Resh, seorang pemuda berketurunan India yang berumur 25 tahun telah menceritakan bagaimana beliau diuji dengan pelbagai ujian hidup termasuk kehilangan hampir RM42 ribu. Wang itu telah digunakan untuk membantu sahabatnya bagi keluar dari kepompong masalah hidup. Malang tidak berbau, akhirnya sahabatnya tersebut telah menghilang pergi meninggalkannya tanpa sebarang berita lagi.
Katanya lagi, perkara yang mendorong beliau memeluk Islam adalah kerana beliau kagum dengan ajaran agama Islam iaitu bersabar dalam menghadapi masalah hidup. Perkara ini telah mendorong beliau untuk lebih meningkatkan kesabaran dan menjadi seorang yang tenang dengan ujian hidup yang dihadapi sehari-hari. Beliau terus mencari kebenaran dalam Islam walaupun sebenarnya beliau telah mula tertarik dengan agama Islam sejak tahun 2017 lagi.
Begitulah antara serba sedikit kisah yang telah diceritakan oleh saudara baru, Resh semasa Majlis Hari Raya anjuran MPP Sub Zon 1,2 dan 6 yang berlangsung pada hari Sabtu, 6 Julai 2019 baru-baru ini. Beliau telah mengambil keputusan untuk mengisytiharkan pengislamannya pada majlis tersebut.
Majlis yang diadakan di Dewan Masyarakat Sungai Bonus, Setapak ini telah dihadiri masyarakat pelbagai kaum termasuk kaum Cina dan India yang turut bersama-sama meraikannya. Alhamdulillah, semoga lebih ramai lagi masyarakat bukan Islam mendapat serba sedikit pengetahuan mengenai agama Islam.

Sampaikan Islam, Santuni Mualaf
#HidayahCentreFoundation