fbpx

Masuk Islam Kerana Game PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG)

Baru-baru ini, kami di ibu pejabat Hidayah Centre Foundation, Taman Melawati telah menerima kunjungan dua orang gadis, Siti dan Neta. Siti yang merupakan warganegara Malaysia dan beragama Islam telah hadir membawa seorang sahabatnya, Neta dari Kemboja yang ingin mengetahui lebih lanjut lagi mengenai Islam.

Kami bertanya kepada Siti, bagaimana beliau mula mengenali Neta. Siti mula menceritakan perkenalan mereka bermula dengan bermain permainan video atas talian yang agak popular iaitu PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG). Rata-rata remaja seluruh dunia, pasti akan mengetahui permainan video ini. Dalam permainan video tersebut, para pemain boleh mengadakan perbincangan bagi merancang strategi permainan.

Dari situlah sis Siti dan Neta mula berkomunikasi dan membentuk kumpulan sendiri untuk merancang strategi permainan. Perbualan mereka mula bercambah mengenai hal keluarga, asal-usul juga latar belakang masing-masing. Sis Siti mula menceritakan mengenai agama Islam yang dianutinya kepada Neta. Islam begitu asing sekali bagi Neta yang berasal dari sebuah daerah di pedalaman Kemboja.

Perkenalan mereka semakin rapat sehinggalah Siti mengambil keputusan untuk melancong ke Kemboja untuk bertemu dengan Neta. Bukan sekali, malahan Siti telah ke Kemboja sebanyak dua kali dan setiap kali itu jugalah beliau bertemu dengan Neta. Neta mula menunjukkan minatnya mengenai agama Islam. Pelbagai persoalan ditanyakan kepada Siti mengenai Islam. Pada pertemuan yang kedua, Siti telah mengajar Neta untuk memuat turun aplikasi Al-Quran dalam telefon pintarnya. Melalui aplikasi tersebut, Neta dapat membaca terjemahan Al-Quran dalam bahasa Inggeris dan bahasa Khmer.

Sekembalinya Siti ke Malaysia, mereka tetap berhubungan secara rapat. Sehinggalah baru-baru ini, Neta mengambil keputusan untuk menziarahi Siti di Malaysia. Tujuan utama Neta ke Malaysia adalah kerana ingin melihat sendiri bagaimana kehidupan seorang muslim. Neta tertarik dengan keindahan kehidupan masyarakat muslim di Malaysia. Di perkampungannya, tiada seorang pun penduduknya yang beragama Islam.

Siti pula mula mencari-cari melalui internet, dimanakah beliau boleh menghubungkan Neta yang sering bertanyakan mengenai agama Islam. Mula mencari rujukan kepada pihak yang lebih arif untuk menerangkan lebih lanjut mengenai agama Islam. Sehinggalah Siti terjumpa laman sosial Hidayah Centre Foundation dan menghubungi pihak kami untuk bertanya lanjut.

Alhamdulillah, baru-baru ini Siti bersama-sama Neta hadir ke ibu pejabat Hidayah Centre Foundation. Salah seorang pegawai kami iaitu Ustazah Najiha mula menceritakan mengenai asas-asas agama Islam kepada Neta. Sesi perbincangan dan soal jawab telah berlangsung dalam lebih kurang 30 minit. Alhamdulillah, Neta kelihatan positif dengan segala jawapan melalui persoalan yang telah beliau lontarkan.

Neta akhirnya mengambil keputusan untuk melepaskan dirinya dari menganut agamanya yang lalu. Beliau menyatakan hasrat untuk mengucapkan kalimah syahadah pada hari tersebut. Tanpa sebarang paksaan dan selepas penerangan yang diberikan oleh ustazah Najiha, Alhamdulillah Neta melafazkan syahadah dengan sungguh bahagia sekali.

Alhamdulillah. Bermulalah fasa kehidupan baru sesuci kain putih, bersih dari sebarang dosa dan bermulalah perhitungan amal beliau. Semoga Allah s.wt terus memelihara iman saudari Neta dan terus bersemangat untuk terus mendalami ajaran Islam. Semoga Neta menjadi pencetus kepada pembukaan jalan untuk mengenalkan keindahan Islam di perkampungannya. Terima kasih juga diucapkan buat Siti yang berjaya berkongsikan keindahan Islam kepada sahabat yang dikenalinya melalui permainan video ini. Semoga lebih ramai lagi Muslim yang memanfaatkan perkenalan dengan sahabat-sahabat bukan Muslim mengenai keindahan Islam. InsyaAllah. Tidak ada salahnya bermain permainan video selagi mana ia mampu memberikan mafaat kepada orang lain juga.

#SampaikanIslamSantuniMualaf
#SuaraMualaf
#Syahadah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top