Shah Alam- Pada hari Sabtu,15 Jun 2019 selepas solat Isyak baru baru ini, telah diadakan Majlis Aidilfitri dan Ramah Mesra bersama mualaf dan masyarakat bukan Islam bersama penduduk sekitar bertempat di dewan surau As-Sakeenah, TTDI Jaya, Shah Alam.
Majlis ini telah dihadiri oleh hampir 900 orang tetamu yang terdiri dikalangan kariah TTDI Jaya, 40 orang mualaf sekitar Klang, Shah Alam dan Subang jaya santunan Hidayah Centre Foundation. Seramai 15 orang tetamu bukan Islam juga turut hadir ke majlis jamuan aidilfitri ini. Majlis seumpama ini telah dilaksanakan pada tahun keempat di surau As-Sakeenah, TTDI Jaya.
Salah seorang mualaf yang ditemui iaitu Puan Siti Aisyah menyatakan beliau dan keluarganya begitu gembira dan seronok kerana diraikan oleh ahli jawatankuasa surau dan dapat meraikan aidilfitri kali ini dengan masyarakat sekeliling.
Saudara Yolingam, salah seorang tetamu bukan muslim yang turut hadir menyatakan majlis seumpama ini merupakan satu usaha yang sangat baik dan perlu diteruskan lagi oleh semua surau dan juga masjid bagi memupuk perpaduan dan saling hormat menghormati dalam kehidupan masyarakat pelbagai bangsa dan agama di Malaysia ini.
Semoga majlis seumpama ini dapat diadakan meluas lagi dengan pelbagai program menarik yang dapat menarik minat masyarakat sekitar pelbagai agama dan bangsa.
Sampaikan Islam, Santuni Mualaf
#HidayahCentreFoundation