.” (Al-Anbiya’21 : 22)

Oleh kerana Allah adalah satu-satunya Tuhan yang mencipta dan menguasai alam ini, maka sudah tentu hanya Dia sahaja Tuhan yang berhak dipuji, ditaati dan disembah. Manusia tidak sepatutnya mempunyai sembahan yang lain selain Allah memandangkan semua yang ada di dalam alam semesta ini adalah ciptaan Allah. Manfaat atau mudarat yang menimpa manusia juga adalah ditentukan oleh Allah, bukannya oleh makhluk seperti matahari, bulan, laut, binatang, hatta manusia sendiri. Malah Allah mencela manusia yang menyembah berhala yang mereka cipta dengan tangan mereka sendiri dan tidak mendatangkan apa-apa manfaat pun kepada mereka.

“Patutkah mereka sekutukan Allah dengan benda-benda yang tidak dapat menciptakan sesuatu pun, sedang benda-benda itu sendiri diciptakan? Dan benda-benda itu tidak dapat menolong mereka, dan tidak juga dapat menolong dirinya sendiri.” (Al-A’raf 7 : 191-192)

Mari kita fikirkan sejenak, jika benar berhala yang disembah oleh manusia itu mempunyai kuasa, adakah berhala tersebut mampu mencipta makhluk yang kecil seperti lalat? Jangankan mencipta lalat, menepis lalat yang hinggap di atasnya pun pasti ia tidak mampu untuk melakukannya. Mana mungkin patung berhala yang kaku tidak bernyawa boleh berbuat apa-apa. Justeru, bagaimana ia boleh memberikan manfaat kepada manusia yang menyembahnya dan memohon pertolongan daripadanya?

Al-Quran membuat perbandingan mengenai berhala dan lalat ini dalam ayat berikut (yang bermaksud):

“Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).” (Al-Hajj 22 : 73)

Selain itu Allah amat murka kepada manusia yang mempunyai sembahan selain-Nya. Perbuatan menyekutukan Allah adalah satu-satunya dosa di dunia ini yang Allah tidak ampunkan. Sebaik mana pun amalan seseorang manusia, selagi mana dia masih ada sembahan selain Allah, maka dia akan memperoleh azab yang pedih di hari akhirat kelak.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.” (An-Nisa’ 4 : 48)

“Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: ‘Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan’. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Al-Maidah 5 : 73)

Berhubung perkara syirik, ada satu soalan yang lazim ditanyakan oleh bukan Muslim, “Mengapa orang Islam sembah Kaabah?” Mereka bertanya soalan tersebut mungkin kerana mereka melihat umat Islam melakukan ibadah solat dengan menghala ke arah Kaabah. Malah melalui media mereka melihat jutaan orang Islam melakukan tawaf mengelilingi Kaabah sewaktu mengerjakan ibadah haji. Mungkin juga pertanyaan mereka itu sebagai balasan kepada tindakan kita yang mempertikaikan cara ibadat mereka yang menyembah patung berhala.

Umat Islam sama sekali tidak menyembah Kaabah kerana itu adalah perbuatan syirik. Buktinya, umat Islam tidak pernah membuat patung Kaabah untuk disimpan di rumah atau di masjid, atau digunakan sebagai objek sembahan semasa solat. Malah, umat Islam tiada masalah untuk memijak gambar Kaabah yang biasa terdapat di sejadah (tikar yang digunakan semasa sembahyang). Pada hari ini para petugas yang menjaga dan menguruskan bangunan Kaabah juga memanjat dan berdiri di atas Kaabah untuk menukar kain kiswah (kelambu yang menutupi Kaabah). Jika Kaabah adalah Tuhan, mana mungkin ia boleh dipijak oleh penyembahnya.

Berhubung perkara ini, Profesor Hamka pernah menulis di dalam bukunya “Kristianisasi & Sekularisasi” seperti berikut, “Saya menjelaskan bahawa kaum Muslimin di seluruh dunia, apa pun mazhabnya, baik dia seorang Sunni atau Syiah sekali pun, sekali-kali tidak pernah menerima ajaran bahawa kita menyembah, memuja serta beribadat kepada Kaabah… Sekiranya wujud orang Islam menyembah, memuja atau menunaikan solat untuk Kaabah, maka kafirlah ia menurut hukum Islam.”

Umat Islam di seluruh dunia melakukan ibadah solat dengan menghala ke arah Kaabah adalah sebagai mematuhi perintah Allah. Ibadah solat di dalam Islam mempunyai arah kiblat, iaitu menghala ke arah Masjid Al-Haram yang terletak di Mekah (di negara Arab Saudi). Di Masjid Al-Haram itulah terletaknya Kaabah. Perintah Allah ini terkandung di dalam Al-Quran dalam ayat berikut (yang bermaksud):

“Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haram (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.” (Al-Baqarah 2 : 149)

Namun Allah memberikan kelonggaran kepada mana-mana Muslim yang kehilangan arah kiblat untuk menghadap mana-mana sahaja jika ingin menunaikan solat (contohnya sewaktu berada di dalam kapal terbang dalam tempoh yang lama). Perkara ini sekali lagi membuktikan Muslim sama sekali tidak menyembah Kaabah. Allah berfirman di dalam Al-Quran (yang bermaksud):

“Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi sentiasa Mengetahui.” (Al-Baqarah 2 : 115)

Melalui pengalaman para pendakwah, terdapat satu lagi soalan yang datang daripada bukan Muslim mengenai keesaan Tuhan, “Mengapa Allah menggunakan perkataan ‘Kami’ yang merujuk kepada diri-Nya di dalam Al-Quran? Tidakkah ini menunjukkan Tuhan itu banyak?” Jika dilihat kepada soalan ini, mungkin pihak bukan Muslim yang bertanya itu telah mempunyai sedikit pengetahuan mengenai isi kandungan Al-Quran.

Memang benar terdapat ayat di dalam Al-Quran yang mana Allah menggunakan perkataan ‘Kami’ bila merujuk kepada Tuhan. Sebagai contoh ayat di dalam surah Al-Hijr, surah ke-15 ayat 87 (yang bermaksud), “Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.” Namun ‘Kami’ yang difahami di sini bukan merujuk kepada kemajmukan bilangan (plural of numbers), tetapi merujuk kepada kemajmukan penghormatan (plural of respect).

Penggunaan konsep sebegini sebenarnya bukanlah asing bagi kita kerana ia juga digunakan dalam kehidupan manusia terutamanya oleh para pemerintah dan golongan bangsawan. Contohnya, Ratu England dalam ucapan rasminya biasa menggunakan perkataan ‘We’ yang bermaksud ‘Kami’. Penggunaan seperti ini diiktiraf dalam bahasa dan dinamakan sebagai “royal we” dalam bahasa Inggeris. Begitu juga ungkapan popular Rajiv Gandhi, bekas Perdana Menteri India dalam bahasa Hindi, “Hum dekhna chahte hain…” (Kami ingin melihat…). Justeru penggunaan perkataan ‘Kami’ di dalam Al-Quran bukan bermaksud Tuhan itu banyak atau lebih daripada satu, tetapi adalah untuk menunjukkan kebesaran, kekuasaan dan kemuliaan Allah (glorification).

Wan Muhammad Wan Ibrahim @ Wan Am
Penolong Pengurus, Hidayah Centre Foundation
1 Mei 2020

Rujukan:

Apa Perlunya Tuhan & Agama, Shopuan Anuar Ahmad, PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd., 2003

Tuan Bertanya, Dr. Danial Menjawab Mengenai Persoalan Islam yang Kontemporari, Dr. Danial Zainal Abidin, PTS Millenia Sdn. Bhd., 2011

Dialog Rasulullah vs Yahudi, Abu Marwan, Kemilau Publika, 2016

Soalan Kontemporari, Lim Jooi Soon & Mohd Amin Yaacob, Jawatankuasa Penaja PERKIM Cawangan Ampang, Januari 2016

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

× Whatsapp kami